Wednesday, May 19, 2010

Mencari penyelesaian isu AP kereta terpakai

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

DASAR Automatif Negara (DAN) yang diumumkan kerajaan selepas kajian semula antara lain memasukkan pemansuhan AP terpakai/terbuka bermula 31 Disember 2015 sebagai intipati. Selain pemansuhan AP ini, DAN juga mensyaratkan syarikat pengimport kereta membayar caj sehingga RM10,000 bagi setiap kereta yang dibawa masuk.

Bagi kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, langkah penamatan AP dan caj bayaran yang dikenakan itu bertujuan untuk mewujudkan industri automotif tempatan yang lebih berdaya saing.

Matlamat lebih besar pula ialah untuk memastikan syarikat pengimport kereta lebih bersedia dengan pelbagai kemungkinan ekoran perlaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Pelaksanaan AFTA yang kini sedang menjadi tumpuan negara-negara di rantau ini memerlukan semua sektor termasuk automotif bersaing secara kompetitif dan bebas daripada bantuan kerajaan. Bagaimanapun, cadangan memansuhkan AP bermula tahun 2015 mengundang kebimbangan di kalangan usahawan automotif bumiputera mengenai masa depan mereka.

Apatah lagi sehingga kini, masih tiada garis panduan yang jelas bagaimana mekanisme baru kaedah mengimport kereta terpakai selepas penamatan pemberian AP nanti daripada kerajaan. Ini secara tidak langsung meletakkan usahawan automotif bumiputera dalam keadaan terumbang-ambing.

Selain pemansuhan AP yang pada awalnya ditetapkan pada 2020, kerajaan turut mengenakan caj sebanyak RM10,000 bagi setiap kereta yang dibawa masuk. Caj ini juga menimbulkan persoalan di kalangan pengusaha syarikat kereta import terpakai bukan kerana dianggap terlalu tinggi, tetapi perlu dijelaskan sebelum kereta terjual.

Kerana itu sejak kerajaan menetapkan dasar-dasar itu kira-kira setahun lalu, desakan daripada usahawan bumiputera agar ia dikaji semula tidak pernah berhenti. Antara yang kerap tampil ke depan sudah semestinya Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) yang menjadi payung kepada kira-kira 90 buah syarikat pengimport kenderaan terpakai.

Persatuan ini yang mendapat manfaat secara langsung daripada pemberian AP oleh kerajaan dilihat akan berkubur sekiranya dasar itu ditamatkan.

Mereka terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit yang dilaburkan terutama dari sudut membuka pusat jualan kereta yang melibatkan kos yang tinggi. Impak kerugian itu akan menjadi lebih luas kerana sebahagian besar daripada ahli Pekema mempunyai rantaian perniagaan dalam pelbagai bidang seperti hotel, restoran, pasar raya dan sebagainya yang membabitkan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.5 bilion.

Pembabitan mereka dalam bidang perniagaan itu telah membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 70,000 orang rakyat tempatan di seluruh negara. Maka, sekiranya perniagaan teras mereka iaitu penjualan kereta import terpakai yang diperoleh daripada pemberian daripada kerajaan ditamatkan, rantaian perniagaan lainnya juga akan terjejas.

Kerana itu seperti yang dijelaskan oleh Naib Presidennya, Datuk Abang Khalid Abang Marzuki berkata, Pekema berharap kerajaan dapat menilai semula dasar itu dan turut mengambil pandangan daripada usahawan automotif bumiputera sebelum perlaksanaannya.

Ini katanya, bagi memastikan kerajaan mendapat maklumat yang jelas mengenai persekitaran industri automotif bumiputera dan sejauh mana ia membawa manfaat tidak hanya kepada kerajaan malah orang ramai.

Antara yang perlu diambil kira sudah semestinya hakikat bahawa perlaksanaan dasar pemberian AP tidak merugikan kerajaan dari mana-mana sudut sekali pun.

Malah, sektor ini juga menyumbang kira-kira RM1 bilion setahun melalui pungutan duti eksais dan duti import. Ia merupakan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan pungutan cukai industri automotif.

Kerana itu tambah Abang Khalid, Pekema sentiasa bersedia untuk berbincang dengan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mencadangkan mekanisme terbaik dalam perlaksanaan AP selepas ini yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.

''Sudah semestinya, kita seboleh-bolehnya mahukan pemberian AP ini diteruskan ke satu jangka masa yang dirasakan sesuai kerana ia merupakan nadi kepada usahawan automotif bumiputera. Dalam masa yang sama, Pekema juga dapat meneruskan agenda membantu usahawan bumiputera sebagai platform untuk mereka terlibat dalam industri ini," ujar Abang Khalid yang juga merupakan Yang di-Pertua Pekema Sarawak.

Begitu pun, usahawan automotif bumiputera juga perlu sedar bahawa mereka tidak boleh selamanya bergantung kepada kerajaan. Sementelah Pekema sendiri sudah mendapat bantuan daripada kerajaan sejak sekian lama atau lebih tepat sejak penubuhannya kira-kira 30 tahun lalu.

Dalam usia yang sudah boleh dianggap matang itu, Pekema seharusnya sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri dan memiliki jaringan perniagaan yang kuat. Namun untuk mengelakkan salah satu cabang industri yang dipelopori oleh bumiputera ini berkubur begitu sahaja, kerajaan sewajarnya tampil dengan satu langkah penyelesaian yang konkrit.

Sekurang-kurangnya, satu tempoh masa yang lebih panjang diberikan atau mekanisme baru yang lebih konsisten boleh dicadangkan supaya sektor ini dapat berkembang dengan maju.

Apa yang lebih penting, ia dapat memanfaatkan lebih ramai usahawan automotif bumiputera kerana tidak ramai yang mampu berkecimpung dalam industri yang lebih banyak dikuasai oleh kaum lain ini.

No comments: