Oleh Ruhanie Ahmad
Pemimpin-pemimpin tertinggi tentera Amerika Syarikat (kiri) dan China (kanan) berdialog di Beijing pada 11 Julai lalu mengenai ketegangan di Laut China Selatan. – afp
Konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan adalah ancaman keselamatan yang sangat dikhuatiri di Asia Tenggara mutakhir ini. Oleh sebab itulah ASEAN sentiasa serius untuk menghindarkan kemungkinannya.
Potensi tercetusnya konflik ini tidak mustahil bila sumber petroleum dunia kian pupus, penggunaan tenaga sejagat – terutamanya di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur – makin meningkat, kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap tenaga import pada tahun 2020 juga kian bertambah, dan punca tenaga alternatif pula terlalu mahal atau gagal memenuhi permintaan.
Lantaran itulah Laut China Selatan dikategorikan sebagai salah satu flashpoint atau kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi yang mungkin mencetuskan konflik maritim berasaskan petroleum di abad ke-21. Ini kerana Laut China Selatan kaya dengan rizab petroleum. Menurut Energy Profile of South China Sea (17 Jun 2008), Laut China Selatan mempunyai rizab minyak ditaksirkan sebanyak 7 bilion tong, dan rizab gas asli sejumlah 2,000 trilion kaki persegi.
Jumlah ini kecil berbanding lain-lain wilayah dunia. Namun rizab petroleum di Laut China Selatan ini adalah strategik kerana ia membabitkan China – pesaing utama AS di abad ke-21 – selaku salah satu pihak yang terlibat dengan tuntutan bertindih ke atas telaga petroleum di perairan tersebut.
Oleh sebab itu, ancaman terjangka atau perceived threat di Laut China Selatan ini boleh tercetus berdasarkan dua senario. Senario pertama berpuncakan tuntutan bertindih. Senario kedua berpuncakan ancaman keselamatan kepada pengangkutan petroleum ke Asia Timur yang melalui Laut China Selatan.
Senario pertama boleh tercetus jika tuntutan bertindih oleh kuasa-kuasa pesisir Laut China Selatan terhadap telaga petroleum – terutamanya di sekitar gugusan Spratly – gagal diselesaikan menerusi diplomasi. Senario ini membabitkan Brunei, China, Indonesia, Filipina, Kemboja, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum menyelesaikan masalah ini. Tetapi, seluruh negara terbabit telah dimestikan olehnya supaya menyelesaikan tuntutan mereka secara damai.
Forum Serantau ASEAN atau ASEAN Regional Forum (ARF) pula makin fokus dalam inisiatif mewujudkan keamanan di Laut China Selatan. Ini dibuktikan menerusi keputusan ARF di Bali baru-baru ini di mana ASEAN dan China menyetujui garis panduan pelaksanaan The Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang diwujudkan sejak 4 November 2002.
Seterusnya, wujud ASEAN Defence Ministers’ Meeting Plus (ADMM Plus) yang dibentuk pada tahun 2010 untuk mewujudkan kerjasama di kalangan kuasa besar bagi membantu negara-negara membangun, terutamanya di ASEAN, menangani ancaman keselamatan bukan tradisional, termasuk keselamatan maritim.
Seluruh inisiatif dan mekanisme di atas pasti boleh menangani konflik di Laut China Selatan berasaskan senario pertama. Tetapi, adakah inisiatif dan mekanisme yang sama boleh menangani konflik maritim di Laut China Selatan mengikut senario kedua yang membabitkan geopolitik AS di Asia Tenggara dan Asia Timur?
Dalam senario kedua, konflik boleh tercetus di Laut China Selatan jika salah satu negara di Asia Timur bertindak unilateral untuk mengancam keselamatan bekalan petroleum sama ada ke China atau ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Dalam konteks ini, walaupun AS menganggotai ARF dan ADMM Plus yang dihuraikan di atas, dan kedua-dua entiti ini juga turut dianggotai oleh lain-lain kuasa besar dunia, konflik senario kedua ini tetap dijangka mendorong keterlibatan AS selaku adikuasa dunia.
Antara sebabnya, Jepun yang bergantung penuh kepada petroleum serta lain-lain tenaga yang diimport, telah berusaha mendapatkan sokongan ketenteraan AS jika berlaku ancaman terhadap keselamatan pengangkutan petroleum di Laut China Selatan.
Oleh sebab itu, jika konflik maritim di Laut China Selatan berasaskan senario kedua ini terjadi dan gagal ditangani oleh PBB serta lain-lain organisasi serantau, ia mungkin merebak menjadi peperangan yang besar.
Kemungkinan ini tidak mustahil. AS telah membentuk perancangan agung geopolitiknya terhadap China sejak dekad akhir abad ke-20. Ini dimanifestasikan menerusi kajian RAND Corportion oleh Khalilzad et al. (1999), Laporan Project for the New American Century atau PNAC (2000), dan satu lagi kajian RAND Corporation oleh Sokolsky et al.(2001).
Intipatinya, Khalilzad (1999) mencadangkan mobilisasi pasukan tentera AS disesuaikan dengan seluruh kemungkinan di China; PNAC (2000) mengesyorkan AS menukarkan corak mobilisasi tenteranya bagi mencerminkan keprihatinan strategik AS di Asia Timur; Sokolsky (2001) menghuraikan pentingnya perairan utama di Asia Tenggara kepada mobilisasi angkatan tentera AS.
Ini bermakna kajian-kajian di atas ditumpukan khusus kepada China. Menurut Barry (2004) dan Twinning (2007), inilah sebabnya beberapa perakuan penting kajian berkenaan dimaktubkan ke dalam pelbagai dokumen rasmi AS, termasuk strategi keselamatan dan pertahanan AS dalam era pasca-911 (11 September 2001).
Sebahagiannya pula dimaktubkan ke dalam The US National Strategy for Maritime Security (NSMS) 2005 yang disifatkan oleh segolongan panganalisis Barat sebagai strategi utama yang mendukung pelaksanaan perang terorisme AS di Asia Tenggara.
Seluruh strategi keselamatan dan pertahanan AS terhurai di atas, kini menjadi sebahagian paksi kepada dasar luar AS di abad ke-21, terutamanya terhadap Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Tetapi, walaupun secara lahiriahnya strategi dasar luar AS di seluruh wilayah ini hanya dicerminkan menerusi perang terorisme global, secara rencam dan tersirat, strategi ini adalah untuk mencegah rintang apa jua kemungkinan membabitkan Asia Timur, terutamanya mengenai China.
Lantaran itulah tindakan untuk memungkinkan keterlibatan AS berasaskan dalam konflik senario kedua di Laut China Selatan ini sudah bermula sejak Januari 2002 menerusi mobilisasi tentera AS ke Basilan, Selatan Filipina, atas alasan perang terorisme global di Asia Tenggara.
Mulai 2005, AS pula melaksanakan NSMS 2005 yang antara matlamatnya adalah menyelaras serta mengukuhkan angkatan laut AS bagi menghadapi sebarang kemungkinan keselamatan, termasuk konflik maritim yang membabitkan kuasa besar dunia.
Berasaskan huraian di atas, senario kedua ini membayangkan rumitnya konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan di hari-hari mendatang. Ini kerana konflik yang dijangka hanya tercetus akibat pertindihan tuntutan telaga petroleum di perairan berkenaan, sebenarnya boleh jadi lebih serius jika AS masuk campur demi kepentingan geopolitiknya terhadap China di abad ke-21.
Kesimpulannya, konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan boleh tercetus berasaskan dua senario khusus. Oleh sebab itu, walaupun tindakan ARF di Bali baru-baru ini boleh disifatkan sebagai hedging atau tindakan mengimbangkan minat, pengaruh serta kehadiran AS di Laut China Selatan yang kian menonjol, adalah penting bagi ARF mengetengahkan kaedah mengurus serta menyelesaikan kemungkinan konflik di Laut China Selatan ini berasaskan kedua-dua senario ini.
Kaedah ini perlu disegerakan supaya kemungkinan kedua-dua senario di atas jadi semakin minimum dan ASEAN menerusi ARF pula muncul sebagai satu forum serantau yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan serta penyelesaian konflik keselamatan secara multilateral.
DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan
Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi
dan keselamatan di Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Tuesday, July 26, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment