Wednesday, April 28, 2010

Dewan Negara: Pendidikan seks bukan subjek khas di sekolah

2010/04/28
MATA pelajaran pendidikan seks tidak akan diajar sebagai subjek khas di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, pendidikan seks yang juga dikenali sebagai Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di negara ini sudah diperkenalkan di sekolah menengah pada 1989, manakala sekolah rendah pada 1994.
Katanya, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial sudah diajar menerusi mata pelajaran Pendidikan Kesihatan, Biologi, Sains, Sains Tambahan, Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam. “Dalam melaksanakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, Kementerian Pelajaran sudah membuat persediaan melatih guru di sekolah rendah dan menengah menjadi Jurulatih Utama (JU) di peringkat kebangsaan dan mereka ini akan melatih guru di peringkat negeri. "Kursus JU berhasrat untuk memberi pendedahan mengenai pelaksanaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial dan mencari pendekatan pengajaran serta pembelajaran (P&P) yang sesuai untuk diterjemahkan ke dalam P&P di dalam kelas seperti yang dihasratkan dalam kurikulum," katanya ketika menjawab soalan Senator Doris Sophia Brodi di Dewan Negara, semalam. Doris Sophia ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan subjek pendidikan seks di sekolah dan kajian yang dijalankan berkenaan subjek itu dan bila ia akan dilaksanakan. Puad berkata, pembabitan ibu bapa akan memastikan keberkesanan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di sekolah.
Beliau berkata, sikap keterbukaan ibu bapa dalam membincangkan hal berkaitan seks dengan anak-anak mereka sendiri dan sokongan mereka kepada guru secara tidak langsung akan dapat membantu keberkesanan kurikulum mata pelajaran itu.

No comments: