Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)
BANYAK saranan serta cadangan bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan fungsi agensi pencegahan rasuah supaya benar-benar berkesan dan dilihat bersungguhsungguh menangani gejala rasuah di negara ini.
Ini kerana biar pun Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kuasanya di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 bekerja keras untuk melaksanakan fungsinya namun masih ada cakap-cakap kononnya badan itu tidak berjaya sepenuhnya.
Hakikatnya tugas membanteras rasuah tidak mudah dan sarat dengan prasangka serta persepsi biarpun BPR telah berusaha ke titik terakhir untuk memerangi gejala rasuah.
Soal integriti menjadi punca utama bukan sahaja pada BPR, lebih penting lagi di kalangan masyarakat, sektor awam dan sektor swasta yang tanpa malu melepaskan tanggungjawab untuk sama-sama memikul beban menjadikan Malaysia bebas rasuah.
Tidak ramai yang mahu tampil memberikan maklumat berhubung penyelewengan, budaya suapan dan salah guna kuasa kerana wujudnya rasa tidak percaya bahawa segala data akan dilindungi.
Lantas budaya berdiam diri menyukarkan usaha BPR untuk menjayakan fungsinya secara berkesan serta mendedahkan agensi itu kepada pelbagai kecaman dan sindiran.
Namun komitmen kerajaan untuk mengatasi segala kekangan dan rintangan dalam usaha membersihkan negara dari gejala rasuah tidak pernah terhenti.
Kesungguhan itu dibentangkan dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin.
Pembentangan rang undang-undang tersebut yang dijangka berkuat kuasa Januari depan menjadi agenda penting Perdana Menteri untuk meniup angin pembaharuan terhadap agensi yang menjadi taruhan semua pihak itu.
Paling penting penubuhan SPRM bukan sekadar mengulangi perkara-perkara yang melingkari BPR sebelum ini, kerana untuk menjadi lebih berkesan mesti ada kelainan yang ditonjolkan supaya SPRM benar-benar membawa pembaharuan dalam ruang lingkup pembanterasan rasuah.
Paling menarik apabila menyorot sub seksyen 6 Seksyen 5 rang undang-undang itu menyebut:
Ketua Pesuruhjaya hendaklah mempunyai segala kusa pegawai Suruhanjaya dan hendaklah mempunyai apa-apa kuasa Timbalan Pendakwa Raya sebagaimana yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya bagi maksud Akta ini.
Hakikatnya, perkara itulah yang sering dibangkitkan kerana ketiadaan kuasa mendakwa menjadikan BPR tiada autoriti untuk meneruskan pendakwaan bagi kes-kes yang telah dikenal pasti.
Kuasa BPR terhenti setakat menjalankan siasatan manakala proses pendakwaan akan disambung oleh Jabatan Peguam Negara setelah mendapat 'perkenan' Peguam Negara.
Tentunya klausa yang memperuntukkan kuasa pendakwaan itu menjadi nadi SPRM sebagaimana BPR yang begitu digeruni pada tahun 1970-an kerana kuasa yang sama diberikan kepada badan itu.
Malah dengan adanya kuasa timbalan pendakwa raya di pihak Ketua Suruhanjaya membuktikan ketelusan di pihak kerajaan untuk memastikan SPRM benar-benar bebas tanpa perlu merujuk kepada Peguam Negara seperti amalan sebelum ini.
Ia sekali gus melepaskan hambatan serta menepis persepsi bahawa BPR tidak bebas dan wujudnya campur tangan di pihak Peguam Negara sebelum sesuatu kes berkaitan rasuah dipanjangkan ke mahkamah.
Lebih penting lagi terdapat lima badan yang akan bertindak sebagai pemantau untuk memastikan ketelusan dan integriti SPRM tidak lagi dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Badan-badan tersebut terdiri daripada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Kajian Semula Operasi dan Panel Konsultatif dan Pencegahan Rasuah.
Selain itu, kebimbangan pemberi maklumat (whistleblowers) mengenai tahap kerahsiaan data peribadi mereka juga dimaktubkan di bawah Seksyen 65 Rang Undang-Undang SPRM.
Rumusan yang boleh dibuat apabila menyelongkar intipati Rang Undang-Undang SPRM ialah kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan integriti pada sebuah badan yang bertindak sebagai saluran utama untuk memerangi gejala rasuah.
Rasuah yang mampu meruntuhkan sebuah negara dan merosakkan masyarakat tidak menunggu masa untuk menyerlahkan peranannya. Sebab itu Rang Undang-Undang SPRM yang satu ketika dulu dituntut dan dilaung-laungkan juga oleh pihak pembangkang mesti mendapat sokongan untuk memastikan keberkesanannya.
Segala aspek tentang integriti dan ketelusan yang selama ini didakwa tidak wujud bersama BPR telah termasuk di dalam SPRM. Jika masih ada suara-suara yang menyanggah dan menidakkan peranan SPRM kelak, ia semestinya datang daripada hati yang dengki dan tidak senang dengan pembaharuan itu, bukannya kerana kelemahan SPRM.
Friday, December 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment