Wednesday, June 18, 2008

DUN Sanglang diisytihar dikosongkan

Oleh Syed Ridzuwan Syed Ismail

KANGAR 18 Jun – Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Abdullah Hassan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dikosongkan.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membuat keputusan itu menolak permohonan pempetisyen iaitu calon Pas, Hashim Jasin melalui dua peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri supaya dirinya diisytiharkan sebagai calon yang sepatutnya menang dan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Langkah mahkamah menolak untuk melantik Hashim sebagai ADUN Sanglang dibuat dengan alasan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk memilih pempetisyen sebagai pemenang.

Zainal Adzam berkata, peruntukan undang-undang Seksyen 35 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberikan bidang kuasa kepada mahkamah untuk mengisytiharkan pempetisyen sebagai pemenang telah dimansuhkan pada tahun 2003.

Keputusan itu sekali gus memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan diumumkan untuk memilih wakil rakyat baru DUN tersebut.

Mahkamah bagaimanapun menyerahkan kepada SPR untuk menentukan sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan serta bila ia akan diadakan.

Menurut Zainal Adzam, sekiranya mahkamah mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang, ia bermakna mahkamah telah melangkaui bidang kuasa Parlimen kerana mengguna pakai semula undang-undang yang sudah dimansuhkan.

Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan 'pengisytiharan mana-mana calon yang dipilih dengan sewajarnya dan selayaknya perlu dikembalikan' dimansuhkan berkuat kuasa 16 Januari 2003.

Pada 23 April lalu, Hashim yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis melalui peguamnya memfailkan petisyen yang menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau, Mohammad Daud Abdull Hamid dan SPR selaku responden pertama dan kedua, manakala Abdullah sebagai responden ketiga.

Keputusan pilihan raya DUN Sanglang pada 8 Mac lalu menyaksikan Hashim yang merupakan penyandang kerusi DUN itu dua penggal berturut-turut diisytiharkan tewas kepada Abdullah.


Pada pilihan raya umum itu, Abdullah menang dengan majoriti 149 undi setelah memperoleh 3,384 undi manakala Hashim mendapat 3,235 undi.

Bagaimanapun, Hashim mendakwa, SPR telah melakukan kesilapan kerana mengisytiharkan Abdullah selaku responden pertama memenangi kerusi DUN tersebut.

Keputusan itu didakwa Hashim sebagai bercanggah dengan fakta pada Borang 14 penyata kiraan undi SPR yang menunjukkan beliau menang dengan majoriti 47 undi selepas mendapat 3,333 undi berbanding 3,286 yang diterima oleh Abdullah.

Sebelum ini, Abdullah dalam bantahan ke atas bantahan awal Hashim memohon memohon mahkamah memerintahkan pilihan raya kecil diadakan bagi menyelesaikan perkara itu.

Abdullah diwakili peguam K Jegathesan manakala Hashim diwakili Mohamad Ariff Yusof

No comments: