Thursday, November 4, 2010

Prosiding inkues Teoh Beng Hock ditutup

SHAH ALAM 4 Nov.2010 - Prosiding inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang bersidang di Mahkamah Koroner di sini sejak 29 Julai tahun lalu berakhir hari ini, selepas pegawai penyiasat kes itu selesai memberi keterangan.
Peguam yang dilantik bagi mengendalikan prosiding tersebut, Tan Hock Chuan memaklumkan beliau menutup inkues tersebut sebaik sahaja Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Nazri Zainal keluar dari kandang saksi.
Koroner Azmil Muntapha Abas kemudiannya mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada 10 Disember ini.
Beliau turut menetapkan 17 Disember ini untuk mendengar hujahan lisan sebelum merumuskan hasil inkues tersebut.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di koridor tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock diadakan ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.
Walaupun pada peringkat awal inkues dijangkakan selesai dalam tempoh sebulan, namun ia berlarutan selama 15 bulan tujuh hari dengan 37 saksi termasuk pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand dipanggil memberi keterangan.
Terdahulu, Ahmad Nazri, 38, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak bercadang menangkap sesiapa kerana tiada sebarang bukti menunjukkan ada individu yang terlibat dalam kematian Beng Hock.
Menjawab soalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, saksi itu turut mengakui beliau tidak mempunyai suspek sepanjang siasatan dijalankan.
''Sepanjang siasatan, tiada bukti menunjukkan ada kesan pukulan yang menunjukkan Beng Hock dicederakan atau ada sesiapa yang menggunakan kekerasan fizikal terhadapnya.
''Saya juga tidak menjumpai sebarang senjata atau tanda-tanda pergelutan di kawasan berhampiran tingkap di tingkat 14,'' katanya.
Menurut beliau, satu lakonan semula peristiwa jatuh dengan menggunakan botol air mineral dan anak patung dilakukan dari tingkat 14 bersama pakar patologi forensik dari Britain, Dr. Peter Venesiz dan seorang profesor tempatan.
Ia dilakukan beberapa kali berdasarkan teori bahawa kedudukan jatuh orang yang tidak bergerak akan selaras dengan tingkap berikutan tiada daya.
Bagaimanapun, Ahmad Nazri mengaku tidak memaklumkan lakonan semula itu kepada mahkamah di peringkat awal kerana berat botol air mineral dan anak patung itu tidak menyamai berat badan Beng Hock.
''Botol air mineral dan anak patung merupakan objek yang ringan. Kita cuba dapatkan patung dummy tetapi tidak dapat kerana ia terlalu mahal,'' jelas beliau.
Menjawab soalan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock, Ahmad Nazri memberitahu, kes setiausaha politik itu disiasat dan diklasifikasikan sebagai kematian secara mengejut (SDR) pada peringkat awal.
Beliau turut mengakui tidak dapat memastikan identiti Au Yong yang dinamakan sebagai penerima dalam nota yang didakwa ditinggalkan oleh Beng Hock sebelum mati.
Sementara itu, seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diarah keluar dari mahkamah kerana mengeluarkan perkataan bodoh semasa prosiding inkues itu berlangsung.
Seorang anggota polis bertindak menghalau lelaki yang memakai baju-T hitam bertulis 'Rakyat Menyokong Beng Hock' itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas memohon agar dia diarah keluar kerana beberapa kali menyebut perkataan bodoh ketika Abdul Razak menyoal saksi.
Ini kali kedua lelaki tersebut dihalau keluar daripada prosiding inkues atas sebab yang sama.
Sebelum itu, Azmil turut mengarahkan seorang kenalan keluarga Beng Hock meninggalkan telefon bimbitnya di luar mahkamah apabila lelaki itu dilihat cuba merakamkan prosiding

No comments: