Daripada Razak Rashid Ghows
2010/04/05
ASEAN sekali lagi memperbaharui komitmen dan semangat mereka dalam jaringan kerjasama lebih efektif pada Sidang Kemuncak ke-16, yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam dari 8 hingga 9 April ini.
Sidang itu adalah susulan sidang kemuncak di Cha-am, Hua Hin di Thailand Oktober lalu yang menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian dan penubuhan Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR). Pada sidang kali ini, dua dokumen penting dijangka akan diluluskan sebagai resolusi iaitu deklarasi bersama mengenai pemulihan dan pembangunan lestari dan satu lagi deklarasi mengenai perubahan iklim. Delegasi Malaysia pada sidang berkenaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan turut disertai beberapa menteri yang ada kaitan secara langsung dengan isu yang dibincang, termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim atau wakil mereka.
Sidang itu didahului dengan mesyuarat persediaan pada peringkat pegawai, bermula dengan perbincangan makan malam hari ini dan mesyuarat pegawai kanan (SOM) esok bagi meneliti agendanya, sebelum dikemukakan kepada ketua kerajaan Khamis ini.
Mesyuarat pada peringkat menteri dan pegawai kanan itu akan mengemas kini cadangan bagi pembentukan sebuah komuniti Asean menjelang 2015, yang diputuskan di Cebu pada sidang kemuncak 2007.
Seperti pada sidang sebelum ini, ketua kerajaan negara Asia Tenggara itu akan memberi tumpuan kepada isu makro-ekonomi bagi merangka dasar yang berdaya saing di rantau ini untuk menyumbang kepada usaha negara Kumpulan 20 dalam menangani krisis ekonomi dan kewangan global.
Pada 7 April, Suruhanjaya Asean mengenai Penggalakan dan Perlindungan Hak Asasi Wanita dan Kanak-Kanak dijangka akan ditubuhkan dengan rasmi. Syarat dan peraturan penubuhan suruhanjaya wanita dan kanak-kanak itu sudah pun dipersetujui pada mesyuarat peringkat Menteri Asean Mengenai Kebajikan Sosial dan Pembangunan tahun lalu.
Dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan, setiap negara anggota akan mempunyai wakil hak asasi wanita dan seorang wakil hak asasi kanak-kanak dalam badan serantau itu.
Pemimpin Asean juga akan menggunakan kesempatan ini bagi membincang dengan lebih mendalam mengenai pelan tindakan untuk menangani perubahan iklim, sebagai tindak balas kepada sidang iklim di Copenhagen Disember lalu dan persediaan bagi sidang iklim akan datang di Mexico hujung tahun ini.
Selain itu, pemimpin Asean juga akan mengadakan perbincangan dengan Perhimpunan Antara-Parlimen Asean (AIPA) bagi memperoleh sokongan daripada ahli parlimen negara anggota dalam memastikan perkara yang diperse-tujui pada peringkat serantau itu dilaksanakan dengan berkesan pada peringkat nasional.
Isu keselamatan serantau mungkin tidak disentuh dalam mesyuarat kali ini, tetapi umumnya semua negara anggota menyedari masalah dihadapi di Myanmar dan Thailand, yang seolah-olah tidak menampakkan penyelesaian jitu.
Pemimpin boleh memberi pandangan dan bukannya mengeluarkan pendirian rasmi memandangkan Asean mengamalkan prinsip tidak mencampuri hal-ehwal dalaman anggotanya. Masalah yang berlarutan di negara terbabit boleh memberi kesan dan mungkin menjejaskan pembentukan sebuah komuniti Asean yang stabil dan aman jika ia dibiarkan tanpa penyelesaian bagi tempoh terlalu lama.
Pemimpin Asean boleh menyatakan pandangan mereka dengan secara tidak rasmi pada retreat atau perjumpaan berkumpulan tidak rasmi Jumaat ini bagi merakamkan betapa pentingnya pilihan raya di Myanmar diadakan dengan bebas dan adil, dan agar pejuang prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dibebaskan.
Pilihan raya di Myanmar dijadualkan pada penghujung tahun ini dan semua parti politik yang berhasrat untuk bertanding dikehendaki mendaftar sehingga akhir Mac lalu. Namun parti pimpinan Aung San Suu Kyi, Liga Nasional Demokrasi (NLD) memutuskan untuk tidak bertanding kerana tidak bersetuju dengan syarat pemerintah tentera bahawa Suu Kyi perlu terus menjalani hukuman penjaranya.
Monday, April 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment