Oleh Mohamad Faisol Keling
Tindakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 18 Februari 2010 yang mendakwa Iran membina peluru berpandu nuklear dan pada 1 Mac 2010 mengesahkan Iran memulakan aktiviti pengayaan uranium ke peringkat penghasilan bom atom telah menimbulkan ketegangan baru antara Teheran dengan IAEA.
Dalam pada itu juga Ketua Pengarah IAEA, Yukiya Amano turut mendakwa Tehran enggan memberi komitmen kepada para pegawai IAEA bagi melakukan pemeriksaan terhadap loji nuklear Iran di Qom dan mendakwa terdapat beberapa kemudahan dan teknoloji program nuklear yang masih disembunyikan di bawah tanah di kawasan pergunungan berdekatan dengan bandar suci Syiah, Qom.
Tindakan Ketua Pengarah IAEA yang mengambil alih tugas daripada Mohamed El Baradei semenjak 1 Disember 2009 ini telah disangkal oleh Iran yang mendakwa Amano telah membentangkan laporan yang tidak tepat dan mengamalkan dasar 'berat sebelah' terhadap Teheran dalam mesyuarat badan atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini di Vienna pada 1 Mac 2010.
Sebaliknya Iran menjelaskan bahawa Teheran telah memberi komitmen kepada badan pemeriksa pembangunan atom untuk menjalankan pemeriksaan seperti yang telah ditetapkan. Namun, mengapa Iran mendakwa IAEA mengamalkan dasar 'berat sebelah' dalam penilaian terhadap program pembangunan nuklearnya?
Penubuhan IAEA pada Julai 1957 adalah bertujuan untuk bertindak sebagai satu badan yang bertanggungjawab menggalakkan pembangunan nuklear bagi tujuan keamanan, mengawal aktiviti pembangunan nuklear dan menghalang aktiviti pembangunan nuklear bagi tujuan ketenteraan oleh negara dalam sistem antarabangsa.
Secara umumnya sekiranya IAEA ini merupakan satu badan yang 'ideal' yang bertanggungjawab mengekalkan keamanan dunia daripada ancaman nuklear. Namun dari segi praktikalnya pada hari ini, adalah tidak keterlaluan jika IAEA boleh dianggap sebagai 'Trojan Horse' atau kuda tunggangan kepada Amerika Syarikat (AS) bagi meruntuhkan usaha sesebuah negara memperkukuhkan kuasa dalam pembangunan nuklear.
Justeru, dakwaan Teheran terhadap IAEA yang mendakwa laporan Yukiya Amano sebagai laporan yang berat sebelah dan tidak tepat juga turut dipengaruhi oleh faktor IAEA itu sendiri yang telah 'rela' menjadi kuda tunggangan kuasa besar AS. Pendirian dan perspektif Iran terhadap IAEA ini dapat kita nilai berdasarkan sikap badan itu sendiri yang hanya melihat Iran sebagai negara 'pendosa' yang melakukan 'dosa besar' dalam pembangunan nuklear sedangkan masih terdapat banyak lagi negara lain yang membangunkan senjata nuklear namun tidak dikenakan apa-apa tindakan sekatan dan tekanan.
Realitinya Iran dilihat telah menjadi 'mangsa' dalam percaturan kuasa-kuasa besar terhadap negara baru yang membangunkan program nuklear. Antara 1979-2010 Iran telah menghadapi pelbagai jenis sekatan termasuk sekatan yang dilakukan oleh AS dan PBB, namun mengapa hanya Iran yang menjadi mangsa?
Sama ada tujuan Iran membangunkan nuklear bagi tujuan keamanan atau persenjataan, badan atom antarabangsa ini sepatutnya perlu menilai kelemahan IAEA itu sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab globalnya. Ini kerana ketika AS cuba bertindak sebagai 'polis dunia' yang mempromosikan usaha membawa keamanan global, namun kuasa besar itu sendiri merupakan negara yang mempunyai stok simpanan senjata nuklear terbesar dunia yang dianggarkan melebihi 11,500 unit senjata nuklear.
Malah AS sentiasa mencipta pelbagai versi senjata nuklear yang mana matlamat pembangunan senjata nuklear adalah digunakan dalam peperangan.
Adakah AS mencipta senjata nuklear ini hanya untuk suka-suka? Ini bermaksud AS itu sendiri saban hari mencipta senjata nuklear untuk digunakan dalam peperangan agar dapat membunuh musuh. Namun tindakan AS ini tidak dikenakan apa-apa tindakan daripada IAEA dan PBB, sedangkan senjata yang dihasilkan adalah senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang akan membinasakan ketamadunan manusia.
IAEA juga gagal mengawal pembangunan nuklear oleh Rusia yang sehingga kini dianggarkan memiliki lebih daripada 7,500 unit senjata nuklear. IAEA juga gagal mengawal Britian, Perancis, China yang sehingga kini "bebas" membangunkan teknoloji dan senjata nuklear tanpa kawalan daripada badan atom antarabangsa. Ukraine, Belarus dan Kazakhstan yang pernah menjadi sebahagian daripada negara Kesatuan Soviet turut pernah memiliki senjata nuklear, manakala negara-negara yang berada di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) seperti Belgium, Jerman, Greece, Belanda, Itali dan Turki turut memiliki senjata nuklear yang ditempatkan oleh AS.
Malangnya IAEA yang ditubuhkan semenjak tahun 1957 tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap negara-negara berkenaan yang memiliki senjata ini.
Lebih malang lagi, IAEA turut gagal mengawal pembangunan nuklear India, Pakistan, Korea Utara dan Afrika Selatan yang 'bebas' membangunkan nuklear tanpa bimbang terhadap sekatan antarabangsa. Begitu juga dengan Israel yang mana sehingga kini IAEA terus 'menyepi' dan menutup mata dengan program nuklear yang dibangunkan Tel Aviv semenjak tahun 1956 lagi yang telah pun memiliki 250-300 unit senjata nuklear serta merupakan negara yang tidak menandatangani Non Proliferation Treaty (NPT).
Program dan senjata nuklear Yahudi ini bukan lagi sesuatu yang bersifat rahsia, sebaliknya negara dalam sistem antarabangsa telah pun maklum dengan senjata nuklear yang dimiliki Israel. Kegagalan IAEA ini dapat dinilai berdasarkan kajian yang dibuat oleh Nuclear Age Peace Foundation yang telah menganggarkan terdapat 26,000 senjata nuklear yang sebahagian besarnya dimiliki oleh AS dan Rusia dan 40 buah negara lain sehingga kini.
Percambahan nuklear ini telah menunjukkan kegagalan IAEA dan PBB itu sendiri dalam mengawal perebakkan nuklear di peringkat antarabangsa. Adakah dengan kegagalan IAEA dan PBB ini dapat meyakinkan Iran bagi menamatkan program nuklearnya? Hakikatnya, IAEA hanya menjadikan Iran sebagai sasaran bagi menutup kelemahan yang dihadapi.
Sikap berat sebelah IAEA, PBB dan AS ini turut dinyatakan oleh pemimpin Arab Saudi, Putera Saud al-Faisal yang merupakan sekutu kuat AS ketika lawatan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada 16 Februari 2010 yang menggesa penghapusan senjata nuklear di Asia Barat perlu melibatkan Israel dan bukannya hanya kepada Iran semata-mata.
Namun adakah tindakan AS dan IAEA ini telah membantutkan usaha Iran untuk mencapai matlamatnya membangunkan nuklear? Berdasarkan perkembangan pembangunan nuklear ketika ini, Iran dilihat telah berjaya mengorak langkah dan mencipta kejayaan secara perlahan-lahan dalam program nuklearnya, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai tekanan dan sekatan antarabangsa.
Menurut laporan IAEA, Iran dijangkakan bakal mencapai kejayaan dalam program nuklearnya menjelang tahun 2011. Dengan situasi anarki yang dihadapi Iran dalam arus politik di Asia Barat dan antarabangsa pada ketika ini, ia telah mempengaruhi pendirian Teheran untuk melihat nuklear sebagai satu keperluan bagi menjamin keselamatannya dan negara Islam lain daripada ancaman Israel dan AS.
Pendirian Iran ini telah dinyatakan oleh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada 19 Februari 2010 yang menegaskan hasrat Iran untuk bekerjasama dengan negara Islam serta membantu memupuk kestabilan dan keselamatan serantau. Malah Iran turut menjelaskan bahawa Iran tidak akan memusuhi negara serantau, sebaliknya program pembangunan nuklear Teheran ini perlu dilihat dalam konteks positif bagi menghadapi kuasa-kuasa besar yang suka menindas.
PENULIS ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia
Saturday, March 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment