Friday, April 2, 2010

MEB: Memahami erti kualiti hidup

Bersama Mior Kamarul Shahid

2010/04/03
Sokongan padu rakyat mampu realisasi dasar kerajaan

APA juga dasar yang dirumus oleh sesebuah kerajaan demokrasi, biasanya ia menjurus kepada matlamat untuk kesejahteraan hidup rakyat. Semua kerajaan dalam sistem demokrasi mahukan rakyat hidup selesa dan gembira pada tahap paling maksimum. Tetapi, setiap kerajaan juga ada batas kemampuannya.

Jika rakyat yang mempunyai kuasa undi berasakan mereka tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan yang mereka pilih, mereka boleh menggunakan kuasa undi untuk menukar kerajaan. Inilah sebenarnya asas sistem demokrasi yang diamalkan hari ini. Parti pembangkang juga menjadikan isu kesejahteraan hidup rakyat untuk memanipulasikan keadaan. Kerajaan yang tidak menjaga kepentingan rakyatnya, lebih mudah ditumbangkan. Di Malaysia, disebabkan kerajaan menyedari kepentingan kesejahteraan hidup rakyat, segala pembangunan difokuskan kepada program dan projek yang memberi faedah kepada rakyat.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan asas Rakyat didahulukan sebagai moto pentadbirannya. Rakyat sedar selagi kerajaan bertanggungjawab terhadap masalah mereka, rakyat akan memberi sokongan.

Kesejahteraan hidup bukan ditentukan oleh usaha kerajaan semata-mata. Setiap dasar, walau bagaimana baik sekali pun akan gagal jika tidak mendapat sokongan daripada rakyat jelata. Untuk menikmati keselesaan hidup, ia ditentukan oleh faktor manusia yakni secara khususnya membabitkan setiap individu.

Mereka yang rajin belajar atau kuat bekerja, lebih mudah menikmati kesejahteraan hidup daripada mereka malas belajar dan bekerja sekadar untuk hidup. Dalam ekonomi pasaran bebas wujud jurang antara golongan yang menikmati keselesaan hidup dan kaya-raya berbanding mereka yang hidup sengsara. Bila wujud struktur kehidupan manusia antara kaya dan miskin, dengan sendirinya wujud jurang hidup antara darjat manusia.

Jika mengambil kira faktor ekonomi semata-mata, kesejahteraan hidup adalah sesuatu yang subjektif. Ada orang kaya hidupnya selesa tetapi tidak tenteram, manakala ada orang miskin kehidupannya begitu tenteram apatah lagi selama ini dia tidak tahu pun bagaimana rasanya hidup sebagai orang kaya.

Jika keselesaan hidup diukur semata-mata berasaskan faktor ekonomi, lebih ramai orang yang tidak selesa akibat kesempitan hidup. Betul, wang penting dalam kehidupan, tetapi wang bukanlah segala-galanya. Ada wang tetapi tidak ada benda yang hendak dibeli atau dibelanjakan, ia boleh menyebabkan seseorang berasa tidak selesa menetap di negaranya. Itu sebab ada rakyat sesebuah negara yang terpaksa berhijrah ke negara lain kerana berasakan hidupnya tidak selesa.

Keselesaan hidup untuk kumpulan manusia yang lebih besar boleh dicapai menerusi gerakan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Oleh itu, cadangan Model Ekonomi Baru (MEB) yang meletakkan Kualiti Hidup sebagai tonggak matlamatnya adalah program atau bila diterjemahkan kepada satu dasar, ia menjadi idea yang hebat.

Matlamat MEB yang kini masih dalam peringkat cadangan ialah memastikan Kualiti Hidup Rakyat terus terjamin. Untuk mencapai matlamat kualiti hidup, MEB menggariskan pertama, Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi; kedua, keterangkuman iaitu membolehkan semua komuniti menikmati kekayaan negara sepenuhnya dan ketiga, kemampanan yakni memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan generasi akan datang.

Ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirumuskan selepas peristiwa 13 Mei 1969, ia meletakkan landasan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan sebagai matlamat utama. Ia sebenarnya menjadi permulaan kepada usaha menyediakan satu suasana yang berkualiti kepada rakyat.

Ketika itu matlamat DEB amat bersesuaian kerana negara masih dalam ancaman persengketaan kaum yang juga berpunca daripada kemiskinan hidup. Jika DEB dengan matlamat yang relevan pada waktu, MEB boleh dianggap sebagai lanjutan daripada DEB.

Kualiti Hidup Rakyat boleh dilihat daripada beberapa perspektif. Terma kualiti hidup biasanya digunakan.

Untuk menilai kehidupan umum manusia sama dan individu atau masyarakat. Terma itu digunakan secara meluas dalam pelbagai konteks termasuk bidang pembangunan antarabangsa, penjagaan kesihatan dan sains politik.

Ia berbeza dengan taraf kesihatan (standard of living) yang semata-mata berpandu kepada pendapatan. Sebaliknya, piawaian penunjuk kualiti hidup termasuk bukan saja kekayaan dan pekerjaan, tetapi juga pembinaan alam sekitar, kesihatan fizikal dan mental, pendidikan, rekreasi dan waktu berehat dan pemilikan sosial.

Ada juga pihak meluaskan takrifan kualiti hidup kepada konsep kebebasan, hak asasi manusia dan kegembiraan. Pada peringkat antarabangsa, kualiti hidup turut dilihat dari segi indeks pembangunan manusia. Ia turut membabitkan kebolehan untuk hidup dan kualiti bebas jenayah.

No comments: