Thursday, November 4, 2010

AirAsia diperintah bayar RM206.90

SIBU 4 Nov.2010 - Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini hari ini memerintahkan AirAsia membayar RM206.90 kepada seorang guru Mohd. Ikram Mohd. Rawi kerana gagal melaksanakan tanggungjawab korporatnya kepada penggunanya dalam memberikan perkhidmatan.
Presiden Tribunal itu, Pretam Singh memerintahkan pembayaran itu berikutan bil telefon guru itu yang dibuat untuk membuat pertanyaan mengenai tiket penerbangan yang ditempah melalui Internet tetapi telah dibatalkan oleh AirAsia.
Dalam penghakimannya, Pretam Singh berkata, AirAsia diperintah membayar jumlah itu kepada Mohd. Ikram dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dibuat, kegagalan boleh dikenakan mengikut kesalahan jenayah tertakluk kepada denda sebanyak RM5,000 dan dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
AirAsia tidak diwakili pada hari penghakiman itu.
Sementara itu, setakat hari ini sebanyak 4,642 kes telah dirujuk kepada tribunal itu di seluruh negara termasuk 242 kes di Sarawak, tambah beliau.
Daripada jumlah itu, 4,179 kes atau 90 peratus telah diselesaikan dan 463 masih menunggu untuk diselesaikan, ini termasuk 1,926 kes yang telah ditarik balik dan 184 ditolak untuk didengar oleh mahkamah itu.
Daripada 242 kes di Sarawak, 210 telah diselesaikan sementara 32 masih menunggu untuk diselesaikan, kata Pretam Singh. - BERNAMA

No comments: