Monday, January 31, 2011

7 lanun Somalia tiba di Malaysia



DUA daripada tujuh lanun warga Somalia dibawa anggota polis menaiki bas selepas mendapat perintah tahanan reman di Balai Polis Bukit Jalil, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 31 Jan. - Tujuh lanun rakyat Somalia yang ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa cuba merompak sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel di Teluk Aden, pada 20 Januari lalu, tiba di sini hari ini untuk didakwa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya akan mengambil-alih siasatan kes warga asing itu yang tiba di Pelabuhan Klang awal pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti identiti kesemuanya memandangkan mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

"Sehubungan itu, pemeriksaan Imigresen akan dilakukan bagi mengenal pasti kewarganegaraan mereka.

"Polis juga akan menjalankan soal siasat terhadap anak-anak kapal yang menyaksikan kejadian itu dan anggota-anggota Paskal (Pasukan Khas Laut) TLDM.

"Tahanan-tahanan turut dibawa menjalani pemeriksaan di hospital bagi mengetahui tahap kesihatan mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian pusat media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, TLDM berjaya menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman.

Misi menyelamat itu dilakukan bersama kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) TLDM, Bunga Mas 5 yang terlibat dalam Operasi Fajar bagi memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel itu ketika melalui perairan Teluk Aden.

Tambah Ismail, kesemua warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, kesemua suspek tiba di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil, di sini pukul 12.15 tengah hari untuk mendapatkan perintah reman.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli mengeluarkan perintah reman tujuh hari bermula hari ini.

Kesemua suspek dilihat keluar meninggalkan pekarangan pusat tahanan itu dan dipercayai dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Terdahulu pada majlis perasmian pusat media itu, Ismail memberitahu, tujuan penubuhannya untuk membangunkan mekanisme pengumpulan, analisis dan penyebaran maklumat secara bersepadu.

Katanya, melalui sistem tersebut, pihaknya yakin dapat menyalurkan maklumat dengan tepat, cepat dan terkini serta interaktif terus kepada masyarakat.

"Ini merupakan satu usaha polis dalam meningkatkan sistem pengurusan bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dilakukan dengan lebih terancang.

"Pada masa sama kita juga ingin melatih dan meningkatkan keupayaan pasukan agar dapat menyalurkan maklumat dengan tepat, cepat serta efektif kepada pihak media (massa dan elektronik)," katanya lagi.

Sunday, January 23, 2011

Lanun Somalia boleh didakwa

Oleh Rohaniza Idris

2011/01/23
Malaysia ada kuasa bicara penjenayah: Pakar

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh membicarakan lanun Somalia yang ditahan Pasukan Khas Laut (PASKAL) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menawan sebuah kapal tangki Malaysia bersama 23 anak kapal di Teluk Aden, kira-kira 300 batu nautika ke timur Oman, Khamis lalu.

Pakar Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Rohimi Shapiee, berkata prinsip asas undang-undang antarabangsa jelas menyatakan lanun yang melakukan jenayah di perairan antarabangsa boleh dibicarakan oleh mana-mana negara yang menahan mereka. “Merujuk kes lanun Somalia ditahan TLDM kerana menawan kapal MT Bunga Laurel yang disewa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) itu, lanun itu boleh dibicarakan di Malaysia. “Namun, tidak dapat dipastikan sama ada undang-undang Malaysia ada prosedur untuk membicarakan lanun yang menyerang kapal miliknya. Jika ada, saya pasti lanun itu boleh dibicarakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa kerajaan kini mengkaji undang-undang antarabangsa untuk membawa lanun yang ditahan ke Malaysia bagi diadili ataupun tindakan lain sewajarnya.

Semalam, Najib menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat negara ini kepada pasukan ATM yang bertindak pantas menyelamatkan kapal tangki berkenaan.

Dr Rohimi berkata, Malaysia ada bidang kuasa untuk membicarakan mana-mana penjenayah yang menceroboh kapal yang didaftarkan di negara ini walaupun kesalahan dilakukan di laut antarabangsa.
Katanya, merujuk kes terbaru ini, jelas sekali kapal itu milik Malaysia malah ada sesetengah anak kapalnya juga warga negara Malaysia, maka tindakan boleh diambil

Wednesday, January 12, 2011

Salleh Said Keruak dilantik Speaker DUN Sabah

12/01/2011 1:53pm
KOTA KINABALU, 12 Jan. - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak diumumkan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang baru.
Beliau akan menggantikan Datuk Juhar Mahiruddin, yang kini merupakan Yang Dipertua Negeri Sabah.
Pengumuman mengenai pelantikan Salleh dibuat oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri di sini hari ini. - Bernama

Tuesday, January 4, 2011

Lantik SUK negeri bukan kuasa SPN negeri - Pensyarah

Waktu Solat Laporan Cuaca
Berita Utama Dalam Negeri Wilayah Laporan Khas Parlimen Politik Luar Negara Sukan Bisnes Mahkamah Jenayah




04/01/2011 9:16pm


KUALA LUMPUR 4 Jan. - Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) di bawah negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk melantik pegawai perkhidmatan awam divisyen tinggi, kerana kuasa eksekutif itu tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kata seorang penganalisis politik tempatan.

Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, keadaan ini berbeza bagi SPN di bawah negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Johor, Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah).

Jelasnya di bawah negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu mempunyai kuasa untuk melantik tiga jawatan tinggi iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

"Khalid Ibrahim seharusnya lebih peka tentang perkara ini dan berhenti mempersoalkan pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Ahmad Atory turut menegaskan, hasrat Khalid meminda perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 untuk memberi kuasa kepada Kerajaan Selangor melantik jawatan tersebut pula hanya akan mengakibatkan krisis undang-undang yang lebih teruk.

Jelas beliau, mengikut perkara Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri, sebarang usaha untuk meminda perlembagaan negeri akan terbatal dengan sendirinya jika ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama

Sunday, January 2, 2011

Menyelesaikan isu pentadbiran keadilan jenayah secara proaktif

Oleh Rohimi Shapiee

2010/12/19
‘Plea bargaining’ mampu percepat urusan mahkamah dengan ambil kira kepentingan awam

SELEPAS Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mendedahkan persediaan pihak badan kehakiman untuk melaksanakan konsep tawaran pengakuan bersalah atau plea bargaining, pelbagai reaksi timbul di dada akhbar tempatan mahupun blog di internet. Ada yang menyokong penuh seperti Majlis Peguam, tidak kurang pula sangsi dan ragu kerana berasa program itu akan mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan. Penulis ingin membicarakan perkara ini daripada beberapa perspektif. Konteks di Malaysia

Sebenarnya, tawaran pengakuan bersalah sudah lama diamalkan walaupun secara tidak formal dalam senario dan praktik undang-undang jenayah di Malaysia. Namun tawaran pengakuan bersalah kini diformalkan bagi memantapkan lagi sistem keadilan negara dengan mengambil kira aspek kepentingan awam.

Peruntukan tawaran pengakuan bersalah diperkanunkan dalam Akta (Pindaan) Kanun Acara Jenayah 2010 di bawah seksyen-seksyen 172 C dan 172D, bab XVIIIA mengenai Proses-Proses Pra-Perbicaraan. Ia sudah menjadi undang-undang apabila diluluskan oleh Parlimen pada 2 Jun lalu dan diwartakan pada 10 Jun.

Seksyen 172C Akta (Pindaan) memberi pilihan kepada tertuduh dalam mana-mana kesalahan jenayah untuk memohon tawaran pengakuan bersalah di mahkamah di mana kes dalam pertuduhan akan dibicarakan.
Dalam permohonan itu, tertuduh akan disoal dalam satu perbicaraan tertutup bagi memastikan mahkamah berpuas hati bahawa permohonan yang dibuat adalah secara sukarela. Tawaran pengakuan bersalah yang disahkan oleh mahkamah seperti yang dipersetujui, boleh menyentuh sama ada; pertama -pilihan pertuduhan atau yang kedua - tahap hukuman.

Namun penguatkuasaannya dicadang dibataskan hanya kepada pesalah kali pertama. Jika tawaran yang dipersetujui adalah berkaitan pilihan pertuduhan lebih ringan, mahkamah akan menjatuhkan hukuman bersalah dan menetapkan hukuman seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, sebaliknya, jika tawaran pengakuan adalah berhubung dengan hukuman, mahkamah akan memutuskan bahawa tertuduh bersalah atas tuduhan dan menjatuhkan hukuman tidak melebihi separuh daripada hukuman maksimum, tetapi tidak kurang daripada had minimum.

Amalan di luar negara

Bidang kuasa mahkamah di banyak negara di dunia sudah lama mengamalkan tawaran pengakuan bersalah, tetapi dengan kawalan perlu, bagi mengelak salah guna yang boleh mengakibatkan ketidakadilan. Tawaran pengakuan bersalah diamalkan dengan meluas di Amerika Syarikat sebagai tukar ganti kepada perbicaraan penuh dengan juri.

Justeru, lebih daripada 90 peratus kes jenayah di negara berkenaan tidak dibicarakan. Majoriti individu yang dituduh melakukan jenayah di Amerika mengetepikan hak Perlembagaan mereka dan mengaku bersalah.

Bagaimanapun, sebarang cadangan pendakwa raya di negara terbabit hanya dianggap sebagai nasihat dan mahkamah mengekalkan kata muktamad dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah di negara itu juga boleh menolak hukuman yang dicadangkan dan tertuduh diberi peluang untuk menarik balik pengakuan. Pandangan yang hampir sama dikongsi oleh mahkamah di Kanada.

Di United Kingdom, selepas pindaan ke atas acara jenayah yang dilitupi dengan kontroversi pada 1980-an, tawaran pengakuan bersalah terus diamalkan di sebalik kritikan awam, tetapi secara umumnya diamalkan dengan berhemah. Negara Eropah yang lain juga secara perlahan-lahan mengesahkan konsep tawaran pengakuan bersalah.

Di India, pindaan kepada Kanun Acara Jenayah pada 2005 (dikuatkuasakan 2006) membolehkan tawaran pengakuan bersalah dicapai bagi kes yang hukuman maksimum adalah tujuh tahun penjara dengan mengecualikan kesalahan membabitkan keadaan sosioekonomi negara dan kesalahan dilakukan terhadap wanita atau kanak-kanak di bawah 14 tahun.

Faedah pindaan

Malaysia, seperti juga negara lain yang memperkenalkan konsep tawaran pengakuan bersalah mengetengahkannya dengan alasan utama untuk mengurangkan kelewatan dalam menyelesaikan kes jenayah.

Ia juga sebagai satu usaha proaktif bagi menyelesaikan kes tertunggak. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sehingga 31 Disember 2009, kes jenayah tertunggak di Mahkamah Tinggi membabitkan 521 kes, Mahkamah Seksyen (2,441 kes) dan Mahkamah Majistret (12,645 kes). Ini jelas jumlah kes yang besar.

Kelewatan perbicaraan boleh menafikan keadilan atau dalam bahasa Inggerisnya justice delayed justice denied, disebabkan pemulihan undang-undang tidak dinikmati dalam masa sepatutnya. Bahkan ia boleh melemahkan kesan pencegahan atau deterrence.

Ini berlaku apabila kejelikan dan kekejaman sesuatu jenayah tidak lagi diingati masyarakat umum dan tidak dapat dihubungkaitkan dengan hukuman yang dijatuhkan, walau pun berat.

Kemungkinan salah guna

Pihak yang skeptikal dengan langkah baru ini berhujah bawah dalam situasi sekarang di mana hampir 98 peratus tertuduh dalam perbicaraan jenayah tidak diwakili peguam, tawaran pengakuan bersalah boleh disalah gunakan sebagai alat untuk menjamin sabitan mudah. Prosedur baru ini sebenarnya menyediakan langkah pencegahan bagi mengelak salah guna kuasa dan paksaan.

Jika tertuduh tidak diwakili peguam dan bagi menjamin kesukarelaan membuat pengakuan, perbicaraan untuk mengesahkan perjanjian tawaran pengakuan bersalah dilakukan tanpa kehadiran pendakwa raya.

Bagaimanapun, bagi kes membabitkan jenayah serius seperti bunuh, rogol dan rasuah, pendakwa raya bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan awam dengan tidak menerima tawaran pengakuan bersalah.

Lagi pun, kemungkinan berlaku rasuah sebagai dorongan untuk menerima tawaran pengakuan bersalah bagi kes di atas, kini dikurangkan berikutan penubuhan 14 mahkamah khas rasuah dan penggubalan Akta Perlindungan Saksi yang berkuatkuasa pada 15 Disember lalu.

Langkah lebih holistik

Sesuatu langkah pembaharuan pasti menerima pelbagai reaksi, sama ada positif mahupun negatif. Yang pentingnya, usaha baru sebegini perlulah disertai dengan prosedur pemantauan dan program audit supaya penambahbaikan berterusan dapat dilakukan.

Satu langkah tunggal yang mustahil dapat menyelesaikan masalah kelewatan perbicaraan dan kes tertunggak. Operasi fail, pengkhususan hakim dan sistem pengesanan kes adalah antara pelbagai inisiatif yang diambil kerajaan untuk mengatasi masalah di atas di mahkamah seluruh negara.

Tambahan pula sistem keadilan jenayah yang berkesan dan mapan bukan saja bergantung kepada penyelesaian kes di mahkamah. Peranan dan aktiviti agensi bertanggungjawab dalam mencegah perlakuan jenayah juga penting.

Justeru, sikap inovasi dan proaktif diperlukan di kalangan pihak terbabit bagi mencari penyelesaian berkesan kepada masalah pentadbiran keadilan jenayah yang kini menjadi semakin mencabar kerana perubahan zaman, teknologi dan komunikasi.

Penulis adalah Profesor (Dr) Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)