Thursday, October 30, 2008

Suruhanjaya lantik hakim dibentang hujung tahun - PM

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rang undang-undang berhubung penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dijangka dapat dibentangkan di Parlimen menjelang hujung tahun ini.

Perdana Menteri berkata, setelah cadangan penubuhan suruhanjaya tersebut diumumkan April lalu, proses penggubalan undang-undang yang berkaitan kini sedang giat dilakukan dan perkembangannya amat positif.

''Penubuhan suruhanjaya ini bukan sahaja sekadar suatu keinginan sebaliknya ia suatu keperluan kerana sistem semasa boleh menimbulkan keraguan tentang integriti dan kewibawaan (mereka yang dilantik).

''Oleh itu, suruhanjaya ini apabila diwujudkan kelak akan mempunyai strukturnya sendiri dengan penekanan kepada ketelusan melalui proses pelantikan berdasarkan merit,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan LawAsia Ke-21 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi, Presiden LawAsia, Mah Weng Kwai dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Pada awal bulan lalu, Abdullah menyenaraikan tiga inisiatif utama yang akan dilakukannya sebelum melepaskan jawatan pada Mac depan dengan salah satu daripadanya ialah membentangkan rang undang-undang berkaitan penubuhan suruhanjaya bagi melantik hakim.

Sementara itu, Perdana Menteri mengakui wujud cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha memperkenal dan melaksanakan suruhanjaya tersebut di negara ini.

Katanya, pada masa ini pun ada pelbagai pandangan tentang bentuk fungsi serta wajah komposisi suruhanjaya itu.

''Bagaimanapun apabila kita ketepikan segala kepentingan peribadi atau pertubuhan yang diwakili, saya yakin kita mampu mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap bentuk suruhanjaya ini.

''Dan apabila suruhanjaya ini ditubuhkan kelak, terpulang kepada pihak hakim sendiri untuk menjadikan badan kehakiman sebagai satu institusi yang kita dapat banggakan.

''Dalam hal ini, saya yakin para hakim kita mampu untuk memenuhi matlamat ini,'' jelasnya.

Menurut Perdana Menteri, pelantikan Zaki sebagai Ketua Hakim Negara merupakan pilihan tepat kerana beliau dilihat sebagai individu yang mempunyai kesungguhan untuk menjayakan pembaharuan dalam badan kehakiman.

Katanya, ini dapat dilihat walaupun baru sahaja dilantik, Zaki telah menyuarakan hasratnya kepada pihak kerajaan untuk menangani masalah kes tertunggak yang merupakan satu usaha cukup baik bagi mengukuhkan keyakinan rakyat.

''Beliau memaklumkan mahu menambah bilangan mahkamah dan para hakim kerana ia pendekatan utama bagi menangani kes tertunggak.

''Walaupun permintaan itu melibatkan kewangan, namun saya di pihak kerajaan bersetuju memberi komitmen kepada apa yang diminta beliau sekalipun apa yang diminta itu melibatkan wang,'' jelasnya.

No comments: