Monday, June 23, 2008

Tiada usul undi tak percaya terhadap PM hari ini

23/06/2008 5:35pm


KUALA LUMPUR 23 Jun — Usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diperkatakan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, nampaknya tidak akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Persidangan hari ini hanya membincangkan satu usul iaitu usul kenaikan harga petroleum dan barangan, yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, dan ia masih dalam peringkat perbahasan setakat ini.

Shahrir dijadual menggulung dan menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan pada perbahasan itu sebelum persidangan hari ini ditangguhkan.

Sehingga berita ini ditulis, kedua-dua anggota Parlimen dari SAPP iaitu Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau), yang diuar-uarkan akan menyokong undi tak percaya itu, tidak kelihatan di dewan.

Eric yang dihubungi memberitahu beliau telah pulang ke Sabah kerana melawat seorang saudara yang meninggal dunia, manakala Dr. Chua tidak dapat dihubungi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ditemui berkata, setakat ini pejabat speaker tidak menerima sebarang usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri.

Sebaliknya Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang telah mengemukakan kepada pejabat Speaker semalam notis bagi usul tergempar untuk membincangkan suatu dakwaan terbaru berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut Peraturan Mesyuarat 18 (1), sesuatu usul perlu dihantar ke Pejabat Speaker 24 jam sebelum ia boleh dikemuka dalam persidangan dan sama ada usul itu boleh dibentang ataupun tidak, ia terpulang kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Yang Dipertua akan menggunakan tiga asas dalam membuat pertimbangan terhadap sesuatu usul tergempar iaitu ia membabitkan perkara yang tertentu, berkepentingan rakyat, dan harus disegerakan.

Beliau mempunyai kuasa menolak sesuatu usul jika ia didapati tidak mematuhi satu daripada tiga asas berkenaan. — BERNAMA.

No comments: