Tuesday, April 20, 2010

Dasar Pandang ke Timur diberi nafas baru: Najib



Oleh Misiah Taib di Tokyo, Jepun
2010/04/20



NAJIB (kiri) beramah mesra dengan Maharaja Jepun Maharaja Akihito di Istana Imperial, semalam. Turut hadir Maharani Michiko (tiga dari kanan) dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (kanan).PM ajak usahawan Jepun kukuh usaha sama menerusi MEB

MALAYSIA mahu memberikan nafas baru kepada Dasar Pandang ke Timur dengan menerokai kerjasama baru dengan Jepun, sekali gus mengajak masyarakat perniagaan negara itu mengukuhkan usaha sama ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang menjadi sasaran negara menerusi Model Ekonomi Baru (MEB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dasar yang sudah 28 tahun diperkenalkan itu masih kekal sebagai teras utama hubungan dua hala tetapi sudah sampai masanya untuk dinilai dan diberi nafas baru. Katanya, setakat ini lebih 15,000 rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada Dasar Pandang Ke Timur, dengan kebanyakannya menjawat kedudukan tinggi dan pertengahan dalam sektor awam serta swasta. "Kita berkongsi keyakinan sudah sampai masanya untuk melakukan penilaian semula kepada dasar ini. Kita perlu memperkenalkan bidang baru dan inovatif. Kelebihan teknologi Jepun dalam bidang teknologi hijau dan alam sekitar perlu dimanfaatkan dalam inisiatif ini bagi merangka bidang kerjasama baru.

"Kerjasama lebih luas antara institusi pengajian tinggi juga boleh dilaksanakan menerusi penilaian semula dasar ini," katanya pada majlis makan malam yang dihoskan Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama, di Sori Kantei, pejabat rasmi Perdana Menteri Jepun, di sini malam tadi.

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan merangkap Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim serta Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Mohd Som.

Perdana Menteri yang baru saja mengakhiri lawatan paling berhasil ke Amerika Syarikat, sedang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Jepun atas jemputan Hatoyama, iaitu lawatan pertama beliau sejak mengambil alih teraju kepemimpinan negara.
Najib berkata, hubungan Malaysia-Jepun berkembang pesat sejak 50 tahun lalu dan Malaysia amat menghargai penyertaan Jepun dalam kemajuan pembangunan negara dengan banyak yang dicapai walaupun banyak boleh diterokai menerusi usaha sama strategik Malaysia-Jepun.

Beliau juga berkata, dari segi perdagangan, kelembapan ekonomi global memberi kesan kepada nilai perdagangan kedua-dua negara, namun yakin ia akan bertambah baik tahun ini dan tahun mendatang.

“Dari segi pelaburan, kita gembira kerana Jepun adalah sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar bagi negara pada tahun lalu,” katanya.

Najib berkata, walaupun kelembapan ekonomi berlaku beberapa tahun kebelakangan, selain beberapa faktor lain menjejaskan kedatangan pelancong, pelancong Jepun ke Malaysia tahun lalu tetap menggalakkan, sekali gus menggambarkan minat berterusan pelancong menjadikan Malaysia destinasi pilihan.

Di sebalik krisis ekonomi yang melanda, Malaysia bagaimanapun tetap yakin dengan ekonomi Jepun dan untuk itu syarikat pengurusan dana terbesar negara, Permodalan Nasional Berhad (PNB) membuka pejabat di Tokyo, tahun lalu.

Beliau juga berkata, Malaysia mengikuti dengan penuh minat cadangan pembentukan Masyarakat Asia Timur yang dicadangkan Hatoyama dan pada masa sama yakin dengan peranan yang boleh dimainkan negara ke arah itu.

No comments: