Friday, December 5, 2008

Bukan Melayu berubah nada bila haknya disentuh

Saya amat pelik dengan respons yang diberikan oleh golongan pemimpin Cina dan India terhadap cadangan penubuhan hanya satu aliran sekolah di negara ini.

Ketika kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), para pemimpin Cina dan India dengan lantang menguar-uarkan bahawa jika di AS boleh berlaku itu dan ini, maka perkara ini juga mesti dilaksanakan di Malaysia tanpa mengambil kira hati dan perasaan kaum Melayu. Tetapi mereka lupa di AS hanya ada satu jenis aliran pendidikan.

Para pejuang kemerdekaan kita dahulu telah memilih untuk menerapkan nilai unity in diversity dan bukannya asimilasi. Tetapi golongan pembangkang dan pemimpin kaum lain, acap kali mengasak dan cuba menguji kesabaran kaum Melayu. Mereka mengungkit perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan mengenai hak-hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Golongan ini secara sedar terus mempermain-mainkan perlembagaan negara ini dan malangnya pemimpin-pemimpin kaum lain dalam BN juga terus terikut- ikut dengan rentak dan tari golongan pembangkang, kadang-kadang mereka lebih daripada DAP atau PKR.

Yang pelik dan hairan, apabila terdapat cadangan supaya hanya ada satu aliran sekolah sahaja agar dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk Malaysia ke arah meningkatkan lagi perpaduan kaum, golongan ini berubah nada dan suara.

Mereka melaungkan bahawa cadangan ini bersifat perkauman, melanggar Perlembagaan Persekutuan malah ada yang mengesyorkan agar tindakan diambil di bawah Akta Hasutan.

Kepada pemimpin pembangkang dan pemimpin kaum lain yang suka cakap tak serupa bikin, jikalau perkara ini anda masih ingin mempertahankan, usahlah bercakap mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan.

Hilangkan sifat kiasu anda itu, yang mana hak orang lain boleh disentuh tetapi hak sendiri tak boleh diusik. Usahlah jadi seperti bidalan orang tua 'seperti Belanda dapat tanah' atau 'diberikan betis hendak paha.'

Jikalau kita hanya bersikap jaguh kaum sendiri dan hanya retorik dalam tindakan ke arah perpaduan, usahlah menuding jari ke arah orang Melayu sebagai punca kegagalan perpaduan kaum di Malaysia.

Cuba kira dan periksa berapa ramai kaum lain di Malaysia ini yang dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu? Bukankah syarat menjadi warganegara Malaysia mestilah berupaya bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu.

Cubalah baca cadangan orang lain dengan lebih teliti. Cadangan satu aliran sekolah tidak menyekat kebebasan kaum lain belajar bahasa ibunda atau kebudayaan masing-masing. Malah dengan adanya guru yang secukupnya dalam satu aliran sekolah, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dapat memilih bahasa apakah yang mereka mahu belajar di samping bahasa kebangsaan.

Tidakkah ini juga membolehkan anak generasi akan datang dapat belajar dengan lebih mendalam mengenai budaya kaum lain.

Kepada pemimpin-pemimpin Melayu, jangan menang sorak kampung tergadai, perubahan pola pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-12 sebenarnya adalah kerana dua perkara.

Pertama, pengundi Cina dan India telah mengundi barisan pembangkang. Salah siapa ini? Adakah ini menunjukkan MCA, Gerakan dan MIC gagal mewakili kaum mereka atau menjaga kebajikan mereka, atau memang kaum ini tidak berterima kasih di atas apa yang kerajaan berikan kepada mereka?

Kedua, golongan muda Melayu amat tertekan dengan masalah ekonomi pada masa tersebut dengan gaji yang sedikit (berbanding dengan kaum lain), minyak yang mahal, harga barangan keperluan asas yang mahal dan perlu menampung keluarga miskin di kampung (juga berbanding dengan kaum yang lain), maka mereka termakan dengan tipu muslihat parti pembangkang untuk menurunkan harga minyak dan barangan di pasaran (siapa yang mengawal harga barangan di pasaran?)

Oleh itu, usahlah orang Melayu terlalai atau terikut dengan tuntutan tidak munasabah golongan kaum lain baik daripada pembangkang mahupun komponen BN.

Sebarang pemberian kepada mereka bukannya dibalas dengan sokongan berbanding dengan golongan Melayu yang majoriti golongan tuanya memberi sokongan padu kepada UMNO.

Ini adalah masa untuk UMNO bangkit dan memberi penilaian secara terperinci. Apakah yang UMNO harus lakukan untuk memenangi sokongan golongan muda Melayu? Bantulah golongan muda Melayu untuk menempuh keadaan ekonomi yang semakin mencabar, nescaya kami semua akan memberi sokongan kepada UMNO.

MOHD ALI SIDEK

Kuala Lumpur

No comments: