Friday, September 21, 2007

NASIONAL Isu pelantikan Dr Badariah ke Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menyerahkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan interpretasi Artikel 122AB dan 123 Perlembagaan Persekutuan berhubung kesahihan pelantikan Dr Badariah Sahamid sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim yang membuat keputusan itu dalam kamarnya, turut membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia supaya saman pemula difailkan Majlis Peguam terhadapnya ditangguh sehingga isu perlembagaan itu diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 Julai lalu, Majlis Peguam mengemukakan saman pemula untuk mendapatkan perisytiharan bahawa pelantikan Badariah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman sejak Mac lalu, batal dan tidak sah.

Badan itu mendakwa pelantikan Badariah bertentangan dengan Artikel 122AB dibaca bersama Artikel 123 Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman perlu mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai pengamal undang-undang.

Badan itu yang bertindak sebagai pemohon menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam saman pemula yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas).

Melalui afidavit diikrarkan Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan bagi menyokong permohonan itu, beliau mendakwa, Badariah yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman berkuat kuasa 1 Mac lalu, tidak pernah memohon Sijil Amalan atau Sijil Annual yang diwajibkan sebagai peguam cara dan peguam bela.

Beliau berkata, Badariah hanya pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) dan tidak berkhidmat di bawah Jabatan Kehakiman dan Perundangan sebelum pelantikannya.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Malaysia mengemukakan permohonan supaya isu yang dipertikaikan berhubung interpretasi Artikel 122AB dan 123 Perlembagaan Persekutuan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Mengikut afidavit Peguam Kanan Persekutuan, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan Badariah memenuhi semua kelayakan bagi jawatan itu.

Beliau berkata, Badariah berkelulusan Ijazah Undang-Undang kelas pertama daripada UM pada 1978 dan menerima Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada University of London setahun kemudian. Beliau memperoleh ijazah kedoktoran pada 2001 juga daripada UM.

ECER lonjak Pantai Timur

Oleh AZNAN BAKAR (WARTAWAN UTUSAN)

WILAYAH Pantai Timur yang meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor masih ketinggalan dari segi ekonomi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Walaupun mempunyai keluasan 66,736 kilometer persegi atau 51 peratus daripada keluasan Semenanjung, tetapi dari segi ekonomi ia jauh ke belakang.

Dengan keluasan yang begitu besar wilayah tersebut mempunyai pelbagai sumber yang berpotensi untuk dimajukan.

Ketiga-tiga negeri terbabit misalnya mempunyai pelbagai tempat yang menarik untuk dimajukan dengan industri pelancongan dan tanah yang cukup luas untuk diusahakan dengan pelbagai aktiviti pertanian.

Tetapi hakikatnya, Terengganu yang kaya dengan hasil minyak misalnya mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Semenanjung dan kedua tertinggi di Malaysia, selepas Sabah diikuti Kelantan.

Pantai Timur juga turut ketinggalan dalam semua bidang berbanding negeri-negeri di Pantai Barat yang menyebabkan sukar untuk ia menarik kemasukan pelabur asing.

Untuk itu pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hujung Oktober ini dijangka dapat membantu mempercepatkan pertumbuhan kawasan itu supaya seimbang dengan wilayah-wilayah lain.

ECER akan memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit supaya lebih tinggi daripada pertumbuhan nasional dalam usaha mewujudkan keseimbangan tersebut.

Seperti yang dijelaskan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican bahawa objektif utama pelan pembangunan ECER adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan di wilayah itu secara berdaya maju, seimbang dan mapan.

Sebab itu perkara utama yang diberi perhatian ialah meningkatkan sistem perhubungan dan kemudahan asas supaya ia bukan sahaja memudahkan penduduk untuk memasarkan hasil keluaran mereka tetapi pada masa yang sama dapat menarik kemasukan pelabur.

Bayangkan, jika Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) siap sepenuhnya, ia bakal menghubungkan bandar-bandar utama dari Kota Bharu hingga ke Johor Bahru dan secara tidak langsung terus ke Singapura.

Ia tidak sekadar memendekkan masa perjalanan tetapi memudahkan urusan pemasaran produk yang dihasilkan.

Pada masa yang sama ia akan memudahkan aliran masuk pelancong ke wilayah terbabit di samping dapat memajukan destinasi-destinasi baru.

Bagi penduduk tempatan pula, hasil industri kampung mereka akan lebih mudah dipasarkan dan dapat diusahakan pada skala lebih besar.

Seperti yang dijelaskan oleh Hassan, kajian mendapati, pada masa ini walaupun penduduk di kawasan terbabit terlibat dengan pelbagai bidang ekonomi, tetapi semuanya diusahakan secara kecil-kecilan dan tidak mampu untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Pada masa yang sama ia akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu mengeluarkan penduduknya dari garis kemiskinan.

Ia juga dapat mengatasi pelbagai masalah sosial yang membabitkan remaja ekoran tekanan hidup akibat peluang ekonomi yang terhad.

Ini selari dengan misi ECER iaitu menggerakkan ekonomi dengan memperbaiki sistem rantaian nilainya, meningkatkan keupayaan bagi mendapatkan pengetahuan dan inovasi, menangani ketidakseimbangan sosio ekonomi yang berterusan, meningkatkan standard dan kualiti kehidupan dan mengukuhkan institusi dan melaksanakan keupayaan.

Dengan mengambil kira keluasan kawasan ECER yang luas termasuk garisan pantai yang panjang dan pulau-pulau yang menarik, teras pembangunan ECER ialah pertanian dan pelancongan.

Manakala sektor lain seperti minyak dan gas, petrokimia dan pembuatan telah dikenal pasti untuk menyegarkan lagi pembangunan di wilayah itu.

Semua ini dijangka mampu menghasilkan 561,000 peluang pekerjaan menjelang 2020 dan dijangka dapat membanteras kemiskinan tegar yang membelenggu wilayah berkenaan.

Dari segi purata pendapatan isi rumah pula ia akan meningkat daripada RM2,267 sebulan sekarang kepada RM5,227 pada 2020.

Pertumbuhan dalam negeri kasar pula (GDP) bagi wilayah itu yang pada masa ini hanya 5.7 peratus akan meningkat kepada 7.2 peratus

Sebab itu strategi pembangunan ECER ialah memperkukuhkan kedudukan ekonominya dengan memajukan sektor sedia ada supaya lebih berdaya maju di samping mencari dan memperkenalkan sumber baru.

Sumber-sumber baru itu termasuk menggalakkan kemasukan Pelaburan Terus Asing (FDI) dalam bidang-bidang berpotensi yang mana akhirnya ia akan membawa kemakmuran di wilayah tersebut.

Apa yang penting, ECER menjanjikan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di ketiga-tiga negeri terbabit dan daerah Mersing di Johor tanpa mengira fahaman dan ideologi politik.

Setiap negeri dan wilayah akan dibangun berdasarkan kelebihan dan kekuatan masing-masing.

Hassan berkata, sebagai perancang utama, Petronas telah berbincang dengan kesemua empat kerajaan negeri, yang termasuk dari Kelantan yang dikuasai pembangkang.

“Jika ada fokus dan komitmen kukuh, tiada sebab kenapa ECER tidak boleh berjaya,” katanya.

Friday, September 7, 2007

BPR tahan Hakim Mahkamah Syariah lepaskan GRO

Oleh Zaini Raban dan Amizul Tunizar Ahmad Termizi

IPOH 6 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan seorang hakim syarie atas dakwaan menerima rasuah untuk ‘menyelesaikan’ satu kes melibatkan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang dikendalikannya.

Beliau ditahan oleh sepasukan pegawai BPR di sekitar bandar raya ini kira-kira pukul 3.30 petang selepas didakwa menerima wang berjumlah kira-kira RM4,000.

Menurut sumber, hakim berkenaan sebelum ini dikatakan menerima bayaran itu secara berperingkat-peringkat daripada pihak yang menghadapi dakwaan tersebut.

‘‘Beliau dipercayai telah menerima beberapa bayaran daripada pihak terbabit tetapi jumlah keseluruhan wang itu belum diketahui.

‘‘Berdasarkan maklumat, BPR juga yakin beliau telah lama melakukan ‘kerja’ (rasuah) ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, hakim berkenaan kini disoal siasat oleh pegawai penyiasat BPR.

Jelas beliau, jika proses itu tidak selesai, pihak BPR berkemungkinan besar akan memohon perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret, esok.

Katanya, ini kerana hakim berkenaan juga disyaki terlibat dengan beberapa kes rasuah lain.

Tambahnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi mengesahkan penahanan hakim syarie itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Betulkan integriti diri -- Rakyat perlu tanam tekad agar setiap rancangan bawa kebaikan

PUTRAJAYA 6 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat agar menanam tekad untuk membetulkan integriti diri masing-masing supaya setiap yang dirancang akan membawa kebaikan.

Menurut Perdana Menteri, ini termasuk melakukan muhasabah diri dengan bertanyakan soalan mengenai apa yang betul dan apa yang salah dalam setiap perkara yang dilakukan.

‘‘Dulu saya bercakap mengenai sistem penyampaian awam, berkaitan rasuah, disiplin dan peraturan. Banyak kali dah cakap, jadi hari ini saya ingin cakap pasal diri.

‘‘Yang bantah dan yang menyeleweng semuanya berpunca dari diri kita sendiri, sedangkan peraturan yang banyak itu adalah untuk memperkuat dan memperbetulkan manusia, semua itu termasuk pindaan undang-undang dan peraturan adalah untuk menjadikan kita orang baik,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Integriti 2007 di sini hari ini.

Pada majlis itu, perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara IIM dengan MIMOS Bhd., Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri turut mengajak seluruh lapisan masyarakat menjadikan diri masing-masing sebagai ‘manusia terbaik’ dengan melakukan perkara yang baik kerana perbuatan itu akan menentukan masa depan mereka.

‘‘Biasanya kalau kita buat kerja baik, yang lain tidak berani buat salah, tolong ingat mengenainya kerana kepimpinan perlu menunjukkan contoh.

‘‘Saya laksanakan kepimpinan melalui teladan. Kita perlu ingati diri kita kerana kita menjadi pemimpin dalam keluarga, pekerjaan serta persatuan dan yang penting kita semua perlu pimpin diri sendiri,” jelasnya.

Mengenai integriti, Perdana Menteri memberitahu, ia mesti dimulakan dari rumah dengan anak-anak diajar mengenai disiplin, amanah, kasih sayang, tidak berbohong, tolong-menolong dan nilai-nilai lain yang boleh membina sahsiah diri.

Menurut Abdullah, jika didikan sedemikian diberi secara bersungguh-sungguh oleh ibu bapa, anak-anak akan menjadi insan yang baik.

Ibu bapa menurut beliau, perlu menjadi contoh terbaik dan tidak menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

‘‘Tunjukkan kepada anak-anak, keluarga terdekat dan rakan-rakan pejabat bahawa cara kita itu mempunyai keluhuran dan ciri-ciri yang baik, ada pekerti yang luhur dan mulia,’’ jelasnya.

Dalam masa sama juga, kata Perdana Menteri, aspek pembangunan modal insan perlu disemai dalam diri dan ia tidak hanya tertumpu kepada ilmu pengetahuan kerana pandai sahaja belum tentu akan menjadi manusia yang baik budi pekertinya.

‘‘Kita mesti memahami bahawa pembangunan modal insan adalah satu program pembangunan integriti yang penting kerana ia adalah asas kepada pembangunan peribadi yang mulia,” katanya.

Thursday, September 6, 2007

Kes hakim tidak tulis penghakiman dilapor kepada PM

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

PUTRAJAYA 5 Sept. – Laporan siasatan kes Hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak menulis alasan penghakiman telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, beliau telah menyiasat dakwaan itu dan satu laporan mengenainya disediakan.

“Laporan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan hakim-hakim baru di Palace of Justice di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang menamakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff sebagai hakim yang masih belum menulis 35 alasan penghakiman.

Pada sidang Dewan Rakyat 27 Ogos lalu, Karpal Singh menyatakan Hakim Hashim masih belum menulis 35 penghakiman itu dan menggesa Ketua Hakim Negara menyiasat perkara berkenaan.

Karpal mendakwa, empat daripada 35 kes itu membabitkan tertuduh yang dijatuhkan hukuman mati tujuh tahun lalu.

Karpal Singh membangkitkan perkara itu setelah Ketua Hakim Negara menafikan beliau menaikkan pangkat hakim yang tidak menulis penghakimannya, malah Ahmad Fairuz meminta pihak yang menimbulkan isu itu menunjukkan bukti kepadanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri yang ditanya mengenai dakwaan Karpal itu mengarahkan Ketua Hakim Negara menyiasatnya.

Ahmad Fairuz bagaimanapun enggan menjelaskan kandungan laporan yang dihantar kepada Abdullah.

Beliau berkata, hakim yang dibuktikan tidak menjalankan tugas dengan sempurna termasuk tidak menulis alasan penghakiman sehingga menyebabkan tertuduh meringkuk di penjara untuk tempoh yang panjang boleh dikenakan tindakan dipecat daripada jawatan.

Beliau berjanji akan melihat peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara dalam memutuskan tindakan terhadap hakim-hakim yang tidak membuat penghakiman bertulis.

Menurut Ahmad Fairuz, jika undang-undang dan Perlembagaan membenarkan hakim dipecat, beliau akan melaksanakan tindakan itu.

“Kami sebagai hakim bertindak atas fakta dan bukti. Jika keadaan membenarkan pemecatan hakim, kami akan melakukannya,” kata beliau.

Beberapa pihak sebelum ini membangkitkan isu kegagalan hakim menulis kira-kira 100 penghakiman kes jenayah di peringkat Mahkamah Tinggi dan Rayuan serta 1,000 kes jenayah di peringkat Mahkamah Majistret dan Sesyen.

Persidangan APICC 2007: Selat Melaka topik utama


Kaedah terbaik dicari tingkat keselamatan perairan daripada ancaman pengganas


KUALA LUMPUR: Keselamatan Selat Melaka, antara laluan perkapalan utama dunia dijangka menjadi antara topik perbincangan sepanjang empat hari Persidangan Ketua Perisikan Pertahanan Asia Pasifik (APICC) 2007, bermula semalam.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, berkata isu itu dijangka menjadi tumpuan berikutan kawasan perairan berkenaan didakwa terdedah kepada ancaman pengganas dan serangan lanun.

“Kajian mendapati 30 peratus daripada aktiviti perdagangan global, selain 50 peratus sumber tenaga dunia dieksport melalui Selat Melaka setiap tahun. Malah, 34 peratus daripada hasil pengeluaran dunia dijangka diperoleh dari rantau ini menjelang 2010.

“Ia sekali gus menarik perhatian kumpulan pengganas, termasuk lanun untuk mengambil kesempatan dan keadaan ini dikhuatiri boleh menyebabkan perairan itu tidak selamat digunakan jika langkah menanganinya tidak diambil segera,” katanya.

Justeru, APICC 2007 akan mencari pendekatan terbaik dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan kawasan perairan itu melalui perkongsian maklumat perisikan pertahanan, selain pengalaman dan kepakaran negara peserta.

“Tugas menjaga keselamatan Selat Melaka tidak seharusnya diserahkan kepada Malaysia semata-mata, sebaliknya perlu digalas bersama semua negara peserta persidangan, yang turut menggunakan perairan itu sebagai laluan perdagangan.

“Program kerjasama ini juga tidak sepatutnya bertumpu kepada Selat Melaka semata-mata, malah semua perairan lain di rantau ini, termasuk Laut China Selatan yang turut digunakan sebagai laluan perdagangan,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia menyambut baik penubuhan Pusat Menangani Aktiviti Pengganas Asia Tenggara (SEARCCT) sejak empat tahun lalu dalam usaha menangani ancaman pengganas pada peringkat serantau.

Malah, Abdul Aziz berharap penubuhan pusat itu dimanfaatkan sepenuhnya dalam menangani isu keselamatan serantau.

“Kita memerlukan aspek penyelarasan lebih baik dalam menangani masalah pengganas dan serangan lanun. Ini boleh dilaksanakan melalui penubuhan pusat ini dengan bertukar maklumat perisikan pertahanan, pengalaman dan kepakaran di kalangan negara serantau,” katanya.

Ahmad Fairuz serah laporan kepada PM



Oleh Shamshul Azree Samshir


PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sudah menyerahkan laporan hasil siasatan dakwaan hakim tidak membuat penghakiman bertulis bagi 35 kes kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ahmad Fairuz berkata, Perdana Menteri sudah dimaklumkan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff yang didakwa tidak membuat penghakiman bertulis termasuk empat yang dijatuhi hukuman mati tujuh tahun lalu dan pesalah masih berada di penjara.

"Saya sudah tulis kepada Perdana Menteri...sudah bagi laporan kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Kompleks Keadilan (POJ) di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Fairuz enggan memperincikan laporan siasatan berkenaan.

Pada majlis itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Alauddin Mohd Sheriff masing-masing mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya yang baru.

Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan kosong selepas Tan Sri Abdul Malek Ahmad meninggal dunia pada 31 Mei lalu akibat barah otak, manakala Hakim Besar Malaya disandang Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sejak persaraan Tan Sri Siti Norma Yaakob pada 5 Januari lalu.

Dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan mengangkat sumpah iaitu Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Zaki Azmi, manakala 10 yang lain mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah, Datuk Mohd Safian Abd Razak, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Abdul Alim Abdullah, Datuk Ghazali Cha, John Louis O’Hara, Rosnaini Saub, Lim Yee Lan, Suraya Othman, Datuk Abd Rahim Uda dan Noor Azian Shaari.

Ahmad Fairuz berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau sudah memberi penjelasan kepada Perdana Menteri seperti diminta Abdullah.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kegagalan hakim berbuat demikian amat mendukacitakan kerana ia penting untuk mereka yang terbabit dalam perbicaraan.

Ahmad Fairuz juga berkata, beliau akan menyemak bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap hakim yang tidak membuat penghakiman bertulis mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Ditanya kemungkinan hakim dipecat kerana kesalahan itu, beliau berkata: "Jika keadaan membenarkan, kita kena pecat. Kami hakim membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukti."

Mengenai dakwaan sama membabitkan kegagalan hakim membuat penghakiman bertulis 100 kes di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta 1,500 lagi di mahkamah rendah iaitu Mahkamah Majistret dan Mahkamah Seksyen, Ahmad Fairuz berkata beliau akan menyiasat dakwaan itu.

Tuesday, September 4, 2007

Mahkamah arah pasangan sama jantina dipisahkan

Mohd Sofian 'bernikah' lima tahun lalu disahkan perempuan sejati

MELAKA: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan status pernikahan pasangan sama jantina, Mohd Sofian dan Zaiton Aziz yang ‘dinikahkan’ lima tahun lalu tidak sah dan bercanggah dengan hukum syarak.

Hakim Che Saufi Che Husin memerintahkan kedua-duanya difarakkan atau dipisahkan sebagai pasangan suami isteri berikutan Mohd Sofian atau nama dalam surat beranaknya, Mazinah bte Mohamad, 40, sebenarnya perempuan sejati dan Islam melarang sesiapa menukar jantina kerana hanya sebab minat, kecenderungan atau ingin menjadi lelaki atau perempuan atau sebaliknya.

Selain itu, Che Saufi memerintahkan Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukar nama dan status jantina Mohd Sofian kepada nama dan status jantina asal seperti yang tercatat dalam sijil kelahirannya.

Mahkamah mensabitkan bahawa pernikahan Mohd Sofian dan Zaiton Aziz, 43, pada 27 Disember 2002 tidak sah, selain tidak menepati hukum syarak, manakala segala urusan atau kos ditanggung pihak masing-masing.

Namun, jika mana-mana pihak tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari.

Che Saufi berkata pengakuan Mohd Sofian dirinya bertukar sebagai lelaki hanya dakwaan yang meragukan dan mengelirukan, selain gagal membuktikan atau meyakinkan mahkamah dirinya lelaki.

Sementara itu, Che Saufi berkata, ketika responden pertama memberi keterangan dalam kamar yang dihadiri hakim bicara, peguam responden dan plaintif sebelum ini, Zaiton menyatakan bahawa sebagai isteri, beliau tidak pernah menyentuh atau melihat alat kelamin responden pertama yang dianggapnya sebagai lelaki, tetapi cuma menyatakan seronok dan puas ketika bersama.

"Ini adalah perkara yang menakjubkan dan mustahil pada akal manusia normal untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Pada pandangan mahkamah, pengakuan responden pertama adalah pengakuan ataupun ikrar yang serius. Dengan ini kedua-dua responden gagal membuktikan kepada mahkamah bahawa responden pertama 'khunsa' walaupun dihujahkan peguam belanya, Zulfikri Zakaria.

"Responden juga tidak membuktikan kepada mahkamah dia mempunyai unsur-unsur alat kelamin lelaki," katanya.

Pasangan itu sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 11 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 yang jika sabit kesalahan, pernikahan boleh dibatalkan dan diarah berpisah.

Mohd Sofian dan Zaiton dikatakan dinikahkan secara sah oleh Imam Satu Masjid Bukit Cina, Ishak Juki, selepas pengantin pengantin lelaki mendapat pengesahan sidang kampung.

Saturday, September 1, 2007

Tanggungjawab UDA majukan bumiputera

Oleh: LATIFAH OSMAN

SELEPAS 14 tahun negara mencapai kemerdekaan, kerajaan mula memberi perhatian terhadap usaha menaikkan taraf ekonomi orang Melayu. Selain menyusun semula struktur ekonomi bumiputera, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengorak langkah menubuhkan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) pada 12 November 1971.

Penubuhan UDA tidak lain tidak bukan bertujuan membangunkan ekonomi orang Melayu di kawasan bandar. Ia sejajar dengan matlamat utama penubuhan UDA iaitu untuk menyusun semula masyarakat Melayu melalui aktiviti pembangunan bandar, supaya tidak terus terpinggir. UDA berperanan memenuhi agenda meningkatkan kedudukan orang Melayu di bandar-bandar sebagaimana yang diamanahkan di bawah Akta Pembangunan Bandar 1971.

Tugas UDA bermula pada tahun 1974 apabila menerusi projek pembangunan bandar baru Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) iaitu sebaik sahaja selepas Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan.

TTDI bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah kawasan perumahan, malah menjadi tempat bersosial rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama yang tinggal di bawah satu bumbung.

Selepas 10 tahun, UDA melebarkan fokusnya dengan mengenal pasti sebuah kawasan penting di pusat bandar yang tidak dimanfaatkan secara maksimum.

Kesungguhan UDA itu mengilhamkan konsep pembaharuan semula bandar dengan terbinanya dua menara pejabat, pejabat pos besar dan tempat letak kereta bertingkat.

Di tapak yang dulunya dikenali sebagai North Goodsyard Keretapi Tanah Melayu pada zaman 1970-an, UDA telah membina mercu tanda baru iaitu, Menara Dayabumi.

Bangunan setinggi 33 tingkat yang mempunyai blok podium itu menempatkan ruang niaga dengan keluasan melebihi 65,000 meter persegi. Ia merupakan sebuah bangunan tercanggih dan termahal pernah dibina pada ketika itu yang berkonsepkan seni bina moden Islam.

Sejajar dengan arus perubahan negara, UDA telah dikorporatkan pada 1 September 1996 dan dikenali sebagai UDA Holdings Sendirian Berhad.

Ia kemudian disenaraikan sebagai syarikat awam di Bursa Kuala Lumpur sebagai UDA Holdings Berhad pada 18 November 1999 dan berada di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Selain perintis kepada beberapa bandar baru, UDA juga turut menyediakan projek-projek perumahan dan pusat komersial yang berprestij dan eksklusif di kawasan Lembah Klang seperti Angkasa Impian II Servis Kondominium dan juga projek kondominium Sinaran TTDI, yang terbaru di lokasi elit Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur yang mana setakat ini telah berjaya mencatat jualan unit sehingga 80 peratus.

Di antara projek perumahan servis lain yang akan dibangunkan ialah di Jalan Maa‘rof, Bangsar dan Jalan Sultan Ismail. Di antara pusat komersial berprestij yang dalam perancangan untuk dibina adalah ruang niaga butik dan bangunan pejabat gred A di Jalan Sultan Ismail dan pusat perniagaan lima tingkat di Jalan Pantai Baru.

Bagi projek pusat komersial pula sambutan hangat pembeli bumiputera terhadap lot kedai pejabat di Pusat Bandar Baru Tampoi, Johor membuktikan pilihan pembeli yang berkeyakinan penuh terhadap projek UDA yang sinonim dengan imej dan kualiti binaan.

Ternyata bahawa UDA telah berjaya menjalankan tanggungjawabnya dalam membantu usahawan bumiputera dengan menyediakan bandar-bandar baru, ruang niaga dan pusat-pusat perniagaan yang strategik dan aktiviti ini ternyata berjaya membantu mengembangkan ekonomi Melayu di bandar.

UDA tidak sekadar berkecimpung dalam proses menyediakan premis perniagaan dan kediaman, sebaliknya usahawan bumiputera diberi peluang memasarkan produk-produk keluaran mereka di premis-premis perniagaan UDA.

Manakala bagi syarikat profesional dan pemborong bumiputera, mereka juga diberi peluang memberi khidmat rundingan dan membantu dalam melaksanakan pembinaan projek-projek hartanah UDA. Program ‘Vendor’ yang dilaksanakan oleh UDA telah membuka peluang kepada para usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri bekalan bahan binaan, peralatan sistem keselamatan rumah, pejabat, taman permainan serta landskap untuk membekalkan barang-barang bagi projek-projek yang dimajukan oleh UDA.

Pengarah Urusan, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, sepanjang penglibatan UDA dalam sektor hartanah, ia telah berjaya memajukan sebanyak 18 bidang tanah hak milik bumiputera di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

“UDA juga adalah salah satu pemilik utama kompleks-kompleks perniagaan di negara ini. Peranan UDA terserlah melalui aktiviti pembangunan kompleks perniagaan dan juga bandar-bandar baru. Sehingga kini UDA memiliki 11 kompleks perniagaan,’’ katanya.

Beliau menambah, pembangunan bandar-bandar baru UDA seperti Bandar Tun Hussein Onn di Cheras, Bandar UDA Utama dan Pusat Bandar Tampoi di Johor Bahru, dan Taman Pauh Jaya di Pulau Pinang telah dapat membuka banyak peluang pekerjaan baru dan premis perniagaan serta perkhidmatan kepada rakyat dan masyarakat setempat.

Beliau turut menyentuh mengenai Inap Desa iaitu projek terbaru UDA dalam industri pelancongan. Menerusi program tersebut UDA telah menjalinkan hubungan perniagaan dengan 28 buah homestay bagi memberi peluang kepada para usahawan pelancongan untuk memperkenalkan produk-produk unik mereka kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Dari aspek tanggungjawab sosial pula, kata Jaafar, UDA telah mengadakan perjanjian kerjasama dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dalam usaha membangunkan tanah wakaf milik MAIPP.

Beliau berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan premis-premis perniagaan dan beberapa unit rumah untuk dimanfaatkan kegunaannya bagi masyarakat Islam. Menurut Jaafar, ia secara tidak langsung dapat membantu orang Melayu yang kurang berkemampuan memiliki aset sendiri dengan membeli unit rumah atau premis perniagaan dengan harga yang lebih rendah. UDA bukan sahaja boleh dilihat sebagai syarikat pemaju hartanah, tetapi turut memainkan peranan penting dalam pembangunan usahawan bumiputera sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera yang berjaya dan merdeka.