Thursday, December 4, 2008

Rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang terhadap keputusan benarkan Siti Fatimah keluar Islam didengar 7 dan 8 Jan

04/12/2008 4:33pm


PULAU PINANG 4 Dis — Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang hari ini menangguhkan ke 7 dan 8 Jan tahun depan untuk mendengar rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang pada Mei lepas membenarkan seorang wanita keluar Islam.


Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Yusop Che Teh, yang bersidang bersama Ketua Hakim Syarie/Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Ibrahim Lembut dan Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Asri Abdullah, menangguhkan perbicaraan itu bagi membolehkan responden, Siti Fatimah Tan Abdullah, 39, mendapatkan salinan rekod rayuan yang difailkan oleh MAIPP itu.


Mahkamah juga membenarkan plaintif dan responden untuk mengemukakan hujah masing-masing secara bertulis berhubung rekod yang difailkan oleh MAIPP itu.


Dalam prosiding hari ini, MAIPP menerusi peguam syarie, Ahmad Munawir Abdul Aziz, memaklumkan kepada mahkamah bahawa ia telah memfailkan satu rekod rayuan baru iaitu dokumen kaunseling yang bukan merupakan darang kes, yang tercicir daripada perbicaraan permohonan Siti Fatimah untuk keluar daripada agama Islam pada pertengahan tahun ini.


Pada Mei lepas, MAIPP telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang membenarkan permohonan Tan atau nama sebenarnya Tan Ean Huang untuk keluar daripada agama Islam setelah mendapati wanita itu tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998. - Bernama

No comments: