Friday, July 29, 2011

Mahkamah ketepikan penjara 2 bulan terhadap Ameng

2011/07/29
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan hukuman penjara dua bulan terhadap penyanyi kumpulan Spring Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng tetapi mengekalkan denda RM4,000 yang dijatuhi oleh Mahkamah Majistret tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya berkata majistret yang menjatuhi hukuman tersebut terhadap Wan Aminuddin, 42, pada 1 Nov tahun lalu telah terkhilaf mentafsir Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000. Ini bermakna mengikut seksyen itu, majistret hanya boleh menjatuhi hukuman penjara sahaja atau denda sahaja dan bukannya kedua-dua sekali.

Tuesday, July 26, 2011

Cegah konflik di Laut China Selatan

Oleh Ruhanie Ahmad


Pemimpin-pemimpin tertinggi tentera Amerika Syarikat (kiri) dan China (kanan) berdialog di Beijing pada 11 Julai lalu mengenai ketegangan di Laut China Selatan. – afp

Konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan adalah ancaman keselamatan yang sangat dikhuatiri di Asia Tenggara mutakhir ini. Oleh sebab itulah ASEAN sentiasa serius untuk menghindarkan kemungkinannya.

Potensi tercetusnya konflik ini tidak mustahil bila sumber petroleum dunia kian pupus, penggunaan tenaga sejagat – terutamanya di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur – makin meningkat, kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap tenaga import pada tahun 2020 juga kian bertambah, dan punca tenaga alternatif pula terlalu mahal atau gagal memenuhi permintaan.

Lantaran itulah Laut China Selatan dikategorikan sebagai salah satu flashpoint atau kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi yang mungkin mencetuskan konflik maritim berasaskan petroleum di abad ke-21. Ini kerana Laut China Selatan kaya dengan rizab petroleum. Menurut Energy Profile of South China Sea (17 Jun 2008), Laut China Selatan mempunyai rizab minyak ditaksirkan sebanyak 7 bilion tong, dan rizab gas asli sejumlah 2,000 trilion kaki persegi.

Jumlah ini kecil berbanding lain-lain wilayah dunia. Namun rizab petroleum di Laut China Selatan ini adalah strategik kerana ia membabitkan China – pesaing utama AS di abad ke-21 – selaku salah satu pihak yang terlibat dengan tuntutan bertindih ke atas telaga petroleum di perairan tersebut.

Oleh sebab itu, ancaman terjangka atau perceived threat di Laut China Selatan ini boleh tercetus berdasarkan dua senario. Senario pertama berpuncakan tuntutan bertindih. Senario kedua berpuncakan ancaman keselamatan kepada pengangkutan petroleum ke Asia Timur yang melalui Laut China Selatan.

Senario pertama boleh tercetus jika tuntutan bertindih oleh kuasa-kuasa pesisir Laut China Selatan terhadap telaga petroleum – terutamanya di sekitar gugusan Spratly – gagal diselesaikan menerusi diplomasi. Senario ini membabitkan Brunei, China, Indonesia, Filipina, Kemboja, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum menyelesaikan masalah ini. Tetapi, seluruh negara terbabit telah dimestikan olehnya supaya menyelesaikan tuntutan mereka secara damai.

Forum Serantau ASEAN atau ASEAN Regional Forum (ARF) pula makin fokus dalam inisiatif mewujudkan keamanan di Laut China Selatan. Ini dibuktikan menerusi keputusan ARF di Bali baru-baru ini di mana ASEAN dan China menyetujui garis panduan pelaksanaan The Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang diwujudkan sejak 4 November 2002.

Seterusnya, wujud ASEAN Defence Ministers’ Meeting Plus (ADMM Plus) yang dibentuk pada tahun 2010 untuk mewujudkan kerjasama di kalangan kuasa besar bagi membantu negara-negara membangun, terutamanya di ASEAN, menangani ancaman keselamatan bukan tradisional, termasuk keselamatan maritim.

Seluruh inisiatif dan mekanisme di atas pasti boleh menangani konflik di Laut China Selatan berasaskan senario pertama. Tetapi, adakah inisiatif dan mekanisme yang sama boleh menangani konflik maritim di Laut China Selatan mengikut senario kedua yang membabitkan geopolitik AS di Asia Tenggara dan Asia Timur?

Dalam senario kedua, konflik boleh tercetus di Laut China Selatan jika salah satu negara di Asia Timur bertindak unilateral untuk mengancam keselamatan bekalan petroleum sama ada ke China atau ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Dalam konteks ini, walaupun AS menganggotai ARF dan ADMM Plus yang dihuraikan di atas, dan kedua-dua entiti ini juga turut dianggotai oleh lain-lain kuasa besar dunia, konflik senario kedua ini tetap dijangka mendorong keterlibatan AS selaku adikuasa dunia.

Antara sebabnya, Jepun yang bergantung penuh kepada petroleum serta lain-lain tenaga yang diimport, telah berusaha mendapatkan sokongan ketenteraan AS jika berlaku ancaman terhadap keselamatan pengangkutan petroleum di Laut China Selatan.

Oleh sebab itu, jika konflik maritim di Laut China Selatan berasaskan senario kedua ini terjadi dan gagal ditangani oleh PBB serta lain-lain organisasi serantau, ia mungkin merebak menjadi peperangan yang besar.

Kemungkinan ini tidak mustahil. AS telah membentuk perancangan agung geopolitiknya terhadap China sejak dekad akhir abad ke-20. Ini dimanifestasikan menerusi kajian RAND Corportion oleh Khalilzad et al. (1999), Laporan Project for the New American Century atau PNAC (2000), dan satu lagi kajian RAND Corporation oleh Sokolsky et al.(2001).

Intipatinya, Khalilzad (1999) mencadangkan mobilisasi pasukan tentera AS disesuaikan dengan seluruh kemungkinan di China; PNAC (2000) mengesyorkan AS menukarkan corak mobilisasi tenteranya bagi mencerminkan keprihatinan strategik AS di Asia Timur; Sokolsky (2001) menghuraikan pentingnya perairan utama di Asia Tenggara kepada mobilisasi angkatan tentera AS.

Ini bermakna kajian-kajian di atas ditumpukan khusus kepada China. Menurut Barry (2004) dan Twinning (2007), inilah sebabnya beberapa perakuan penting kajian berkenaan dimaktubkan ke dalam pelbagai dokumen rasmi AS, termasuk strategi keselamatan dan pertahanan AS dalam era pasca-911 (11 September 2001).

Sebahagiannya pula dimaktubkan ke dalam The US National Strategy for Maritime Security (NSMS) 2005 yang disifatkan oleh segolongan panganalisis Barat sebagai strategi utama yang mendukung pelaksanaan perang terorisme AS di Asia Tenggara.

Seluruh strategi keselamatan dan pertahanan AS terhurai di atas, kini menjadi sebahagian paksi kepada dasar luar AS di abad ke-21, terutamanya terhadap Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Tetapi, walaupun secara lahiriahnya strategi dasar luar AS di seluruh wilayah ini hanya dicerminkan menerusi perang terorisme global, secara rencam dan tersirat, strategi ini adalah untuk mencegah rintang apa jua kemungkinan membabitkan Asia Timur, terutamanya mengenai China.

Lantaran itulah tindakan untuk memungkinkan keterlibatan AS berasaskan dalam konflik senario kedua di Laut China Selatan ini sudah bermula sejak Januari 2002 menerusi mobilisasi tentera AS ke Basilan, Selatan Filipina, atas alasan perang terorisme global di Asia Tenggara.

Mulai 2005, AS pula melaksanakan NSMS 2005 yang antara matlamatnya adalah menyelaras serta mengukuhkan angkatan laut AS bagi menghadapi sebarang kemungkinan keselamatan, termasuk konflik maritim yang membabitkan kuasa besar dunia.

Berasaskan huraian di atas, senario kedua ini membayangkan rumitnya konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan di hari-hari mendatang. Ini kerana konflik yang dijangka hanya tercetus akibat pertindihan tuntutan telaga petroleum di perairan berkenaan, sebenarnya boleh jadi lebih serius jika AS masuk campur demi kepentingan geopolitiknya terhadap China di abad ke-21.

Kesimpulannya, konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan boleh tercetus berasaskan dua senario khusus. Oleh sebab itu, walaupun tindakan ARF di Bali baru-baru ini boleh disifatkan sebagai hedging atau tindakan mengimbangkan minat, pengaruh serta kehadiran AS di Laut China Selatan yang kian menonjol, adalah penting bagi ARF mengetengahkan kaedah mengurus serta menyelesaikan kemungkinan konflik di Laut China Selatan ini berasaskan kedua-dua senario ini.

Kaedah ini perlu disegerakan supaya kemungkinan kedua-dua senario di atas jadi semakin minimum dan ASEAN menerusi ARF pula muncul sebagai satu forum serantau yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan serta penyelesaian konflik keselamatan secara multilateral.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan

Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi

dan keselamatan di Universiti Kebangsaan

Malaysia.

Thursday, July 21, 2011

Tuntutan bertindih di Laut China Selatan mungkin cetus konflik

2011/07/21
TAWAU: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan akan berlakunya konflik berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan (LCS).

Beliau berkata konflik itu mungkin akan berlaku dalam tempoh lima tahun atau satu dekad akan datang ekoran berlakunya pertindihan kuasa antara pihak berkepentingan di LCS. "Masalah ini timbul apabila China hadapi masalah dengan Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam, Thailand dan Kemboja (negara-negara yang berkepentingan di Laut China Selatan).
"Peristiwa yang berlaku baru-baru ini (iaitu) apabila kabel untuk cari gali kepunyaan Vietnam telah dipotong oleh Tentera Laut China dan di Filipina mereka telah memulakan untuk mengambil pulau di sana," katanya pada sesi taklimat OP Pandanan And Sipadan Resort (PASIR) di Kem Kukusan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata Persidangan Menteri-menteri Luar Asean di Nusa Dua, Bali, Indonesia, baru-baru ini telah mengenal pasti LCS akan mengalami masalah besar.

"Negara China telah meletakkan beberapa ketumbukan tentera lautnya di pulau-pulau yang bertindih tuntutannya," katanya dan menurutnya China berasakan Laut China Selatan penting bagi negaranya ekoran terdapat sumber asli yang mampu menjana pendapatan bagi republik itu.
"Mereka merasakan LCS (Laut China Selatan) penting kerana difahamkan terdapat hampir 300 bilion tong minyak dan lebih 600 bilion (tong) gas," katanya.

Semalam, pegawai kanan Asean dan China telah mencapai satu kesepakatan yang bersejarah berhubung garis panduan pelaksanaan Deklarasi mengenai Tata Laku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan.

Walaupun masih di peringkat awal, dokumen itu membawa harapan untuk resolusi keamanan bagi tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Terdahulu, Ahamd Zahid memberi taklimat mengenai OP PASIR bagi mendedahkan kepada pengamal media tentang operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam menangani ancaman-ancaman yang berlaku di pulau-pulau sekitar Sabah. - BERNAMA

Tuesday, July 19, 2011

Malaysia sudah gubal Rang Undang-Undang Senjata Kimia: PM

2011/07/19
KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menggubal rang undang-undang senjata kimia yang akan menjadi sebahagian daripada rangka kerja perundangan negara untuk menentukan Konvensyen Senjata Kimia (BWC) dilaksanakan dengan berkesan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin rangka kerja perundangan yang diwujudkan itu akan membantu dalam usaha menjamin satu kaedah yang selamat dalam mengendalikan bahan kimia berbahaya dan pada masa sama, menentukan keperluannya tidak menjejaskan penyelidikan sains kehidupan dan entiti perniagaan di negara ini. Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Kongres Antarabangsa Mengenai Biokeselamatan, Biojaminan dan Biopertahanan di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berkata, kerajaan sedang mendapatkan maklumat balas mengenai cara untuk mempercepatkan pembangunan bioteknologi di negara ini dan pada masa yang sama, menentukan bahawa sebarang kebimbangan mengenai biokeselamatan dan biojaminan, ditangani dan diambil kira.

Ahmad Zahid memberitahu pemberita bahawa Kementerian Pertahanan akan menerajui penggubalan rang undang-undang itu dengan Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

"STRIDE akan mengumpul maklumat daripada beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan mengenai rang undang-undang itu dan akan mendapatkan bantuan Jabatan Peguam Negara," katanya.
Ahmad Zahid berkata, rang undang-undang itu adalah untuk digunapakai di negara ini bagi mengekang penyalahgunaan senjata kimia oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, rang undang-undang itu diharap dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat pertengahan tahun depan. - BERNAMA

Friday, July 1, 2011

Sijil Kelahiran kanak-kanak bukan warganegara warna merah mulai 1 Julai

2011/07/01
PUTRAJAYA: Mulai hari ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan Sijil Kelahiran berwarna Merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara.

Menurut kenyataan JPN di sini hari ini, sebelum ini warna sijil kelahiran kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara adalah sama iaitu hijau. Perbezaan warna itu adalah untuk memaklumkan bahawa sijil kelahiran berwarna hijau hanya dikeluarkan kepada kanak–kanak yang bertaraf warganegara Malaysia sementara sijil kelahiran berwarna merah untuk kanak–kanak bukan warganegara. "Ia juga untuk mengelakkan ibu bapa atau warga asing yang melahirkan anak di negara ini beranggapan bahawa dengan memiliki sijil kelahiran Malaysia, anak-anak mereka adalah secara automatik menjadi warganegara," kata kenyataan itu.

Selain itu ia bertujuan memberi makluman awal kepada ibu bapa akan status kewarganegaraan anak yang dilahirkan; mengelakkan sebarang kekeliruan kepada orang ramai dalam mengenalpasti taraf kewarganegaraan seseorang kanak–kanak; dan memudahkan agensi-agensi lain untuk mengenalpasti taraf kewarganegaraan seseorang kanak–kanak apabila berurusan.

Bagi kanak–kanak bertaraf bukan warganegara yang telah memiliki sijil kelahiran yang berwarna hijau sebelum ini, ia dikekalkan dan hanya berubah apabila pemohon membuat Cabutan Sijil Kelahiran di mana–mana pejabat JPN berhampiran. - BERNAMA