Friday, June 20, 2008

Tindakan disiplin – Najib Jika teruskan cadangan usul undi tidak percaya terhadap PM

Oleh HAMDEN RAMLI, HELMI MOHD. FOAD dan SAIFUL HAIZAN HASAM

PUTRAJAYA 20 Jun – Tindakan disiplin akan dikenakan ke atas kedua-dua Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP) jika mereka meneruskan cadangan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata, semua Ahli Parlimen BN tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan.

Beliau memberi amaran kepada Ahli Parlimen SAPP iaitu Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (BN-Sepanggar): “Apa sahaja cubaan yang boleh disabitkan sebagai melanggar peraturan BN akan dikenakan tindakan sewajarnya.”

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Kemudahan Infrastruktur di sini hari ini, Najib memberitahu, secara teknikal kedua-dua Ahli Parlimen terbabit tidak akan berjaya membawa usul berkenaan.

“Sebarang cubaan untuk mengemukakan usul bergantung kepada kebenaran daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat,” kata Najib mengulas rancangan wakil rakyat SAPP itu untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah ekoran pendirian Majlis Tertinggi (MT) parti itu hari ini untuk menyokong cadangan tersebut.

Tegas Najib: “Ia tidak akan berlaku.”

Mengenai keputusan mesyuarat MT SAPP di Kota Kinabalu petang ini yang menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah, Najib memberitahu, tindakan ke atas parti itu akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

Semalam, Dewan Tertinggi BN mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan pengisytiharan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengenai cabaran terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Abdullah yang mempengerusikan mesyuarat itu memberitahu sidang akhbar bahawa BN hanya akan mengambil tindakan terhadap SAPP setelah mendapat surat daripada MT parti itu berhubung kenyataan Teck Lee.

Ditanya sama ada usul undi tidak percaya itu tidak akan timbul jika pelan peralihan kuasa antara beliau dan Abdullah berlaku, Najib menjelaskan, kedua-dua isu berkenaan adalah dua perkara yang berlainan.

“Walau apa pun keputusan dan pandangan yang mereka ada, ia tidak boleh sehingga melanggar peraturan parti.

“BN ialah institusi yang telah menetapkan prosedur dan peraturan yang jelas dan ia diketahui oleh semua ahli BN,” katanya.

BN yang menguasai 140 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dianggotai 14 parti komponen termasuk SAPP. SAPP hanya mempunyai dua orang Ahli Parlimen.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, SAPP akan diberi surat tunjuk sebab berhubung pendirian MT parti berkenaan menyokong usul mencabar kepimpinan Perdana Menteri.

Katanya, surat itu akan dihantar selepas kandungannya dibincangkan dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN.

“Dengan keputusan MT SAPP itu, BN Pusat akan menghantar surat tunjuk sebab.

“Kepimpinan parti itu perlu memberi penjelasan kenapa mereka bertindak begitu sedangkan pada masa yang sama menyatakan parti itu akan kekal dalam BN,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini BN tidak akan mengambil tindakan ke atas SAPP memandangkan usul undi tidak percaya itu masih belum berlaku.

Tengku Adnan memberitahu, jika SAPP benar-benar mahu keluar daripada BN, parti itu sepatutnya menjelaskan pendirian mereka.

“Dia (Teck Lee) sebenarnya mahu mencari jalan untuk suruh BN menyingkirkan SAPP dan kemudian dia akan mempersalahkan serta memburukkan BN sebelum menyertai parti lain.

“Apa yang dia buat ini hanyalah untuk kepentingan diri sendiri... dia tidak kira apa yang akan berlaku kepada negara,” tegasnya.

Ditanya kenapa BN kelihatan agak berlembut dalam menangani isu SAPP, beliau berkata, sebarang tindakan terhadap parti komponen perlu dibincangkan dalam semangat kekeluargaan BN terlebih dahulu.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, secara praktikalnya adalah tidak beretika untuk SAPP masih kekal sebagai parti komponen BN.

BN, kata beliau, perlu memberikan perhatian serius terhadap tindakan itu memandangkan 13 buah parti komponen yang lain memberikan sokongan padu kepada Abdullah.

“Kami tidak boleh menerima tindakan SAPP ‘menampar dan menumbuk’ BN tetapi pada masa yang sama ingin menjadi kawan kami (BN).

“Abdullah dipilih secara demokratik melalui pilihan raya oleh majoriti rakyat Malaysia dan kita sebagai parti komponen BN harus menghormati keputusan rakyat,” kata Samy Vellu.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn berkata, perkembangan terbaru itu menggambarkan bahawa SAPP adalah sebuah parti yang tidak mempunyai prinsip dan tidak konsisten dalam perjuangannya.

Katanya, jika SAPP mahu kekal sebagai parti komponen BN, ia mestilah mematuhi disiplin asas iaitu setia kepada pucuk pimpinan.

“Apa jua masalah yang dihadapi parti komponen sepatutnya dibincangkan dalam BN terlebih dahulu,” kata beliau.

No comments: