Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my
Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac lalu berupaya mengubah nasib golongan berpendapatan rendah yang mewakili hampir separuh tenaga kerja untuk menerima pendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Selain meningkatkan pendapatan, model berkenaan juga mampu menjadi pemangkin bagi Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).
MEB yang melibatkan peningkatan kemahiran dan produktiviti itu memberikan tumpuan untuk mengubah Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi melalui penjanaan lebih banyak pembangunan ekonomi.
Ahli Jawatankuasa Biro Ekonomi UMNO, Datuk Dr. Norraesah Mohamad berkata, di bawah MEB golongan berpendapatan rendah yang mewakili 40 peratus daripada tenaga kerja negara akan menerima gaji lebih baik.
''Mengubah kedudukan 40 peratus ini daripada golongan berpendapatan rendah kepada berpendapatan tinggi merupakan fokus baru dalam usaha pembangunan modal insan negara.
''Potensi ekonomi sejumlah 40 peratus tenaga kerja negara yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan ini perlu ditingkatkan bagi membolehkan mereka memperbaiki kedudukan dalam rantaian nilai,'' jelasnya.
Norraesah yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sorbornne, Paris menambah, golongan berkenaan juga perlu diberikan semula pelbagai kemahiran bagi membolehkan mereka mendapatkan peluang pekerjaan baru dalam industri utama seperti pelancongan, minyak dan gas serta pertanian.
''Kesemua industri ini memerlukan pekerja yang berkemahiran tinggi supaya dapat menawarkan gaji yang tinggi dalam rantaian nilai.
''Sasaran untuk memastikan golongan 40 peratus tersebut menerima gaji tinggi bertujuan melibatkan mereka dalam ekonomi berpendapatan tinggi dengan matlamat pendapatan berkapita AS$15,000 (RM49,000) setahun menjelang 2020 daripada AS$7,000 (RM23,000) sekarang,'' katanya.
Norraesah sebelum ini memberitahu bahawa Malaysia memerlukan sebuah model ekonomi yang baru untuk keluar dari 'kepompong pendapatan sederhana'.
''Ya, Perdana Menteri sememangnya berada di landasan yang betul. MEB memberikan lebih banyak fokus supaya negara meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai ekonomi, menarik dan mengekalkan bakat serta kemahiran. MEB yang memberikan tumpuan kepada inovasi sudah pasti akan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.
''Ini adalah seruan supaya kita semua sedar dan bangkit daripada lena. Dengan saingan sengit daripada negara-negara jiran untuk mendapatkan FDI dan tumpuan dunia untuk mewujudkan pasaran luas dalam ekonomi Asia yang terdiri daripada China, India, Vietnam dan Indonesia (Ekonomi CIVI), Malaysia menghadapi cabaran bukan sahaja dalam menarik FDI tetapi juga tenaga mahir," katanya.
Tambah Norraesah, MEB juga akan mengatasi sebarang ketidakseimbangan yang wujud dalam negara pada masa ini. Malaysia kini bukan sahaja terlalu banyak bergantung kepada modal asing, teknologi dan kemahiran malah persaingan untuk meletakkan diri di tempat paling atas menjadi semakin sukar.
Beliau berpandangan sementara usaha untuk meletakkan negara di tangga teratas menjadi sukar, kebarangkalian untuk Malaysia turun ke kedudukan lebih rendah dilihat semakin besar.
''Malaysia juga kini tersekat pada kedudukan yang sangat sukar. Dengan pendapatan rakyat yang rendah, terdapat negara yang rakyatnya memiliki pendapatan jauh lebih tinggi daripada negara Ekonomi CIVI yang sedang berkembang dengan begitu pesat dan mempunyai jumlah penduduk yang lebih ramai.
Oleh itu, Malaysia tidak lagi kompetitif dari segi harga dalam menarik FDI," jelasnya.
Tahun lalu, kerajaan meluluskan sejumlah 766 pelaburan industri bernilai RM32.6 bilion di mana 67.8 peratus daripadanya atau RM22.1 bilion merupakan pelaburan asing.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad berkata, golongan 40 peratus daripada tenaga kerja Malaysia amat memerlukan latihan kemahiran semula supaya mereka boleh memperbaiki kedudukan dalam MEB.
''Golongan 40 peratus yang berpendapat rendah ini terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan terdapat di seluruh negara. Golongan ini wujud dalam jumlah yang tinggi di Lembah Klang dan dikenali sebagai golongan miskin bandar. Jumlah yang sama turut dapat dilihat di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
''Ada sesuatu yang perlu diperbetulkan secara menyeluruh dan merentasi semua kumpulan etnik. Kita perlu melihat ini sebagai satu tindakan berkesan dalam merangsang ekonomi negara,'' jelasnya.
Shahrir menambah, Malaysia perlu bergerak pantas dalam agenda melengkapkan 40 peratus tenaga kerja berpendapatan rendah ini dengan kemahiran baru.
''Ini kerana golongan ini amat diperlukan oleh industri utama negara yang akan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai,'' jelas beliau.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, FDI selama ini hanya terhad kepada bidang industri seperti perusahaan, produk kimia, produk mineral, produk elektrik dan elektronik.
''Malaysia tidak boleh lagi berasa selesa dengan menjangkakan bahawa ekonomi akan tumbuh secara semula jadi. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan iaitu pendapatan rendah dan ekonomi bernilai rendah, Malaysia akan ketinggalan di kalangan negara jirannya. Malaysia juga tidak akan dilihat lagi sebagai ekonomi penting di Asia dan ini merupakan satu malapetaka kepada negara," katanya.
Biarpun Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mantap, pendapatan penduduknya adalah sangat rendah berbanding dengan negara-negara Asia Timur yang lain.
Ini bermakna pertumbuhan ekonomi tidak diterjemahkan dalam bentuk peningkatan pendapatan rakyat Malaysia.
Razali menegaskan biarpun Malaysia mencatatkan peningkatan dari segi pendapatan per kapita, namun jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang mempunyai pendapatan sama dengan Malaysia 30 tahun dulu seperti Korea Selatan dan Taiwan, pertumbuhan per kapita Malaysia adalah suram. Hari ini, Korea Selatan dan Taiwan mencatatkan pendapatan per kapita dua hingga tiga kali ganda berbanding Malaysia.
''Malaysia terperangkap dalam jurang pendapatan sederhana. Kita tidak boleh menawarkan tenaga buruh yang murah dan tidak mampu mendaki tangga ekonomi. Apa langkah berani yang kita perlu ambil bagi membolehkan Malaysia melangkah keluar dari jurang ekonomi sederhana ini?
''Bagi melonjakkan negara keluar dari jurang pendapatan sederhana, Malaysia memerlukan nilai-nilai ekonomi tinggi yang berkait rapat dengan lebih banyak pelaburan daripada pelabur dalam dan luar negara," jelasnya.
KDNK Korea Selatan per kapita adalah AS$16,450 ( RM54,449), Singapura (AS$34,346) (RM113,685) dan Hong Kong (AS$29,559) (RM97,840). Sementara Malaysia masih lagi pada kadar AS$7,469 (RM24,722).
Malaysia berada pada kedudukan yang sama dengan ketiga-tiga negara ini pada tahun 1970-an. Pada pandangan pakar ekonomi yang sentiasa memantau trend industri, dalam masa lima tahun lagi, ketiga-tiga negara tersebut akan mencatatkan pendapatan yang jauh lebih tinggi.
Keadaan ini dijangka berlaku jika Malaysia tidak mengambil langkah berani untuk merubah landskap ekonominya sekarang.
Thursday, April 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment