Thursday, March 11, 2010

Anwar cabar keputusan akhir

PUTRAJAYA 10 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar kesahihan kuasa Perdana Menteri di sisi perlembagaan bagi mendapat perisytiharan muktamad bahawa pemecatannya daripada semua jawatan dalam kerajaan, 11 tahun lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Ketua Pembangkang itu menggunakan permohonan semakan melalui Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 sebagai peluang terakhir mencabar kuasa Perdana Menteri melantik dan melucutkan jawatan Menteri Kabinet.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memfailkan permohonan tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di sini hari ini melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh & Co.

Anwar mengemukakan permohonan itu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah tertinggi negara pada Isnin lalu yang memutuskan pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dibuat berlandaskan Perlembagaan.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Anwar menyatakan, penghakiman tersebut tidak boleh dipertahankan kerana ia bertentangan dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, peruntukan itu jelas menyebut bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong berhak melucutkan kedua-dua jawatan itu atas nasihat Perdana Menteri.

Sebaliknya, dakwa beliau, surat bertarikh 2 September 1998 daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepadanya berhubung pemecatan itu menyatakan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Seri Paduka.

Sehubungan itu, Anwar menyatakan, Mahkamah Persekutuan terkhilaf ketika memutuskan bahawa pematuhan kepada Perkara 43(5) berhubung rujukan kepada Agong hanya satu formaliti kerana ia jelas satu penghinaan kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Pada Isnin lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff ketika menolak rayuan Anwar memutuskan, pelantikan dan pelucutan jawatan Menteri Kabinet merupakan kuasa Perdana Menteri.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara berpendapat, Seri Paduka langsung tidak mempunyai budi bicara mempertikai atau menolak sebarang pelantikan mahupun pemecatan menteri.

Jelas beliau, ini kerana sistem Raja Berperlembagaan mengehadkan kuasa Seri Paduka berbuat demikian kerana rujukan kepada baginda seperti yang dizahirkan di bawah Perkara 43(5) hanya satu formaliti.

Dengan keputusan itu, Dr. Mahathir selaku responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua bertindak mengikut undang-undang ketika memecat Anwar daripada kedua-dua jawatan itu.

No comments: