KUCHING 5 Dis. - Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng hari ini mengangkat sumpah menyambung khidmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi tempoh setahun pada satu istiadat di Dewan Lapau, Petra Jaya, di sini.
Abang Muhammad Salahuddin, 87, juga menandatangani surat perisytiharan pelantikan dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan bermula dengan Dr. Chan, yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, membaca surat pelantikan.
Abang Muhammad Salahuddin kemudian memeriksa perbarisan kehormat yang terdiri daripada 105 anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Am di bawah perintah Deputi Supritendan Marebon Manju di perkarangan bangunan Persidangan Dewan Undangan Negeri.
Pada 28 November lepas, beliau menerima watikah pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama setahun daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.
Beliau dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak keenam pada 2001 menggantikan Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamed Noor yang meninggal dunia pada 2000.
Pada 2004 dan 2006, tempoh jawatan beliau disambung semula untuk tempoh dua tahun
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment