Friday, October 24, 2008

ASEAN+3 bincang tangani krisis kewangan global

Daripada Marhaini Kamaruddin



Sebahagian daripada 30 pemimpin termasuk Abdullah Ahmad Badawi menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-7 (ASEM 7) di Beijing, semalam. – Gambar BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



BEIJING 24 Okt. – ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan (ASEAN+3) dalam reaksi segera bagi melindungi rantau Asia Timur daripada kesan langsung krisis kewangan global bersetuju mengumpulkan Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat masing-masing di Manila bulan depan untuk menghasilkan cadangan-cadangan spesifik bagi menangani krisis itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, cadangan-cadangan daripada hasil mesyuarat itu kelak akan dibentangkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Bangkok pada akhir tahun ini.

“Walaupun para pemimpin (ASEAN+3) mengakui negara-negara rantau ini tidaklah teruk sangat mengalami kesan daripada krisis kewangan yang melanda dunia sekarang, namun semuanya bersetuju adalah amat penting untuk mengambil pendekatan dan langkah-langkah bagi menghadapinya,” kata Abdullah kepada wartawan Malaysia di Hotel Kerry Centre di sini hari ini.

Perdana Menteri berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ketujuh yang bermula hari ini.

Menurut beliau, perkara itu dibincangkan oleh pemimpin ASEAN semalam dan dipanjangkan semasa jamuan pagi ASEAN+3 dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao, Perdana Menteri Jepun, Taro Aso dan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak.

“Jelas pada pandangan saya, reaksi kali ini lebih cepat daripada ketika kita menghadapi krisis kewangan dulu. Sekarang ini boleh dianggap ASEAN+3 merupakan satu mekanisme yang tidak susah diwujudkan, sebaliknya boleh digunakan untuk semua tujuan bagi mengatasi apa jua masalah yang timbul di Asia dan rantau lain,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, Asia Timur sebagai kawasan membangun yang akan bertambah penting pada masa depan perlu mengambil pendekatan rantau dengan memanfaatkan kekuatan ASEAN+3.

Menurutnya, Perdana Menteri Jepun juga berjanji akan membawa pandangan Asia Timur itu ke mesyuarat Kumpulan Negara Maju (G-8).

Dalam hal ini, beliau berharap kegiatan-kegiatan di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah diputuskan akan dilaksanakan dalam waktu ditetapkan bagi membantu usaha merancakkan perdagangan.

Ditanya mengenai penubuhan dana AS$80 bilion yang dicadangkan oleh Menteri-menteri Kewangan ASEAN+3 di bawah Inisiatif Chiengmai pada April lalu, Abdullah percaya perkara itu sedang diperhalusi.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan empat pemimpin iaitu Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo, Perdana Menteri Thailand, Somchai Wongsawat, Perdana Menteri Pakistan, Syed Yusuf Raza Gilani dan Presiden Cyprus, Dimitris Christofias.

Abdullah memberitahu, secara umumnya kesemua pemimpin bersetuju meneruskan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang.

Antaranya, Filipina dan Thailand berharap Malaysia dapat terus memainkan peranan membantu menyelesaikan masalah wilayah selatan yang bergolak di kedua-dua negara itu demi kebaikan bersama.

Menurut Perdana Menteri, Somchai juga akan mengadakan lawatan ke Malaysia dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, Perdana Menteri Pakistan gembira dengan kemasukan ramai pelabur termasuk penglibatan 12 syarikat dari Malaysia dalam projek-projek ekonomi di negara itu.

Tambahnya, Presiden Cyprus dalam pertemuan dengannya hari ini pula memaklumkan situasi di negaranya terutama perkembangan positif dalam hubungan dengan Turki.

No comments: