Thursday, November 11, 2010

Minda Pengarang: Penubuhan MPPK wajar disokong semua untuk pembangunan pendidikan

2010/11/11
PENUBUHAN Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang berfungsi memberikan nasihat kepada Menteri Pelajaran untuk menentukan hala tuju dan meningkatkan mutu pendidikan negara adalah langkah tepat dan patut disokong semua pihak, khususnya warga pendidik.

Majlis ini akan terbabit dalam perancangan, pembangunan dan menyelesaikan isu pendidikan negara. Kita percaya MPPK dapat mendepani pelbagai situasi yang menuntut semua keputusan dan tindakan untuk memantapkan sektor pendidikan negara dapat dibuat dengan tepat dan berkesan. Mengumumkan penubuhannya kelmarin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membariskan tujuh pakar akademik sebagai ahli MPPK. Berdasarkan latar belakang pendidikan dan pengalaman luas tujuh ahli panel MPPK yang dilantik, kita yakin mereka mampu memikul peranan membantu kerajaan mencorakkan pemikiran serta menyediakan kerangka baru sistem pendidikan negara untuk masa depan. Penubuhan MPPK mencatat sejarah tersendiri dunia pendidikan negara. Jika pada 1989 kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) untuk membantu kerajaan menggubal dasar baru ekonomi selepas era 1990-an, penubuhan MPPK pula menandakan pembangunan sektor pendidikan turut diberi keutamaan dalam memacu kemajuan negara. Penubuhan MPPK juga membuktikan kerajaan amat prihatin mengenai perlunya dasar baru pembangunan pendidikan untuk rakyat, sejajar matlamat proses transformasi menjadi negara maju dan komitmen kerajaan melahirkan masyarakat makmur dan berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun lagi. Seiring penubuhan MPPK, sewajarnya sistem pendidikan sedia ada dikaji dan disusun semula bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan. Pelbagai saranan, isu dan polemik berkaitan sistem pendidikan sejak kebelakangan ini harus dijadikan input dalam kajian semula ini, selain memasukkan idea, pendekatan serta tuntutan baru yang sebahagiannya bersifat global. Semua perubahan ini mesti mengambil kira keperluan pelbagai kaum di negara ini agar matlamat kerajaan mewujudkan perpaduan dapat dicapai.

Perkembangan dunia pendidikan hari ini dan akan datang menjadi semakin kompleks dan kompetitif. Perubahan ini menuntut kerajaan memantapkan lagi sistem pendidikan sedia ada supaya negara mempunyai rakyat berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berpengetahuan sejajar keperluan pasaran. Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, peranan awal yang boleh dilakukan MPPK ialah mengkaji kandungan sistem pendidikan negara sekarang, termasuk kedudukan peperiksaan pada peringkat sekolah menengah. Pada masa sama, tahap pendidikan teknik dan vokasional perlu diperkukuh dan dijadikan aliran utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi. Kita percaya langkah menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus pada peringkat SPM dapat meningkatkan lagi persefahaman rakyat pelbagai kaum di negara ini, selain memanjangkan silibus itu ke peringkat pendidikan tinggi.

Dengan tujuh ahli panel dalam kedudukan teratas, majlis itu perlu ada saluran yang menerima input pelbagai bidang melalui satu lagi barisan panel peringkat pegawai. Kita percaya dengan pendekatan ini, MPPK mampu memperoleh input yang dikehendaki dan lebih menyeluruh daripada peringkat akar umbi dan pelbagai pihak, termasuk industri berkaitan. MPPK wajar digerakkan segera dan seiring dengan proses transformasi kerajaan yang sedang dilaksanakan sekarang bagi melonjakkan sektor pendidikan negara ke tahap lebih gemilang.

No comments: