1/3/2010
RAKYAT Malaysia kini boleh menarik nafas lega dengan ekonomi negara berkembang 4.5 peratus suku terakhir tahun lepas selepas mengalami penguncupan selama tiga suku tahunan sebelumnya. Namun lebih wajar rakyat mengambil sikap berhati-hati dan meningkatkan usaha dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini yang terikat dengan ekonomi serantau serta global, dan bukan meraikan perkembangan terbaru ini.
Pendek kata, kita belum lagi bebas daripada masalah fenomena ekonomi dinamik yang dari semasa ke semasa tidak pernah terlepas daripada memberi kejutan mengecewakan pembuat dasar. Namun begitu, patut diberi perhatian bahawa semua sektor iaitu pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan, kecuali perlombongan mencatatkan pertumbuhan positif yang kukuh.
Tidak disangsikan lagi, ini kesan limpahan pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion di mana 113,000 projek telah atau sedang dilaksanakan membuahkan hasil. Sektor pembinaan dilihat menjadi penerima yang besar di mana ia adalah sektor pertumbuhan tertinggi, berkembang 9.2 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun berbanding dengan pertumbuhan 7.9 peratus pada suku ketiga.
Bukti lain menunjukkan ekonomi berada pada landasan yang betul termasuk peningkatan dalam pergerakan kontena di pelabuhan utama, ribuan kerja diwujudkan dalam sektor pembuatan dan entiti tersenarai mengumumkan pendapatan korporat yang lebih baik. Pasaran saham menyaksikan peningkatan minat dengan pertambahan jumlah dagangan dan indeks berlegar pada paras 1,270 mata. Angka dikeluarkan kerajaan menunjukkan eksport kembali meningkat selain syarikat asing meninjau penyenaraian di bursa saham. Pujian harus diberi kepada kerajaan yang melancarkan dua pakej yang agak pantas sebagai langkah pencegahan mengurangkan kesan buruk ekonomi global yang terjejas daripada masalah kredit Amerika.
Secara puratanya, kerajaan menyuntik kira-kira RM1 bilion sebulan ke pasaran sejak Januari 2009. Faktor lain ialah peningkatan sentimen dan keyakinan ekonomi. Awal bulan ini, kilang melebur aluminium usaha sama Malaysia-China di Sarawak diwujudkan membabitkan pelaburan AS$1 bilion, yang jelas mencerminkan keyakinan kuasa besar ekonomi Asia itu sehingga melabur sejumlah besar di Malaysia. Dana portfolio institusi Arab Saudi juga menjalin pakatan dengan pihak di Malaysia untuk melabur dalam ekonomi negara dan negara ketiga, yang memberi petunjuk positif kepada persekitaran pelaburan di Malaysia. Adalah diharapkan, ini akan menandakan petunjuk seterusnya dalam landasan negara ke arah pemulihan ekonomi pantas dan mampan.
Pakej rangsangan negara merangkumi pelbagai ekonomi dan kumpulan sasaran termasuk pekerja, pengguna, pelabur, perniagaan kecil dan sederhana, pengeksport serta graduan menganggur. Pendekatan kerajaan itu juga dibentuk untuk memberi faedah kepada penduduk luar bandar yang sekali lagi membuktikan bahawa selain menumpukan kepada usaha mengembangkan ekonomi, kerajaan juga tidak melupakan kebajikan rakyat. Rakyat adalah sumber bernilai dalam usaha negara untuk keluar dari kemelesetan dan bergerak ke hadapan tanpa berdepan dengan terlalu banyak masalah.
Bagi tahun ini, pertumbuhan diunjur lebih lima peratus. Ia lebih tinggi berbanding empat peratus diunjurkan sebelum ini hasil langkah proaktif Datuk Seri Najib Razak. Lawatan Perdana Menteri ke ekonomi utama seperti China, India dan Asia Barat bagi menarik pelaburan yang amat diperlukan mula menunjukkan hasil selepas pelabur dari negara ini kini memasuki ekonomi tempatan.
Bagaimanapun, setakat mana pemulihan Malaysia juga bergantung kepada keadaan ekonomi serantau dan dunia memandangkan ekonomi luar akan menentukan permintaan bagi eksport negara dan tambahan pula Malaysia adalah negara berorientasikan eksport. Namun begitu, negara dalam kedudukan baik untuk mencapai pertumbuhan purata enam peratus setahun dan mencapai status negara maju menjelang 2020. Tetapi kini, cabaran sebenar bermula iaitu untuk mengekal dan merangsang pertumbuhan. Model Ekonomi Baru (MEB) yang dinanti-nantikan dijangka memberi jawapan kepada pendekatan berani yang akan membolehkan Malaysia melonjak menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Najib, yang juga Menteri Kewangan dijadual melancarkan MEB akhir bulan ini. Adalah diharapkan, ia mempunyai penyelesaian kepada isu yang tiada penghujungnya iaitu subsidi dan bagaimana rancangan kerajaan mengurangkan defisit bajet yang dijangka susut kepada 5.6 peratus tahun ini daripada 7.4 peratus tahun lalu. Model ekonomi itu mengandungi idea untuk meningkatkan standard ekonomi negara dan membawa Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara pendapatan tinggi.
Satu teras model itu ialah bagaimana meningkatkan produktiviti pekerja dengan usaha mereka melalui inovasi dan kreativiti. Tetapi selain daripada rangka tindakan ialah kepantasan pelaksanaan MEB yang akan memastikan ekonomi negara bukan hanya kekal pada landasan pertumbuhan, tetapi juga dapat mengharungi sebarang badai mendatang.
Kebangkitan ekonomi domestik serta sektor kewangan dan korporat yang sihat ditambah dengan MEB akan memastikan Malaysia bersedia meraih peluang apabila ekonomi dunia kembali pulih. Bernama
Monday, March 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment