Wednesday, June 18, 2008

Dr. M nafi ugut pecat hakim

KUALA LUMPUR 18 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamed menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengugut untuk memecat hakim-hakim dan mengarahkan mereka menghadiri kem bina semangat bagi menjalani indoktrinasi prokerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu yang dikecam kerana didakwa menekan institusi kehakiman dan kebebasan akhbar semasa pemerintahan selama lebih dua dekad, menghadapi kritikan itu daripada seorang hakim kanan yang membuat dakwaan tersebut di mahkamah.

"Saya tidak pernah mengugut hakim-hakim," katanya dalam laman blognya www.chedet.com hari ini.

Mahathir, bagaimanapun mengakui agensi kerajaan ada menganjurkan kursus Tata Negara, yang mana para penceramahnya akan menerangkan tentang sistem politik Malaysia dengan merujuk kepada etika, nilai-nilai moral dan sistem demokrasi.

"Ribuan orang daripada pelbagai latar belakang menghadiri kem tersebut. Mereka tidak pernah merungut atau membuat aduan," katanya.

Dr. Mahathir membuat kenyataan itu sebagai menjawab dakwaan Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian Chin sebelum ini yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu secara jelas mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat kenyataan tidak menyebelahi kerajaan.

Hakim Chin mendedahkan demikian sebelum mendengar petisyen pilihan raya yang difailkan calon DAP yang bertanding bagi kerusi Parlimen kawasan Sarikei, Wong Hua Seh, bagi mencabar keputusan pilihan raya umum pada 8 Mac lalu bagi kerusi tersebut, yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Ding Kuong Hiing.

Ketika memulakan prosiding berkenaan di Mahkamah Tinggi Sibu., Hakim Chin mendakwa Dr. Mahathir mengeluarkan ugutan tersebut pada satu persidangan hakim pada 24 April 1997.

Akhbar The Borneo Post melaporkan, ugutan itu dibuat tiga hari selepas Hakim Chin membuat keputusan berhubung petisyen pilihan raya kerusi Bukit Begunan yang memihak kepada calon Bebas, Donald Lawan pada 21 April 1997.

Hakim Chin dilaporkan berkata, selepas kejadian itu, beliau telah diarahkan supaya mengikuti kem bina semangat selama lima hari bersama-sama beberapa hakim dan pegawai kehakiman.

Menurut Dr. Mahathir, beliau ada diberitahu oleh seorang hakim yang pernah mengikut kem bina semangat itu bersama Hakim Chin, bahawa Hakim Chin telah meninggalkan kem tersebut sebelum kursus tamat.

"Mungkin beliau tidak suka bangun tidur awal dan membasuh pinggan sendiri. Kursus itu jelas tidak memberikan kesan positif ke atas beliau," katanya.

Dr. Mahathir berkata, beliau sangat terharu apabila beberapa hakim dan bekas hakim yang telah dihubungi oleh akhbar The Singapore Straits Times turut menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Hakim Chin itu.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu melahirkan rasa kesalnya dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenivasan dan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang memberi gambaran seolah-olah dakwaan Hakim Chin itu adalah benar.

Malah kata Dr. Mahathir, Zaid membuat dakwaan yang lebih jauh menggambarkan seolah-olah beliau memang sentiasa mengugut hakim-hakim semasa era pemerintahannya.

No comments: