Friday, March 26, 2010

RMK-10: Lebih banyak projek untuk usahawan Melayu

ALOR SETAR 26 Mac – Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan memastikan usahawan dan peniaga Melayu mendapat projek sewajarnya dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kata menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau berkata, kementerian sedang menyusun satu kerangka pengagihan secara baik supaya semua peringkat usahawan dapat menikmati projek yang dirancang.

Katanya, mereka terlebih dahulu dipastikan berkeupayaan melaksanakan projek yang dianugerahkan dan untuk itu, kementerian melalui agensi-agensinya akan melatih untuk memantapkan nilai-nilai pengurusan perniagaan mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia negeri Kedah.

Shafie berkata, usahawan Melayu yang telah mantap dari segi latihan, pengalaman dan pengetahuan berpeluang mendapat manfaat daripada projek RMK-10 nanti, manakala usahawan baru perlu dibimbing. - Bernama

Blogger Buzz: Blogger integrates with Amazon Associates

Blogger Buzz: Blogger integrates with Amazon Associates

Thursday, March 11, 2010

Latihan Set 6 (minggu 10) PA1

Assalamualaikum kepada semua pelajar form 6 SMK Gerik.

Anda dikehendaki menjawab soalan set 6 untuk latihan minggu 10 persekolahan 2010.
Anda boleh klik alamat di bawah ATAU highlight alamat, kemudian copy dan paste di ruang browser.

KLIK SINI UNTUK DOWNLOAD SOALAN LATIHAN

ATAU GUNA alamat di bawah.

http://www.4shared.com/file/239045447/de5b642f/SKOR_A_SET_1_KERTAS_1.html

p/s : Jawapan akan diberikan semasa perbincangan di kelas selepas sekolah cuti.

SELAMAT MAJU JAYA. USAHA ANDA ADALAH UNTUK ANDA. SETIAP KEJAYAAN MEMERLUKAN PENGORBANAN!!

Jika ada sebarang masalah, sila hubungi email cgu.awe@gmail.com / 0127773693

Usul tidak percaya terhadap lembaga disiplin Majlis Peguam

2010/03/11
KUALA LUMPUR: Sekumpulan peguam kanan sekali lagi cuba mengemukakan usul tidak percaya terhadap lembaga disiplin Majlis Peguam pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu, Sabtu ini.

Usul tidak percaya itu adalah perkara utama dalam senarai lima usul pada mesyuarat tersebut yang pada lazimnya dihadiri kira-kira 800 daripada 13,000 ahli Majlis Peguam. Ia adalah cubaan kedua sekumpulan peguam kanan yang tidak berpuas hati dengan lembaga itu kerana didakwa gagal menghukum firma guaman besar kerana kesalahan, sementara syarikat kecil dan yang baru dikenakan tindakan teruk. Seorang peguam kanan yang memulakan usul itu ketika dihubungi, mengesahkan bahawa kumpulan itu akan mengemukakan usul tersebut dan mereka berharap mereka akan berjaya pada kali ini.

Setiausaha Majlis Peguam, George Varughese mengesahkan bahawa lima usul itu akan dibentangkan dan salinan sudah dihantar kepada ahlinya.

Beliau berkata, usul kedua ialah menggesa Majlis Peguam membenarkan diskaun
bagi yuran guaman ditentukan mengikut keadaan semasa.
Kini, ahli tidak dibenarkan menawarkan diskaun seperti itu kepada anak guamannya.

Varughese berkata, usul ketiga ialah kemungkinan kerajaan akan membayar sedikit pampasan yang munasabah disebabkan "kesilapan" keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes tanah membabitkan Adorna Properties vs Boonson Boonyanit.

Usul keempat ialah menggesa Majlis Peguam memberikan taklimat kepada ahli berhubung status cadangan pihak kehakiman untuk menyelaraskan peraturan mahkamah tinggi dan mahkamah di bawahnya.

Sementara itu, usul terakhir, usul kelima yang akan dibentangkan sendiri oleh presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, mengenai cadangan Bank Negara Malaysia mengenai skim untuk meliputi pihak ketiga kecederaan badan, tuntutan kematian di mana bank pusat itu bercadang mengadakan harga siling RM100,000 berbanding dengan undang-undang yang ada sekarang yang membenarkan tuntutan perundangan sehingga RM1 juta.

Varughese berkata, Majlis Peguam mahu BNM berunding dengan semua pihak secara terus membabitkan industri berkenaan daripada melaksanakannya secara timbangtara.

Beliau berharap lebih ramai ahli hadir pada mesyuarat itu tahun ini.

"Kita ada lebih 9,000 ahli di Lembah Klang saja, kita harap mereka akan hadir
untuk memberikan pandangan mengenai usul itu dan perkara berkaitan Majlis Peguam," katanya. - Bernama

Anwar cabar keputusan akhir

PUTRAJAYA 10 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar kesahihan kuasa Perdana Menteri di sisi perlembagaan bagi mendapat perisytiharan muktamad bahawa pemecatannya daripada semua jawatan dalam kerajaan, 11 tahun lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Ketua Pembangkang itu menggunakan permohonan semakan melalui Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 sebagai peluang terakhir mencabar kuasa Perdana Menteri melantik dan melucutkan jawatan Menteri Kabinet.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memfailkan permohonan tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di sini hari ini melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh & Co.

Anwar mengemukakan permohonan itu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah tertinggi negara pada Isnin lalu yang memutuskan pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dibuat berlandaskan Perlembagaan.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Anwar menyatakan, penghakiman tersebut tidak boleh dipertahankan kerana ia bertentangan dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, peruntukan itu jelas menyebut bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong berhak melucutkan kedua-dua jawatan itu atas nasihat Perdana Menteri.

Sebaliknya, dakwa beliau, surat bertarikh 2 September 1998 daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepadanya berhubung pemecatan itu menyatakan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Seri Paduka.

Sehubungan itu, Anwar menyatakan, Mahkamah Persekutuan terkhilaf ketika memutuskan bahawa pematuhan kepada Perkara 43(5) berhubung rujukan kepada Agong hanya satu formaliti kerana ia jelas satu penghinaan kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Pada Isnin lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff ketika menolak rayuan Anwar memutuskan, pelantikan dan pelucutan jawatan Menteri Kabinet merupakan kuasa Perdana Menteri.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara berpendapat, Seri Paduka langsung tidak mempunyai budi bicara mempertikai atau menolak sebarang pelantikan mahupun pemecatan menteri.

Jelas beliau, ini kerana sistem Raja Berperlembagaan mengehadkan kuasa Seri Paduka berbuat demikian kerana rujukan kepada baginda seperti yang dizahirkan di bawah Perkara 43(5) hanya satu formaliti.

Dengan keputusan itu, Dr. Mahathir selaku responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua bertindak mengikut undang-undang ketika memecat Anwar daripada kedua-dua jawatan itu.

Tuesday, March 9, 2010

Pemecatan Anwar sah

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 8 Mac - Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan dalam kerajaan 11 tahun lalu, sah di sisi undang-undang setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan dan pelucutan jawatan menteri Kabinet merupakan kuasa Perdana Menteri.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menyatakan, Yang di-Pertuan Agong langsung tidak mempunyai budi bicara mempertikai atau menolak sebarang pelantikan mahupun pemecatan menteri.

Jelas beliau, ini kerana sistem Raja Berperlembagaan mengehadkan kuasa Seri Paduka berbuat demikian memandangkan rujukan kepada baginda seperti yang dizahirkan di bawah Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan hanya satu formaliti.

Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku responden pertama dan kerajaan Malaysia responden kedua bertindak mengikut undang-undang ketika memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

''Kuasa memilih dan melantik Menteri Kabinet terletak di tangan Perdana Menteri, jika beliau memutuskan seseorang menteri itu meletak jawatan, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa menyatakan sebaliknya.

''Prinsip undang-undang jelas menyatakan bahawa hanya pihak yang melantik berhak melakukan pemecatan,'' ujar Hakim Alauddin ketika membacakan penghakiman bertulisnya setebal 33 muka surat.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa Seri Paduka tiada pilihan selain bertindak atas nasihat Perdana Menteri kerana beliau yang bertanggungjawab memilih, melantik dan memecat Menteri Kabinet.

Hakim Alauddin menyatakan demikian ketika menggariskan alasan berhubung keputusan panel tersebut menolak rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap pemecatannya pada pukul 5.30 petang, 2 September 1998.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pemecatannya sah di sisi undang-undang.

Dalam rayuannya, Ketua Pembangkang tersebut menyatakan, pemecatan itu bercanggah dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan kerana ia jelas menyatakan hanya Seri Paduka berhak memecat menteri Kabinet atas nasihat Perdana Menteri.

Anwar dipecat melalui surat yang ditandatangani oleh Dr. Mahathir yang antara lain menyatakan:

''Dengan dukacitanya, saya terpaksa melucutkan jawatan-jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan daripada Datuk Seri serta lain-lain jawatan yang dipegang dalam Kerajaan.

''Pelucutan ini berkuat kuasa dari hari ini, 2 September 1998 mulai pukul 5.30 petang. Pelucutan ini telah dimaklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."

Sementara itu, Anwar dalam reaksi ringkasnya kepada pemberita di luar mahkamah berkata, beliau telah menjangkakan keputusan tersebut.

Peguam Karpal Singh ketika berhujah sebelum ini menyatakan, Dr. Mahathir bertindak tanpa mengikut perlembagaan ketika memecat Anwar kerana beliau sekadar menyampaikan atau memaklumkan keputusan yang dibuatnya, bukan menasihati baginda.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said pula berhujah, Yang di-Pertuan Agong tidak membantah pemecatan Anwar ketika disampaikan oleh Dr. Mahathir dan ia jelas menunjukkan baginda memperkenankan keputusan tersebut.

Saturday, March 6, 2010

Kelemahan IAEA kawal nuklear sedunia

Oleh Mohamad Faisol Keling

Tindakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 18 Februari 2010 yang mendakwa Iran membina peluru berpandu nuklear dan pada 1 Mac 2010 mengesahkan Iran memulakan aktiviti pengayaan uranium ke peringkat penghasilan bom atom telah menimbulkan ketegangan baru antara Teheran dengan IAEA.

Dalam pada itu juga Ketua Pengarah IAEA, Yukiya Amano turut mendakwa Tehran enggan memberi komitmen kepada para pegawai IAEA bagi melakukan pemeriksaan terhadap loji nuklear Iran di Qom dan mendakwa terdapat beberapa kemudahan dan teknoloji program nuklear yang masih disembunyikan di bawah tanah di kawasan pergunungan berdekatan dengan bandar suci Syiah, Qom.

Tindakan Ketua Pengarah IAEA yang mengambil alih tugas daripada Mohamed El Baradei semenjak 1 Disember 2009 ini telah disangkal oleh Iran yang mendakwa Amano telah membentangkan laporan yang tidak tepat dan mengamalkan dasar 'berat sebelah' terhadap Teheran dalam mesyuarat badan atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini di Vienna pada 1 Mac 2010.

Sebaliknya Iran menjelaskan bahawa Teheran telah memberi komitmen kepada badan pemeriksa pembangunan atom untuk menjalankan pemeriksaan seperti yang telah ditetapkan. Namun, mengapa Iran mendakwa IAEA mengamalkan dasar 'berat sebelah' dalam penilaian terhadap program pembangunan nuklearnya?

Penubuhan IAEA pada Julai 1957 adalah bertujuan untuk bertindak sebagai satu badan yang bertanggungjawab menggalakkan pembangunan nuklear bagi tujuan keamanan, mengawal aktiviti pembangunan nuklear dan menghalang aktiviti pembangunan nuklear bagi tujuan ketenteraan oleh negara dalam sistem antarabangsa.

Secara umumnya sekiranya IAEA ini merupakan satu badan yang 'ideal' yang bertanggungjawab mengekalkan keamanan dunia daripada ancaman nuklear. Namun dari segi praktikalnya pada hari ini, adalah tidak keterlaluan jika IAEA boleh dianggap sebagai 'Trojan Horse' atau kuda tunggangan kepada Amerika Syarikat (AS) bagi meruntuhkan usaha sesebuah negara memperkukuhkan kuasa dalam pembangunan nuklear.

Justeru, dakwaan Teheran terhadap IAEA yang mendakwa laporan Yukiya Amano sebagai laporan yang berat sebelah dan tidak tepat juga turut dipengaruhi oleh faktor IAEA itu sendiri yang telah 'rela' menjadi kuda tunggangan kuasa besar AS. Pendirian dan perspektif Iran terhadap IAEA ini dapat kita nilai berdasarkan sikap badan itu sendiri yang hanya melihat Iran sebagai negara 'pendosa' yang melakukan 'dosa besar' dalam pembangunan nuklear sedangkan masih terdapat banyak lagi negara lain yang membangunkan senjata nuklear namun tidak dikenakan apa-apa tindakan sekatan dan tekanan.

Realitinya Iran dilihat telah menjadi 'mangsa' dalam percaturan kuasa-kuasa besar terhadap negara baru yang membangunkan program nuklear. Antara 1979-2010 Iran telah menghadapi pelbagai jenis sekatan termasuk sekatan yang dilakukan oleh AS dan PBB, namun mengapa hanya Iran yang menjadi mangsa?

Sama ada tujuan Iran membangunkan nuklear bagi tujuan keamanan atau persenjataan, badan atom antarabangsa ini sepatutnya perlu menilai kelemahan IAEA itu sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab globalnya. Ini kerana ketika AS cuba bertindak sebagai 'polis dunia' yang mempromosikan usaha membawa keamanan global, namun kuasa besar itu sendiri merupakan negara yang mempunyai stok simpanan senjata nuklear terbesar dunia yang dianggarkan melebihi 11,500 unit senjata nuklear.

Malah AS sentiasa mencipta pelbagai versi senjata nuklear yang mana matlamat pembangunan senjata nuklear adalah digunakan dalam peperangan.

Adakah AS mencipta senjata nuklear ini hanya untuk suka-suka? Ini bermaksud AS itu sendiri saban hari mencipta senjata nuklear untuk digunakan dalam peperangan agar dapat membunuh musuh. Namun tindakan AS ini tidak dikenakan apa-apa tindakan daripada IAEA dan PBB, sedangkan senjata yang dihasilkan adalah senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang akan membinasakan ketamadunan manusia.

IAEA juga gagal mengawal pembangunan nuklear oleh Rusia yang sehingga kini dianggarkan memiliki lebih daripada 7,500 unit senjata nuklear. IAEA juga gagal mengawal Britian, Perancis, China yang sehingga kini "bebas" membangunkan teknoloji dan senjata nuklear tanpa kawalan daripada badan atom antarabangsa. Ukraine, Belarus dan Kazakhstan yang pernah menjadi sebahagian daripada negara Kesatuan Soviet turut pernah memiliki senjata nuklear, manakala negara-negara yang berada di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) seperti Belgium, Jerman, Greece, Belanda, Itali dan Turki turut memiliki senjata nuklear yang ditempatkan oleh AS.

Malangnya IAEA yang ditubuhkan semenjak tahun 1957 tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap negara-negara berkenaan yang memiliki senjata ini.

Lebih malang lagi, IAEA turut gagal mengawal pembangunan nuklear India, Pakistan, Korea Utara dan Afrika Selatan yang 'bebas' membangunkan nuklear tanpa bimbang terhadap sekatan antarabangsa. Begitu juga dengan Israel yang mana sehingga kini IAEA terus 'menyepi' dan menutup mata dengan program nuklear yang dibangunkan Tel Aviv semenjak tahun 1956 lagi yang telah pun memiliki 250-300 unit senjata nuklear serta merupakan negara yang tidak menandatangani Non Proliferation Treaty (NPT).

Program dan senjata nuklear Yahudi ini bukan lagi sesuatu yang bersifat rahsia, sebaliknya negara dalam sistem antarabangsa telah pun maklum dengan senjata nuklear yang dimiliki Israel. Kegagalan IAEA ini dapat dinilai berdasarkan kajian yang dibuat oleh Nuclear Age Peace Foundation yang telah menganggarkan terdapat 26,000 senjata nuklear yang sebahagian besarnya dimiliki oleh AS dan Rusia dan 40 buah negara lain sehingga kini.

Percambahan nuklear ini telah menunjukkan kegagalan IAEA dan PBB itu sendiri dalam mengawal perebakkan nuklear di peringkat antarabangsa. Adakah dengan kegagalan IAEA dan PBB ini dapat meyakinkan Iran bagi menamatkan program nuklearnya? Hakikatnya, IAEA hanya menjadikan Iran sebagai sasaran bagi menutup kelemahan yang dihadapi.

Sikap berat sebelah IAEA, PBB dan AS ini turut dinyatakan oleh pemimpin Arab Saudi, Putera Saud al-Faisal yang merupakan sekutu kuat AS ketika lawatan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada 16 Februari 2010 yang menggesa penghapusan senjata nuklear di Asia Barat perlu melibatkan Israel dan bukannya hanya kepada Iran semata-mata.

Namun adakah tindakan AS dan IAEA ini telah membantutkan usaha Iran untuk mencapai matlamatnya membangunkan nuklear? Berdasarkan perkembangan pembangunan nuklear ketika ini, Iran dilihat telah berjaya mengorak langkah dan mencipta kejayaan secara perlahan-lahan dalam program nuklearnya, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai tekanan dan sekatan antarabangsa.

Menurut laporan IAEA, Iran dijangkakan bakal mencapai kejayaan dalam program nuklearnya menjelang tahun 2011. Dengan situasi anarki yang dihadapi Iran dalam arus politik di Asia Barat dan antarabangsa pada ketika ini, ia telah mempengaruhi pendirian Teheran untuk melihat nuklear sebagai satu keperluan bagi menjamin keselamatannya dan negara Islam lain daripada ancaman Israel dan AS.

Pendirian Iran ini telah dinyatakan oleh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada 19 Februari 2010 yang menegaskan hasrat Iran untuk bekerjasama dengan negara Islam serta membantu memupuk kestabilan dan keselamatan serantau. Malah Iran turut menjelaskan bahawa Iran tidak akan memusuhi negara serantau, sebaliknya program pembangunan nuklear Teheran ini perlu dilihat dalam konteks positif bagi menghadapi kuasa-kuasa besar yang suka menindas.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Monday, March 1, 2010

MEB pendekatan berani lonjak pertumbuhan ekonomi negara

1/3/2010

RAKYAT Malaysia kini boleh menarik nafas lega dengan ekonomi negara berkembang 4.5 peratus suku terakhir tahun lepas selepas mengalami penguncupan selama tiga suku tahunan sebelumnya. Namun lebih wajar rakyat mengambil sikap berhati-hati dan meningkatkan usaha dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini yang terikat dengan ekonomi serantau serta global, dan bukan meraikan perkembangan terbaru ini.

Pendek kata, kita belum lagi bebas daripada masalah fenomena ekonomi dinamik yang dari semasa ke semasa tidak pernah terlepas daripada memberi kejutan mengecewakan pembuat dasar. Namun begitu, patut diberi perhatian bahawa semua sektor iaitu pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan, kecuali perlombongan mencatatkan pertumbuhan positif yang kukuh.

Tidak disangsikan lagi, ini kesan limpahan pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion di mana 113,000 projek telah atau sedang dilaksanakan membuahkan hasil. Sektor pembinaan dilihat menjadi penerima yang besar di mana ia adalah sektor pertumbuhan tertinggi, berkembang 9.2 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun berbanding dengan pertumbuhan 7.9 peratus pada suku ketiga.

Bukti lain menunjukkan ekonomi berada pada landasan yang betul termasuk peningkatan dalam pergerakan kontena di pelabuhan utama, ribuan kerja diwujudkan dalam sektor pembuatan dan entiti tersenarai mengumumkan pendapatan korporat yang lebih baik. Pasaran saham menyaksikan peningkatan minat dengan pertambahan jumlah dagangan dan indeks berlegar pada paras 1,270 mata. Angka dikeluarkan kerajaan menunjukkan eksport kembali meningkat selain syarikat asing meninjau penyenaraian di bursa saham. Pujian harus diberi kepada kerajaan yang melancarkan dua pakej yang agak pantas sebagai langkah pencegahan mengurangkan kesan buruk ekonomi global yang terjejas daripada masalah kredit Amerika.

Secara puratanya, kerajaan menyuntik kira-kira RM1 bilion sebulan ke pasaran sejak Januari 2009. Faktor lain ialah peningkatan sentimen dan keyakinan ekonomi. Awal bulan ini, kilang melebur aluminium usaha sama Malaysia-China di Sarawak diwujudkan membabitkan pelaburan AS$1 bilion, yang jelas mencerminkan keyakinan kuasa besar ekonomi Asia itu sehingga melabur sejumlah besar di Malaysia. Dana portfolio institusi Arab Saudi juga menjalin pakatan dengan pihak di Malaysia untuk melabur dalam ekonomi negara dan negara ketiga, yang memberi petunjuk positif kepada persekitaran pelaburan di Malaysia. Adalah diharapkan, ini akan menandakan petunjuk seterusnya dalam landasan negara ke arah pemulihan ekonomi pantas dan mampan.

Pakej rangsangan negara merangkumi pelbagai ekonomi dan kumpulan sasaran termasuk pekerja, pengguna, pelabur, perniagaan kecil dan sederhana, pengeksport serta graduan menganggur. Pendekatan kerajaan itu juga dibentuk untuk memberi faedah kepada penduduk luar bandar yang sekali lagi membuktikan bahawa selain menumpukan kepada usaha mengembangkan ekonomi, kerajaan juga tidak melupakan kebajikan rakyat. Rakyat adalah sumber bernilai dalam usaha negara untuk keluar dari kemelesetan dan bergerak ke hadapan tanpa berdepan dengan terlalu banyak masalah.

Bagi tahun ini, pertumbuhan diunjur lebih lima peratus. Ia lebih tinggi berbanding empat peratus diunjurkan sebelum ini hasil langkah proaktif Datuk Seri Najib Razak. Lawatan Perdana Menteri ke ekonomi utama seperti China, India dan Asia Barat bagi menarik pelaburan yang amat diperlukan mula menunjukkan hasil selepas pelabur dari negara ini kini memasuki ekonomi tempatan.

Bagaimanapun, setakat mana pemulihan Malaysia juga bergantung kepada keadaan ekonomi serantau dan dunia memandangkan ekonomi luar akan menentukan permintaan bagi eksport negara dan tambahan pula Malaysia adalah negara berorientasikan eksport. Namun begitu, negara dalam kedudukan baik untuk mencapai pertumbuhan purata enam peratus setahun dan mencapai status negara maju menjelang 2020. Tetapi kini, cabaran sebenar bermula iaitu untuk mengekal dan merangsang pertumbuhan. Model Ekonomi Baru (MEB) yang dinanti-nantikan dijangka memberi jawapan kepada pendekatan berani yang akan membolehkan Malaysia melonjak menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Najib, yang juga Menteri Kewangan dijadual melancarkan MEB akhir bulan ini. Adalah diharapkan, ia mempunyai penyelesaian kepada isu yang tiada penghujungnya iaitu subsidi dan bagaimana rancangan kerajaan mengurangkan defisit bajet yang dijangka susut kepada 5.6 peratus tahun ini daripada 7.4 peratus tahun lalu. Model ekonomi itu mengandungi idea untuk meningkatkan standard ekonomi negara dan membawa Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara pendapatan tinggi.

Satu teras model itu ialah bagaimana meningkatkan produktiviti pekerja dengan usaha mereka melalui inovasi dan kreativiti. Tetapi selain daripada rangka tindakan ialah kepantasan pelaksanaan MEB yang akan memastikan ekonomi negara bukan hanya kekal pada landasan pertumbuhan, tetapi juga dapat mengharungi sebarang badai mendatang.

Kebangkitan ekonomi domestik serta sektor kewangan dan korporat yang sihat ditambah dengan MEB akan memastikan Malaysia bersedia meraih peluang apabila ekonomi dunia kembali pulih. – Bernama

Laporan Khas: Kes tatatertib sektor awam perlu adil

1/3/2010
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my

Kakitangan kerajaan diberhenti kehilangan segala hak, faedah ikut Perintah Am: Cuepacs

GABUNGAN Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan hukuman dalam Perintah Am, Bab D - Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993, khususnya berkaitan pemberhentian kerja penjawat awam.

Presidennya, Omar Osman, berkata kajian semula ke arah penambahbaikan itu amat penting untuk memastikan tindakan tatatertib diambil terhadap penjawat awam adalah adil dan saksama. Ini bagi mengelak penganiayaan atau sehingga mencetuskan perasaan ‘dendam’ terhadap kerajaan.

Katanya, antara aspek utama perlu diberi penekanan dalam kajian semula itu ialah kehilangan segala hak dan faedah secara mutlak termasuk pencen, perubatan, gratuiti, ganjaran cuti terkumpul serta kemudahan lain apabila seseorang penjawat awam diberhentikan kerja akibat kesalahan tatatertib.

Beliau berkata, ada kes pemberhentian kerja membabitkan penjawat awam yang sudah berkhidmat 30 tahun malah mungkin pernah memperoleh anugerah kecemerlangan ketika bertugas serta mempunyai jumlah cuti terkumpul yang banyak.

“Apabila seseorang penjawat diberhentikan, dia mengalami kerugian besar kerana kehilangan mutlak segala hak dan faedahnya sebagai anggota perkhidmatan awam. Lebih menyedihkan, ada kes membabitkan penjawat awam yang hanya tinggal dua tahun untuk bersara wajib atau sudah mempunyai jumlah cuti terkumpul sebanyak 120 hari.

“Keadaan tanpa sebarang pampasan itu akan mengakibatkan permasalahan besar kepada keluarga, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai anak kerana beban kewangan seperti mungkin ada hutang yang masih belum selesai.

“Oleh itu, sekurang-kurangnya gratuiti serta ganjaran cuti yang dikumpulkan sepanjang tempoh berkhidmat patut dibayar dan tidak dikaitkan dengan pemberhentian kerja kerana ia adalah hasil keringat mereka sebelum berlaku kesalahan tatatertib,” katanya.

Omar berkata, Cuepacs memandang berat aspek itu kerana bimbang penjawat awam yang dibebani kesukaran mendadak akibat diberhentikan kerja akan `berdendam’ terhadap kerajaan sehingga mungkin bertindak membuat hasutan.

“Hasrat Cuepacs ialah supaya seseorang penjawat awam yang diberhentikan kerja namun masih taat setia kepada kerajaan kerana hukuman dikenakan bukanlah secara mutlak, sebaliknya masih ada pertimbangan.

“Dengan itu, penjawat terbabit akan lebih dapat menerima hakikat hukuman dan mengakui kesalahan yang dilakukan kerana kerajaan tetap menghargai perkhidmatan selama ini dengan pemberian imbuhan untuk meringankan beban.

“Bagaimanapun, kehilangan faedah pencen, perubatan dan kemudahan lain serta tidak boleh lagi berkhidmat dalam sektor awam adalah hukuman setimpal,” katanya.

Berdasarkan statistik sektor awam tahun lalu, Omar berkata, kira-kira 380 kes pemberhentian kerja akibat pelbagai kes kesalahan tatatertib, termasuk tidak hadir bertugas tanpa cuti selama tujuh hari berturut-turut.

Dalam konteks ini, beliau berkata, penjawat yang melakukan kesalahan tidak hadir bertugas tanpa cuti selama tujuh hari berturut-turut wajar dipanggil untuk membela diri dalam panel lembaga tatatertib sebelum penetapan keputusan memberhentikan kerja.

Katanya, ini supaya mereka berpeluang menjelaskan permasalahan atau punca sebenar kejadian itu kerana mungkin berlaku kes kecemasan tertentu yang tidak dapat dielakkan tetapi peruntukan cuti sudah habis.

“Penjawat yang melakukan kesalahan tatatertib akan diberi surat tunjuk sebab dan keputusan memberhentikan kerja hanya dibuat berdasarkan jawapan dalam surat itu tanpa dipanggil berjumpa dengan panel lembaga tatatertib.

“Ini tidak adil kerana ada sebilangan penjawat yang kurang arif menjawab surat tunjuk sebab dan mungkin ada kes teraniaya. Tambahan pula, lazimnya 90 peratus kes rayuan gagal.

“Sehubungan itu, Cuepacs meminta kerajaan mengkaji semula supaya hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan kerana perkara ini memang banyak dipersoalkan dan mencetus perasaan tidak puas hati.

“Cuepacs mencadangkan supaya setiap penjawat awam yang menghadapi tuduhan kesalahan tatatertib mesti dipanggil ke dalam lembaga tatatertib dan dibicarakan secara adil dan juga saksama, bukan keputusan dibuat berdasarkan surat tunjuk sebab saja. Selain itu, wajar dilantik pemerhati seperti di kalangan wakil kesatuan,” katanya.

Lebih memeritkan, Omar berkata, ada segelintir ketua jabatan menggunakan ancaman `hukuman tatatertib’ sebagai senjata gertakan untuk melakukan suatu tugas ke atas kakitangan bawahan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku ketika kerajaan dalam proses mentransformasi sektor awam ke arah kualiti kerja, produktiviti dan sistem penyampaian terbaik kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Katanya, Cuepacs sudah menetapkan dalam Sasaran Kerja Tahunan 2010 untuk meneliti semula Perintah Am, Bab D berkenaan, meliputi dari segi relevan dan kesesuaian dengan perkembangan semasa.

“Cuepacs akan mengadakan bengkel bagi tujuan ini, dijangka Februari tahun depan membabitkan penyertaan pihak seperti ahli dalam bidang perundangan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.