PUTRAJAYA 25 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak akan mengemukakan permohonan semakan penghakiman terhadap hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Lingam.
Sebaliknya bekas perdana menteri itu bersedia untuk pergi ke mahkamah.
"Saya sudah pun bersalah. Kerana asas yang digunakan Suruhanjaya Diraja adalah jika sesuatu itu boleh berlaku, maka ia sudah berlaku jika ia boleh berlaku.
"Kerana ada kemungkinan saya telah dipengaruhi oleh Lingam dan dengan itu saya telah dipengaruhi oleh Lingam. Ini merupakan kriteria baru bagi bukti di mahkamah. Jadi saya sudah pun bersalah. Jadi apa gunanya saya mengemukakan rayuan," katanya dengan sinis.
Dr. Mahathir berkata beliau terpaksa akur dengan standard baru itu yang sudah menjadi kelaziman di negara ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau akan memohon semakan kehakiman seperti mana yang dilakukan oleh bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hartawan Tan Sri Vincent Tan dan peguam Datuk V.K Lingam baru-baru ini.
Dr. Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku
"Smart Growth", nukilan Prof. Salleh Buang, oleh isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Ditanya sama ada beliau bersalah seperti didakwa, Dr Mahathir secara sinis menjawab:"Bersalah seperti dihakimi. Suruhanjaya itu dianggotai mereka yang bijak pandai. Ada hakim-hakim, hakim-hakim yang berpengalaman yang berkata boleh jadi saya telah dipengaruhi dan dengan itu saya perlu disiasat.
"Saya tidak akan mengemukakan rayuan. Saya akan pergi ke mahkamah," katanya.
Lingam didakwa terbabit dalam klip video kontroversi selama 14 minit yang menurut suruhanjaya itu memaparkan beliau berbual di telefon berhubung urusan pelantikan hakim dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
PengaruhBerdasarkan hasil inkuiri suruhanjaya itu, Tengku Adnan dan Tan dikatakan mempunyai pengaruh secara langsung dalam pelantikan dan kenaikan pangkat para hakim.
Panel juga mencadangkan agar Lingam, Dr. Mahathir, Tengku Adnan, Tan, Ahmad Fairuz dan Ketua Hakim Negara yang telah bersara Tun Mohd Eusoff Chin disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Hasutan 1961, Akta Profesion Undang-undang 1976, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Kanun Keseksaan.
Mengulas kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Ian H.C Chin yang mempertahankan dakwaannya bahawa beliau (Dr. Mahathir) telah membuat ugutan secara halus terhadap hakim melalui kata-kata yang bermaksud demikian iaitu "di sana-sini" pada persidangan hakim pada 1997.
"Saya juga ada dengar desas- desus di sana-sini yang beliau seorang hakim yang rasuah," kata Dr Mahathir.
- Bernama
Wednesday, June 25, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment