Monday, December 15, 2008

Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008 dibentang

15/12/2008 2:56pm


KUALA LUMPUR 15 Dis. — Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008 yang bertujuan untuk membolehkan Jawatankuasa Etika Hakim ditubuhkan bagi bertindak terhadap hakim yang melanggar Kod Etika Hakim 2008 dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama hari ini.

Rang undang-undang itu, yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menetapkan bahawa mana-mana hakim yang melakukan pelanggaran itu boleh dirujuk ke jawatankuasa berkenaan jika Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa pelanggaran itu tidak mewajarkan hakim itu dirujuk kepada suatu tribunal yang dilantik di bawah Fasal (4) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa berkenaan mempunyai bidang kuasa dalam perkara yang berhubungan dengan tatakelakuan dan tatatertib semua hakim selain pemecatan seseorang hakim daripada jawatannya di bawah Fasal (3) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim merujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan termasuk Pesuruhjaya Kehakiman.

Jawatankuasa berkenaan akan dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan sebagai pengerusi manakala keanggotaannya hendaklah dalam bilangan ganjil serta terdiri daripada individu yang memegang jawatan atau yang pernah memegang jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi sebagai mana yang difikirkan patut oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan untuk dilantik.

Bagaimanapun prosiding jawatankuasa hendaklah dibuat secara tertutup kerana ia bukanlah suatu perbicaraan tetapi suatu siasatan mengenai pelanggaran mana-mana peruntukan Kod Etika yang dilakukan oleh seseorang hakim yang dirujuk kepadanya oleh Ketua Hakim Negara.

Keputusan jawatankuasa adalah berdasarkan keputusan majoriti dan ia hendaklah muktamad dan konklusif, tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Tidak ada mana-mana mahkamah juga boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau menentukan apa-apa guaman, permohonan, persoalan atau prosiding atas apa-apa alasan tentang kesahan keputusan jawatankuasa berkenaan.

Terdahulu Mohamed Nazri turut membacakan untuk pertama kali Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2008, manakala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar mengemukakan Rang Undang-Undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) (Pindaan) 2008, juga untuk bacaan kali pertama.

Pada persidangan hari ini, sesi soal jawab tidak diadakan bagi memberi laluan kepada anggota dewan membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008. - Bernama

No comments: