2011/07/21
TAWAU: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan akan berlakunya konflik berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan (LCS).
Beliau berkata konflik itu mungkin akan berlaku dalam tempoh lima tahun atau satu dekad akan datang ekoran berlakunya pertindihan kuasa antara pihak berkepentingan di LCS. "Masalah ini timbul apabila China hadapi masalah dengan Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam, Thailand dan Kemboja (negara-negara yang berkepentingan di Laut China Selatan).
"Peristiwa yang berlaku baru-baru ini (iaitu) apabila kabel untuk cari gali kepunyaan Vietnam telah dipotong oleh Tentera Laut China dan di Filipina mereka telah memulakan untuk mengambil pulau di sana," katanya pada sesi taklimat OP Pandanan And Sipadan Resort (PASIR) di Kem Kukusan di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata Persidangan Menteri-menteri Luar Asean di Nusa Dua, Bali, Indonesia, baru-baru ini telah mengenal pasti LCS akan mengalami masalah besar.
"Negara China telah meletakkan beberapa ketumbukan tentera lautnya di pulau-pulau yang bertindih tuntutannya," katanya dan menurutnya China berasakan Laut China Selatan penting bagi negaranya ekoran terdapat sumber asli yang mampu menjana pendapatan bagi republik itu.
"Mereka merasakan LCS (Laut China Selatan) penting kerana difahamkan terdapat hampir 300 bilion tong minyak dan lebih 600 bilion (tong) gas," katanya.
Semalam, pegawai kanan Asean dan China telah mencapai satu kesepakatan yang bersejarah berhubung garis panduan pelaksanaan Deklarasi mengenai Tata Laku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan.
Walaupun masih di peringkat awal, dokumen itu membawa harapan untuk resolusi keamanan bagi tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Terdahulu, Ahamd Zahid memberi taklimat mengenai OP PASIR bagi mendedahkan kepada pengamal media tentang operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam menangani ancaman-ancaman yang berlaku di pulau-pulau sekitar Sabah. - BERNAMA
Thursday, July 21, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment