KUALA LUMPUR 22 Dis. - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang- Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 tanpa sebarang pindaan selepas ia dibahaskan oleh 14 senator.
Rang undang-undang itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat pada 11 Disember lalu dalam usaha mempertingkatkan integriti kerajaan dan membanteras amalan rasuah di negara ini.
SPRM yang akan dilaksanakan mulai tahun depan merupakan antara janji Perdana Menteri untuk membawa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan termasuk pembanterasan rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menggulung perbahasan di Dewan Negara hari ini berkata, kerajaan bersedia mengkaji cadangan yang dibuat oleh beberapa senator supaya anggota suruhanjaya itu diberikan gaji lebih tinggi.
''Kita akan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuat kajian berkaitan perkara ini bagi membolehkan anggota suruhanjaya mendapat gaji lebih menarik berbanding penjawat awam lain," katanya.
Dalam pada, Mohamed Nazri berkata, sekiranya sogokan itu dilakukan oleh pelabur asing atau kakitangan di syarikat swasta, SPRM turut mempunyai kuasa untuk bertindak dengan syarat kesalahan berkenaan dilakukan di negara ini.
Tambah beliau, dakwaan beberapa senator bahawa SPRM tidak bebas kerana anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat oleh Perdana Menteri adalah tidak berasas.
''Terdapat cadangan supaya anggota suruhanjaya dilantik oleh Parlimen. Kerajaan berpendapat cadangan ini tidak akan membuatkan suruhanjaya berkenaan bebas sepenuhnya kerana mereka masih di bawah kuasa Ahli Parlimen.
''Cadangan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong akan dikekalkan dan kita memberi jaminan bahawa SPRM akan menjalankan siasatannya secara bebas tanpa takut kepada sesiapa," katanya.
Esok, pada hari terakhir sesi Dewan Negara kali ini, ia dijangka meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2008 yang turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Friday, December 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment