Wednesday, December 17, 2008

SPRM, SPK bukan dibuat tergesa-gesa - PM



Abdullah Ahmad Badawi menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 17 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak sama sekali cakap-cakap bahawa pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2008 yang dilihat begitu tergesa-gesa sebelum beliau melepaskan jawatan Mac depan, mempunyai muslihat tertentu.

Dalam pertemuan dengan sebuah akhbar dalam talian, Agendadaily di kediamannya di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur semalam, Perdana Menteri menepis desas desus itu termasuk di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri.

Bagi Abdullah, usaha untuk menambahbaik dua institusi berkenaan adalah janji kerajaan pada pilihan raya umum 2004.

''Buat rumah elok, tiang mesti kuat." katanya yang jelas menunjukkan beliau mahu Malaysia mempunyai undang-undang yang boleh memberi keyakinan dan keselesaan kepada rakyat, pelabur mahupun peniaga pada masa depan.

Pada masa yang sama, beliau mahu memperbetulkan persepsi kononnya bidang pencegahan rasuah dan kehakiman di negara ini kurang berwibawa.

Dalam pertemuan itu, Abdullah lebih mempersoalkan sikap Ahli Parlimen pembangkang yang membuang masa ketika membahaskan rang undang-undang itu dengan bercakap perkara-perkara lama.

''Pembangkang buang masa, mereka patut cakap terus apa yang setuju, tak setuju dengan rang undang-undang ini. Bagi tau pindaan, sokong atau tidak. Bukan bercakap benda-benda lama berulang kali," kata beliau yang melihat perbahasan itu banyak menimbulkan perkara yang negatif.

''Kalau anggap rasuah tak baik, sokonglah SPRM kenapa nak cakap orang tu korup, orang ni salah guna kuasa," katanya.

Abdullah menjelaskan, reformasi itu adalah bentuk modal insan melalui pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan manusia bermoral dan berilmu.

Beliau berkata, SPRM merupakan tambah nilai pada undang-undang atau peraturan sedia ada.

''Macam ini, baru boleh maju. Macam orang bisnes, kena tambah nilai, baru ada peningkatan dan kejayaan," katanya.

Perdana Menteri memberi gambaran pembangunan perlu ada keseimbangan dengan tidak tertumpu di bandar sahaja tetapi infrastruktur luar bandar perlu ditambah bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

''Ini sebahagian besar (masalah) dalam pembangunan negara. Macam-macam persepsi rakyat terhadap polis, hakim dan penguat kuasa di negara ini. Buat rumah elok, tiang perlu kuat," kata beliau.

Kata Perdana Menteri, inilah kekuatan dan integriti dalam pelaksanaan pencegahan rasuah serta kehakiman supaya memberi keyakinan kepada rakyat.

''Kita kena fahami apa yang tersirat, bukan yang tersurat sahaja," tegasnya.

Menurut beliau, ianya juga dapat memperlihatkan kepimpinan kerajaan dan Melayu yang adil kerana kewajipan orang Islam adalah menghakimi secara adil dan ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja.

Abdullah turut menekankan betapa perlu mengubah minda supaya tidak lagi melihat rasuah hanya di sektor awam sahaja sebaliknya usaha melawan rasuah harus memasuki sektor swasta.

Katanya, penyakit dalam jiwa serta persepsi terhadap masalah itu mesti dihilangkan.

Beliau mengakui punca dakwaan rasuah di negara ini serius disebabkan ada pihak mudah mencipta persepsi sedemikian.

''Masalahnya, kita mudah cipta persepsi… tuduh kerajaan, pemimpin dan menteri korup, ini semua pemikiran negatif - macam-macam bermain dalam kepala," jelasnya.

Bagi Abdullah, Akta Pencegahan Rasuah 2008 bukankah sesuatu yang sempurna tetapi Ketua Pembangkang yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasannya mengakui apa yang ada kini lebih elok daripada Akta BPR 1997.

Bagaimanapun, Abdullah tidak hairan jika pembangkang sentiasa menolak cadangan-cadangan atau idea dikemukakan kerajaan kerana pemikiran mereka memang begitu.

''Mereka dok fikir PM macam-macam, PM rasuah, PM salah guna kuasa dan macam-macam lagi...kenapa tidak fikir yang positif... PM boleh buat kerja lagi," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, sikap dan pemikiran pembangkang hari ini tidak sehebat seperti ketika Tan Sri Lee Lam Thye dan Tan Sri Tan Chee Koon menjadi pemimpinnya.

Mengenai Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Abdullah berkata, isu utamanya hanyalah soal pelantikan, bukannya siapa bakal dilantik.

''Kita cadangkan kaedah pemilihan yang ada ketelusan...sama ada terima atau tidak, itu kuasa prerogatif atau hak mutlak PM dan tak akan korbankan prerogatif PM dengan pelantikan hakim yang tidak layak," katanya.

Kata beliau: ''Dulu (akta) 1997...kini kita tambah nilai atau penambahbaikan, jangan sikap buruk sangka dengan halang apa jua rancangan kerajaan. Jangan kita terperangkap dalam pemikiran negatif pada kerajaan."

Perdana Menteri yakin kedua-dua suruhanjaya itu apabila dilaksanakan kelak akan membawa perubahan dalam bidang berkenaan.

Persidangan Dewan Rakyat semalam meluluskan rang undang-undang itu dengan pindaan kecil pada Fasal 36(1)(b), bagi meminda perkataan Pendakwa Raya kepada Pegawai Pesuruhjaya.

Rang Undang-Undang Suruhajaya Pelantikan Hakim pula masih dibahaskan

No comments: