Wednesday, December 17, 2008

Mahkamah Khas Rasuah permulaan sebuah era baru

Oleh Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com
Penubuhan entiti mampu perbaiki imej Malaysia pada mata dunia

CADANGAN kerajaan mewujudkan mahkamah khas untuk mendengar dan membicarakan kes rasuah seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin, memberi petanda yang cukup meyakinkan mengenai kesungguhan pihak berkuasa dalam memerangi jenayah yang boleh menghancurkan negara itu.

Menurut Nazri, yang membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kemudian diluluskan di Dewan Rakyat, penubuhan mahkamah berkenaan bukan saja dapat mengatasi masalah kes tertunggak, tetapi juga membuktikan kesungguhan kerajaan menerima cadangan orang ramai, termasuk daripada pembangkang.



Ketika membahaskan Rang Undang-Undang SPRM sebelum itu beberapa anggota Dewan Rakyat mencadangkan agar mahkamah seumpama itu ditubuhkan bagi mengurangkan beban mahkamah biasa yang memang sudah dibebani dengan timbunan kes jenayah lain dan sivil.

Dengan adanya mahkamah yang tugasnya semata-mata untuk mengendalikan kes berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya, maka sudah pasti kes demikian dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan licin tanpa terpaksa menunggu senarai giliran yang panjang.

Ia diharapkan dapat memberi kepuasan kepada orang ramai yang sentiasa sinis terhadap usaha kerajaan dalam memerangi rasuah selama ini. Memang tidak dinafikan bahawa persepsi umum, termasuk di kalangan orang luar, mengenai rasuah di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan kurang baik, walaupun kegiatan tidak bermoral itu tidak seburuk di sesetengah negara membangun lain.

Berdasarkan kepada persepsi negatif ini, maka penubuhan Mahkamah Khas Rasuah seiring dengan kelulusan yang diberikan Parlimen terhadap penubuhan SPRM nanti, serta pembentukan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK) dan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi 2008 yang sedang dan akan dibahaskan, tidak syak lagi akan membuka era atau lembaran baru dalam usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

Perlu diingat bahawa usaha memerangi rasuah berbentuk dua dimensi, iaitu pencegahan dan pendakwaan. Dalam hubungan ini, penubuhan mahkamah khas, SPRM, SPK dan Akta Perlindungan Saksi ditambah dengan usaha yang sedang dijalankan institusi sedia ada seperti Institut Integriti Nasional, diharapkan mampu berfungsi sebagai infrastruktur yang akan menakutkan individu atau golongan yang mempunyai kecenderungan rasuah.

Jika ini boleh dijelmakan sebagai kenyataan, maka sebahagian daripada peperangan terhadap rasuah sudah berjaya. Pendakwaan hanya akan berperanan sebagai pelengkap kepada usaha itu.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa pendakwaan dan hukuman tidak penting. Adalah sesuatu yang lumrah bahawa manusia itu terdiri daripada dua jenis – yang baik dan jahat. Individu yang secara tabiatnya jahat akan terus memiliki kecenderungan untuk membuat kejahatan, termasuk melakukan rasuah, walau sehebat dan seberat mana peraturan yang ditetapkan atau hukuman yang dikenakan.

Oleh itu, langkah selanjutnya tentulah keperluan untuk menzahirkan dalam bentuk tindakan hasrat yang tersemat di sebalik penubuhan pelbagai entiti dan undang-undang yang sudah dan akan diluluskan Parlimen nanti.

Satu-satunya perkembangan yang orang ramai mahu lihat nanti tentulah lebih banyak kes berkaitan rasuah, khususnya yang besar-besar, disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Ini akan secara langsung meningkatkan keyakinan orang ramai, termasuk pelabur dari dalam dan luar negara, sekali gus memperbaiki imej Malaysia pada mata dunia. Semua ini akan memberi sumbangan positif terhadap usaha menarik pelaburan tempatan dan asing untuk menambah kemakmuran negara dan rakyat.

Masalah kesukaran memperoleh bukti, keengganan saksi tampil ke hadapan, kekurangan kakitangan dan pegawai dan sebagainya yang selama ini sering menghindar usaha Badan Pencegah Rasuah sepatutnya tidak akan wujud lagi dengan adanya SPRM dan Akta Perlindungan Saksi.

Di lihat dari perspektif ini, adalah jelas bahawa tindakan perundangan yang digerakkan sepanjang minggu ini untuk merintis jalan bagi penubuhan SPRM dan SPK serta pengenalan undang-undang baru untuk melindungi saksi dan mengawal tingkah laku hakim adalah lebih daripada usaha menunaikan janji yang pernah dibuat Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2004.

Ia juga lebih daripada usaha peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti yang cuba diuar-uar sesetengah pihak, untuk meninggalkan legasi pemerintahannya sebelum melepaskan jawatan Mac tahun depan.

Sesungguhnya, usaha itu adalah permulaan sebuah era baru dalam sejarah negara memerangi rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai bentuk penyelewengan. Semoga satu hari nanti, negara ini dikenali dan diiktiraf sebagai negara paling bersih di dunia.

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

No comments: