Monday, January 31, 2011
7 lanun Somalia tiba di Malaysia
DUA daripada tujuh lanun warga Somalia dibawa anggota polis menaiki bas selepas mendapat perintah tahanan reman di Balai Polis Bukit Jalil, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 31 Jan. - Tujuh lanun rakyat Somalia yang ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa cuba merompak sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel di Teluk Aden, pada 20 Januari lalu, tiba di sini hari ini untuk didakwa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya akan mengambil-alih siasatan kes warga asing itu yang tiba di Pelabuhan Klang awal pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti identiti kesemuanya memandangkan mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
"Sehubungan itu, pemeriksaan Imigresen akan dilakukan bagi mengenal pasti kewarganegaraan mereka.
"Polis juga akan menjalankan soal siasat terhadap anak-anak kapal yang menyaksikan kejadian itu dan anggota-anggota Paskal (Pasukan Khas Laut) TLDM.
"Tahanan-tahanan turut dibawa menjalani pemeriksaan di hospital bagi mengetahui tahap kesihatan mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian pusat media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, TLDM berjaya menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman.
Misi menyelamat itu dilakukan bersama kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) TLDM, Bunga Mas 5 yang terlibat dalam Operasi Fajar bagi memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel itu ketika melalui perairan Teluk Aden.
Tambah Ismail, kesemua warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Sementara itu, kesemua suspek tiba di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil, di sini pukul 12.15 tengah hari untuk mendapatkan perintah reman.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli mengeluarkan perintah reman tujuh hari bermula hari ini.
Kesemua suspek dilihat keluar meninggalkan pekarangan pusat tahanan itu dan dipercayai dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Terdahulu pada majlis perasmian pusat media itu, Ismail memberitahu, tujuan penubuhannya untuk membangunkan mekanisme pengumpulan, analisis dan penyebaran maklumat secara bersepadu.
Katanya, melalui sistem tersebut, pihaknya yakin dapat menyalurkan maklumat dengan tepat, cepat dan terkini serta interaktif terus kepada masyarakat.
"Ini merupakan satu usaha polis dalam meningkatkan sistem pengurusan bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dilakukan dengan lebih terancang.
"Pada masa sama kita juga ingin melatih dan meningkatkan keupayaan pasukan agar dapat menyalurkan maklumat dengan tepat, cepat serta efektif kepada pihak media (massa dan elektronik)," katanya lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment