Tuesday, November 16, 2010

Common law sekat hakim lebih kreatif

2010/11/16
Prinsip Islam, adat boleh jadi panduan buat tafsiran undang-undang

PASTINYA semua pihak mengharapkan sistem undang-undang negara mencapai tahap kematangan dengan pembinaan sumber rujukan tersendiri berasaskan kemahuan dan sistem masyarakat negara ini.

Oleh itu, proses mencari identiti sistem undang-undang yang tersendiri perlu berterusan. Dalam ruangan ini minggu lalu saya syorkan supaya sistem undang-undang Malaysia mesti bebas daripada legasi British. Saya menyebut bahawa Akta Undang-Undang Sivil 1956 (disemak 1972) yang membenarkan mahkamah merujuk dan seterusnya menerima pakai common law Inggeris perlu disemak semula dengan niat memansuhkannya. Walau apa pun niat British yang memperluaskan pemakaian Akta Undang-Undang sivil ini setahun sebelum kita mencapai kemerdekaan, ia amat memberi kesan ke atas sistem undang-undang kita.

Common law Inggeris adalah istilah yang digunakan kepada undang-undang dibuat oleh hakim di Mahkamah British melalui keputusannya. Common law ini bukan tafsiran kepada undang-undang bertulis. Ia adalah keputusan hakim bersandarkan agama, moral dan amalan setempat.

Syor mengenai pemansuhan akta ini saya kemukakan kerana rujukan dan keterikatan dengan common law Inggeris amat tidak sesuai dalam pembinaan jati diri atau keperibadian undang-undang.

Menurut peruntukan Akta Undang-Undang Sivil 1956, common law yang menjadi ikatan kepada Malaysia ialah common law yang digunakan di England sebelum 7 April 1956 bagi Semenanjung Malaysia, 1 Disember 1951 bagi Sabah dan 12 Disember 1949 bagi Sarawak.
Kita menyaksikan banyak common law Inggeris yang telah dimansuhkan kedudukannya oleh statut atau undang-undang bertulis di England. Malangnya apa juga perkembangan undang-undang di England selepas tarikh yang disebut tidak memberi kesan ke atas sistem undang-undang kita kerana tarikh potong yang saya sebutkan.

Seperti yang diulas minggu lalu, keadaan ini menjadikan undang-undang yang perlu kita rujuk ketinggalan zaman. Mungkin ada yang berhujah bahawa common law Inggeris ini tidak mengikat hakim di negara ini. Hujah ini mungkin benar. Namun, membenarkan rujukan kepada undang-undang itu secara prinsipnya boleh memberi kesan psikologi mengenai keterikatan kita kepada penjajah, bukan saja kepada hakim, pengamal undang-undang dan pelajar undang-undang, tetapi juga orang awam.

Ia juga boleh menyekat hakim di negara ini untuk lebih kreatif dan menghargai sumber undang-undang yang telah sedia wujud di negara kita.

Secara amalannya kebergantungan kepada common law Inggeris ini tidak begitu ketara di kalangan hakim. Sebenarnya penerimaan dan pemakaian common law Inggeris di negara ini juga adalah sesuatu yang menyukarkan bagi semua pihak. Kesukaran ini diperakui hakim Inggeris sendiri sejak dulu lagi, seperti Hakim Maxwell dalam kes Chulas lwn Kolson (1867).

Oleh itu, kelangsungan Akta Undang-Undang Sivil ini tidak memberikan kebaikan kepada sistem undang-undang kita dan ia sebenarnya sentiasa menghantui sistem kita.

Sekiranya pemakaian common law Inggeris ini dimansuhkan, hakim di Mahkamah Sivil boleh menjadikan prinsip agama, terutama Islam dan undang-undang adat sebagai panduan dalam membuat tafsiran dan mencari penyelesaian kepada kekosongan di dalam undang-undang.

Kedua-dua ini (agama dan adat) bukan saja lebih dekat dengan masyarakat kita, tetapi juga diiktiraf Perlembagaan Persekutuan sebagai sebahagian daripada sistem undang-undang negara.

Seperti yang kita maklum, Islam adalah agama bagi Persekutuan dan ia agama bagi majoriti masyarakat. Undang-undang adat pula adalah sebahagian daripada maksud perkataan undang-undang yang disebut dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Rakan-rakan masyarakat bukan Islam tidak perlu gusar mengenai cadangan ini. Undang-undang Islam sentiasa mementingkan keadilan kepada semua. Ia juga tidak pernah mengiktiraf sesuatu yang akan mendatangkan keburukan kepada masyarakat.

Selain itu, kita sebenarnya tidak boleh menafikan pengaruh garis panduan berlandaskan agama Islam dalam sistem undang-undang negara. Ia sudah akar umbi kepada sistem kita. Pengaruhnya amat jelas dan prinsipnya amat ketara.

Sebagai contoh, prinsip undang-undang jenayah Islam mendapat tempat dalam Kanun Keseksaan. Perbuatan sumbang mahram contohnya, sudah sekian lama wujud dalam undang-undang Islam, tetapi pada asalnya tidak ada dalam Kanun Keseksaan. Menerusi pindaan pada 2002, Seksyen 376a dan 376b berkaitan definisi dan hukuman kepada kesalahan sumbang mahram dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan. Peruntukan ini mendapat sokongan daripada semua pihak kerana perbuatan itu sangat terkutuk.

Sehubungan itu, ramai ahli akademik, termasuk Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim sudah lama menyarankan supaya Malaysia membina sistem undang-undang atau common law yang tersendiri. Ahli akademik mencadangkan supaya prinsip agama, adat dan amalan sebagai rujukan. Walaupun secara akademik, istilah ‘common law’ ini mungkin tidak begitu tepat kerana kita mempunyai undang-undang bertulis dan tugas mahkamah hanyalah untuk mentafsir undang-undang, bukan membuat undang-undang, namun, apa yang lebih penting ialah semangatnya – iaitu semangat menjadikan sistem undang-undang negara ini sebagai sistem yang mempunyai keperibadian tersendiri dengan mengambil perhatian kepada kehendak masyarakat dan amalan yang tersendiri tanpa terikat kepada sistem lain seumpama common law yang ketinggalan zaman.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM

No comments: