Monday, April 12, 2010

MEB mampu tarik pelaburan asing





Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

DENGAN pendapatan perkapita rakyat sekitar RM23,000 (AS$7,000) setahun, Malaysia masih lagi terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana. Keadaan itu, sedikit sebanyak merencat perjalanan negara menuju negara maju menjelang 2020.

Dengan hanya berbaki kira-kira 10 tahun sahaja lagi, ekonomi negara perlu menunjukkan prestasi luar negara untuk sekurang-kurangnya menyaksikan kuantum pendapatan per kapita rakyat melonjak kepada RM49,000 (AS$15,000) setahun untuk menjadi salah sebuah negara berpendapatan tinggi.

Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac lalu dilihat mempunyai ciri-ciri yang mampu mencapai hasrat itu. MEB merupakan dasar yang meneruskan kelangsungan membuka pasaran atau liberalisasi bagi menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI).

Sebelum MEB, Najib turut mengumumkan dasar liberalisasi dalam 27 sub sektor perkhidmatan dan sektor kewangan yang mendapat reaksi positif pasaran. Sifat pro liberalisasi ekonomi yang ditunjukkan kerajaan hari ini harus difahami dengan baik oleh rakyat kerana itulah arah aliran semasa.

Tanpa keterbukaan sedemikian, negara tidak berkemampuan menarik para pelabur asing dan tempatan untuk menanam modal di Malaysia. Proses liberalisasi itu juga merupakan usaha kerajaan untuk melaksanakan satu mekanisme yang berkesan dalam menangani setiap isu ekonomi semasa.

Namun di sebalik matlamat besar MEB serta dasar-dasar liberalisasi ekonomi kerajaan, ia tetap gagal untuk sekurang-kurangnya mendapat reaksi positif daripada pembangkang. MEB juga dikatakan meniru Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang dirangka oleh pembangkang.

Ini bukan kali pertama AEM dikaitkan dengan dasar ekonomi kerajaan kerana Dasar Liberalisasi Ekonomi yang diumumkan oleh Najib sebelum ini juga dikatakan dicedok daripada dasar yang sama. MEB juga disifatkan sebagai dasar kitar semula daripada Pelan Induk Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (K-Ekonomi) yang dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. K-Ekonomi sebelum ini dikatakan sudah pun memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi dan tidak lagi memerlukan MEB sekiranya kerajaan serius melaksanakannya.

Kemuncaknya, MEB diserang sebagai satu paksaan untuk diterima oleh rakyat kerana ia tidak dibentangkan di Parlimen untuk dibincangkan. Sudah semestinya kerajaan mempunyai alasan tersendiri mengapa MEB tidak dibawa ke Parlimen. Antaranya, MEB tidak boleh didedahkan kepada 'political game' di dalam Parlimen yang tujuannya bukan untuk menambah baik sesuatu dasar, tetapi makin menyukarkan pelaksanaannya.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Bajet 2010 yang dibentangkan Najib pada Oktober tahun lalu. Bajet itu hampir tidak diluluskan apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya menang dengan majoriti tiga undi ketika bacaan kali ketiga untuk diluluskan.

Sedangkan pembangkang pastinya sangat menyedari natijah sekiranya Bajet 2010 tidak diluluskan yang mana kerajaan tidak akan mempunyai perbelanjaan untuk mengurus negara pada tahun ini. Sudah semestinya, kita tidak mahu nasib sebegini turut menimpa MEB kerana pelaksanaannya sangat penting kepada ekonomi negara.

Kerana itu, adalah wajar untuk MEB digerakkan seberapa segera dan diselamatkan daripada permainan politik pembangkang kononnya atas semangat demokrasi. Persoalan sama ada MEB masih terikat dengan dasar-dasar lain seperti DEB, K-Ekonomi atau apa dasar sekali pun juga tidak seharusnya dijadikan isu.

Ini kerana pada matlamat akhirnya, MEB tidak lari daripada dasar-dasar yang sudah dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Pengenalannya adalah penambahbaikan kepada dasar-dasar sedia ada supaya lebih relevan dengan perkembangan semasa ekonomi dunia.

Sudah semestinya, ekonomi baru terutama dalam fasa-fasa pemulihan selepas kegawatan pada 2008 menuntut satu perancangan yang sangat teliti. Apatah lagi ekonomi negara ketika ini juga sedang menunjukkan peningkatan yang positif.

Maka, sudah semestinya intipati dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan kerajaan turut mempunyai strategi untuk terus melonjakkan prestasi ekonomi negara. Dalam masa yang sama, dasar MEB ini juga cuba membawa ekonomi negara kepada pengagihan yang adil terhadap semua kaum. Ini selari dengan gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Najib.

Tindak tanduk pembangkang yang seboleh mungkin memburukkan MEB serta dasar-dasar kerajaan lainnya secara tidak langsung mendedahkan kebimbangan sebenar mereka. Mereka melihat ada keberkesanan dalam pelaksanaan MEB yang sangat meyakinkan rakyat kebanyakan.

Ini adalah satu kerugian kepada pembangkang ketika mereka dilihat semakin terbelenggu dengan krisis dalaman parti. Rakyat pastinya akan membandingkan pencapaian pembangkang dengan kerajaan dan MEB adalah salah satu piawaiannya.

Dalam usia baru setahun jagung juga, sudah beberapa model ekonomi dilancarkan oleh Najib dan kerajaan beliau. Selain revolusi dari sudut ekonomi, kerajaan juga menstruktur semula pelbagai bidang supaya lebih berdaya saing dan mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk melonjakkan semula ekonomi dan mengurus tadbir negara secara lebih berkesan dan berhemat. Bukan sedikit gelombang yang dirasai oleh pembangkang daripada gerak kerja agresif kerajaan ketika ini.

Disebabkan tidak mampu untuk bersaing secara adil, maka jalan mudah adalah mengkritik dan memburukkan dasar-dasar yang dirancang kerajaan. Ini bukanlah bermaksud pembangkang perlu menerima bulat-bulat apa sahaja dasar yang ditetapkan kerajaan.

Dalam proses demokrasi, suara mereka sebenarnya sangat penting sebagai faktor keseimbangan (check and balance). Tetapi dalam hal ini, adalah lebih baik sekiranya pembangkang bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakannya kerana pada akhirnya ia adalah untuk kepentingan rakyat.

Dalam masa yang sama, pembangkang juga sudah semestinya mempunyai dasar-dasar ekonomi sendiri untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi di negeri-negeri yang ditadbir mereka. Maka, jika benar mereka melihat dasar MEB lebih baik daripada dasar-dasar mereka, inilah peluang untuk membuktikannya.

No comments: