PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin menyimpulkan gesaan pelbagai pihak supaya satu suruhanjaya ditubuhkan bagi menguruskan soal pelantikan hakim sejak lebih 10 tahun lalu.
Tanpa sebarang motif politik, saranan mengenai perlunya diwujudkan suruhanjaya seumpama itu hanya tertumpu kepada satu agenda - mengembalikan integriti institusi kehakiman di negara ini yang dilihat semakin lama semakin 'rendah tarafnya'.
Matlamat itu ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri yang mahu penubuhan Suruhanjaya seumpama itu berperanan mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman negara terutama dalam soal pelantikan hakim-hakim.
Penubuhan suruhanjaya itu juga diyakini mampu menangani tanggapan negatif masyarakat kononnya ada 'sesuatu yang tidak kena' berhubung tata cara pelantikan hakim.
Amalan yang terpakai di sisi Perlembagaan sekarang ini ialah Ketua Hakim Negara akan mencadangkan seorang calon kepada Perdana Menteri. Selepas bersetuju dengan calon itu, Perdana Menteri akan mengemukakan nama tersebut kepada Majlis Raja-Raja, seterusnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka akan memperkenankan pelantikan itu atas nasihat Perdana Menteri.
Namun proses yang berjalan lancar sejak negara mencapai kemerdekaan itu agak terencat mulai 20 tahun lalu apabila pelantikan hakim berkitar kepada Ketua Hakim Negara dan Perdana Menteri tanpa ada proses rujukan atau perbincangan dengan pihak-pihak lain yang berkenaan.
Apabila kurang perbincangan dan tiada proses mendapatkan maklum balas maka proses pemilihan dilihat sebagai kurang telus. Ini kerana tidak diketahui cara mana dan kenapa seseorang itu dipilih menjadi hakim. Tidak juga dimaklumi adakah hakim itu dipilih kerana Ketua Hakim Negara suka atau wujud pilih kasih .
Sebab itu penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diperincikan satu persatu di Dewan Rakyat kelmarin dilihat amat penting kerana banyak peluang untuk menyemak latar belakang, menyelidiki karakter dan membuat pelbagai pertimbangan untuk memastikan calon itu benar-benar layak menjadi hakim.
Ketiadaan sebuah suruhanjaya bagi menguruskan pelantikan hakim juga membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk membuat spekulasi.
Dan apabila timbul suasana begitu ia menyebabkan rasa tidak senang di pihak kerajaan dan kadangkala mengguris hati barisan hakim di mahkamah atasan seolah-olah mereka tidak layak untuk mengisi jawatan tersebut dan dipilih kerana sikap pilih kasih.
Dengan adanya Suruhanjaya yang mengendalikan urusan pelantikan hakim, maka kesemua persoalan itu terlerai kerana proses berkenaan melibatkan 10 anggota masing-masing dengan latar belakang perundangan yang tidak boleh diperkecilkan selain penyertaan empat tokoh terkemuka.
Malah masyarakat juga tahu siapa yang terlibat membuat pemilihan calon hakim dan sebarang kesilapan atau sesuatu yang tidak kena pada hakim yang dilantik boleh dipersoalkan dengan adanya suruhanjaya tersebut.
Ini kerana senarai keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dibentangkan secara jelas di dalam rang undang-undang tersebut lambang ketelusan dan integriti.
Lebih daripada itu penubuhan Suruhanjaya juga amat berkait rapat dengan peringatan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah supaya kuasa kehakiman dikembalikan kepada mahkamah dan bukannya eksekutif kerana mereka yang mesti menentukan siapa yang layak.
Begitu juga jika dilihat fungsi Suruhanjaya yang disusun secara teliti dan terperinci untuk memastikan matlamat kerajaan tidak tergelincir dari landasan yang diimpikan selama ini.
Apa pun Suruhanjaya mampu mengembalikan integriti serta kredibiliti hakim-hakim yang dilantik bukan sahaja kerana akademik, karakter, bangsa, agama tetapi kerana mereka layak untuk dicalonkan.
Persepsi konflik kehakiman akan bersih kerana anggota Suruhanjaya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akan bekerjasama dan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan imej institusi kehakiman dan pada masa yang sama menegur salah laku di kalangan hakim-hakim.
Bagaimanapun semuanya ini akan dipulihkan secara berperingkat. Bukan sekelip mata luka dalam institusi kehakiman boleh dirawat kerana ia dibiarkan terlalu lama.
Bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan suruhanjaya seumpama itu menjawab segala keluh kesah yang disuarakan oleh Majlis Peguam, bekas-bekas hakim serta orang ramai yang mahu melihat imej serta integriti institusi kehakiman dipulihkan.
Institusi kehakiman tidak boleh menunggu lebih lama untuk memulihkan imejnya serta meningkatkan integriti para hakimnya dan kesemuanya itu boleh dilaksanakan menerusi penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Friday, December 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment