Tuesday, June 3, 2008

Anwar diramal masuk UMNO?



KUALA LUMPUR 3 Jun - Seorang penganalisis politik meramalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat permohonan menyertai semula UMNO berikutan parti itu adalah satu-satunya wadah bagi membolehkan beliau mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Pengarah Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, tanda-tanda jelas perkara itu akan berlaku ialah dengan permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor untuk menyertai UMNO baru-baru ini.

Katanya, kemasukan bekas orang kuat Anwar itu tidak boleh dilihat sebagai 'Kuda Trojan' seperti disangka banyak pihak sebaliknya beliau adalah 'landasan kereta api' bagi membuka laluan untuk bekas Timbalan Perdana Menteri itu kembali kepada UMNO.

Kejutan''Saya tidak pasti sama ada ramalan ini akan menjadi kenyataan atau tidak tetapi semua orang tahu bahawa banyak kejutan sering berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Pembangunan Negara Bangsa dan Negara Etnik di Malaysia pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-22 di sini hari ini.

Menurut Shamsul Amri, bukti bahawa Anwar masih berminat untuk kembali kepada UMNO jelas apabila beliau sehingga kini tidak pernah membuat permohonan menjadi ahli PKR walaupun beliau adalah Penasihat parti itu.

Katanya, Anwar juga akan memilih UMNO kerana merasakan bahawa beliau hanya akan menjadi Perdana Menteri selama '25 minit' sekiranya dapat memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti menyertai pakatan pembangkang.

''Perkara ini boleh berlaku kerana pakatan terbabit sebenarnya tidak kukuh dan terdapat kemungkinan Pas akan keluar dan bergerak bersendirian.

''Kita juga harus ingat bahawa yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk menolak pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dan apa yang berlaku di Terengganu membuktikan kemungkinan ini tidak boleh diabaikan," ujarnya.

Tambah beliau, Anwar dijangka tidak menghadapi masalah untuk mendapat sokongan di kalangan ahli-ahli UMNO kerana beliau dilihat mempunyai pengaruh di peringkat antarabangsa.

''Sebelum ini terdapat jangkaan Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi sokongan terhadap beliau semakin berkurangan kerana dilihat terlalu banyak bersikap mendiamkan diri membabitkan isu-isu berkaitan perubahan kepimpinan negara," katanya.

No comments: