Thursday, October 16, 2008

Perogol Nurul Huda terlepas hukuman mati


Mohd Abbas Danus Baksan


PUTRAJAYA: Bekas pengawal keselamatan, Mohd Abbas Danus Baksan, yang didapati bersalah membunuh budak perempuan berumur 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani, di Johor empat tahun lalu, terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan semalam mengenepikan sabitan dan hukuman itu.

Bagaimanapun, hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi kesalahan merogol budak perempuan itu, yang Mohd Abbas mengaku bersalah, dikekalkan. Namun, dia terlepas hukuman sebatan kerana berumur 52 tahun.

Ketika membenarkan rayuan Mohd Abbas, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi, berkata beliau bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa terdapat orang ketiga yang terbabit dalam kes itu.



"Dengan itu semua keterangan keadaan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak menunjukkan kesalahan itu dilakukan sepenuhnya perayu (Mohd Abbas)," katanya ketika memansuhkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Bersidang bersama-sama dengan Hakim Zaki ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Aziz Mohamad.

Mohd Abbas kelihatan tergamam selepas jurubahasa mahkamah menjelaskan keputusan itu kepadanya.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 27 Ogos, 2004, mendapati dia bersalah membunuh Nurul Huda di pondok pengawal keselamatan pencawang utama Tenaga Nasional Berhad di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Johor Bahru antara 9.20 pagi dan 1 tengah hari pada 17 Jan, 2004.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 26 Januari, 2004, selepas mengaku bersalah merogol budak perempuan itu.

Mayat Nurul Huda dalam keadaan bogel, ditemui dalam tandas pondok pengawal itu. Mangsa sebelum itu pergi ke kedai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya untuk membeli barangan.

Mohd Abbas memohon mendapatkan penghakiman daripada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu pada 3 Julai, 2006.

Kelmarin, peguam yang mewakili Mohd Abbas, Jagdish Kaur, berhujah terdapat orang ketiga terbabit dalam kes itu dan Mohd Abbas dalam keterangannya berkata dirinya serta dua lelaki lain bernama Suyaimi Mohd Zin dan "Jojo" merogol budak perempuan itu.

Katanya, pertuduhan asal di Mahkamah Majistret menyatakan Mohd Abbas melakukan kesalahan itu bersama-sama dua lagi lelaki tetapi selepas kes itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, hanya nama Mohd Abbas disebut.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria berhujah berdasarkan keterangan, jelas menunjukkan Mohd Abbas membunuh Nurul Huda kerana hanya dia seorang yang bekerja di pondok pengawal itu dan keengganannya membenarkan polis serta abang Nurul Huda masuk ke pondok itu untuk menyiasat menunjukkan dia menyembunyikan sesuatu.

Katanya, hakikat yang Suyaimi atau mana-mana orang lain tidak didakwa bersama-sama dengan Mohd Abbas menunjukkan yang pendakwaan tidak mempunyai bukti terhadap mereka.

Hakim Zaki berkata, terdapat banyak lompang dalam kes pendakwaan dan penyiasatan pihak pendakwaan juga tidak lengkap. - Bernama

No comments: