Wednesday, February 24, 2010

Hukuman mati ke atas lelaki bunuh teman wanita hamil kekal

PUTRAJAYA: Seorang lelaki penganggur gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengenepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana menikam teman wanitanya yang hamil dalam satu insiden amuk, 10 tahun lalu.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Seri James Foong dan Datuk Heliliah Mohd Yusof menetapkan bahawa tidak terdapat arahan yang salah oleh hakim perbicaraan atas kegagalan menimbangkan Seksyen 86 (2) Kanun Kesiksaan.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Adnan Mat Jusoh membantah bahawa Hakim Mahkamah Kota Baharu khilaf kerana tidak menimbangkan pembelaan mabuk mengikut Seksyen 86 (2) dan kemudiannya mengurangkan tuduhan kepada menyebabkan kematian tanpa niat.



Adnan, 46, didapati bersalah membunuh Mastura Kamarul Jamal, 28, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian, Kelantan pada jam 11.30 malam pada 6 Januari, 2000.

Di Mahkamah Tinggi, Adnan dalam pembelaannya berkata beliau mengambil pil kuda dan heroin selepas berbuka puasa dengan Mastura pada hari itu dan tidak ingat apa yang berlaku sehingga dia bangun di hospital.

Jenazah Mastura yang hangus dijumpai berdekatan tangga dan pintu rumah yang telah dibakar oleh Adnan yang dikatakan mengamuk. Kesan tikaman juga ditemui di dada sebelah kirinya yang merosakkan paru-paru sebelah kiri dan jantungnya.

Hasil bedah siasat mendapati Mastura mati disebabkan pendarahan yang berlebihan akibat daripada luka tikaman dan beliau mati sebelum tubuhnya terbakar.

Adnan yang dirawat di wad psikiatri 11 tahun lepas sebelum kejadian itu, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bachek berhujah bahawa tidak terdapat arahan yang salah oleh hakim perbicaraan dalam kes ini dan sabitan ke atas Adnan adalah betul.

Katanya Seksyen 86 (2) tidak terpakai dalam kes Adnan sebaliknya ia termasuk di bawah Seksyen 300 (d) Kanun Prosedur Jenayah di mana elemen pengetahuan tidak mencukupi untuk membuktikan pembunuhan tanpa membuktikan elemen niat. - Bernama

Monday, February 22, 2010

Kes saman Sheila Rusly, rakan kongsi diselesaikan cara baik

KUALA LUMPUR: Kes saman penerbit drama, pelakon dan pengacara, Sheila Rusly terhadap bekas rakan kongsi perniagaan restorannya, Datuk Azlina Che Abdullah berkemungkinan diselesaikan secara baik.

Sheila dan Azlina, seorang ahli perniagaan, hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini selepas Hakim Datuk Lim Yee Lan memerintahkan mereka hadir bagi proses mediatasi dan merekodkan terma-terma penyelesaian.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini.

Sheila, 39, dan Azlina, 44, yang saling berpegangan tangan, masuk ke dalam kamar hakim pada jam 9.30 pagi, dan keluar dari bilik tersebut pada 10.45 pagi.

Bagaimanapun, hanya mereka berdua saja yang masuk ke kamar hakim, manakala peguam Norehan Atan yang mewakili Sheila dan peguam Mohd Firuz Jaffril serta Azahir Nasir yang mewakili Azlina, berada dalam bilik mahkamah.

Selepas pertemuan dengan hakim, Sheila ketika ditemui media, berkata kedua-dua pihak akan cuba menyelesaikan kes saman itu secara baik. - Bernama

Thursday, February 18, 2010

Monopoli gula wujudkan empayar Robert Kuok



Oleh Kunta Kinte

MINGGU lepas Kunta Kinte cakap pasal kapitalis Cina dan India yang jadi kaya raya atas bantuan kerajaan, tapi orang Melayu tak tahu. Orang Melayu ditanam dengan pendapat yang orang Cina pandai berniaga.

Minggu ini Kunta Kinte nak cerita sikit lagi hal tauke Cina yang terkaya di negara kita walaupun dia dah lama tinggalkan Malaysia. Tauke itu adalah Robert Kuok Hock Nien 'Raja Gula'. Dalam kajian tahunan terbaru majalah Malaysian Business (16 Februari), nilai kekayaan beliau adalah RM43 bilion.

Dia dah lama pindah ke Hong Kong. Sejak dua tiga tahun ini pula, dia jual atau tarik keluar banyak pelaburan dia di Malaysia. Anak-anak dan suku sakat dia pun tak lagi rapat dengan Malaysia macam dia atau mendiang bapa dia, Kuok Keng Kang.



Kunta Kinte rasa inilah punca rizab antarabangsa kita jatuh merudum tahun lepas. Syarikat korporat dan kapitalis macam Robert Kuok, YTL, Genting, IOI dan Rimbunan Hijau banyak bawa keluar duit untuk dilabur atau disimpan di luar negara, khasnya Singapura. Tak hairanlah dah tiga empat tahun lebih banyak modal Malaysia pergi ke Singapura daripada modal Singapura datang ke Malaysia.

Dalam masa setahun hingga 15 Jun tahun lepas, simpanan asing kita jatuh RM29.1 bilion daripada RM125.8 bilion kepada RM96.7 bilion kerana pengaliran keluar ini. Empayar Kuok mula kecil-kecilan pada awal abad ke-20 bila Kuok Keng Kang berhijrah dari wilayah Fujian di Negeri China ke Tanah Melayu pada 1909.

Catatan dalam buku mengenai Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time antara lain berbunyi:

"The patriarch was Kuok Keng Kang, also from Foochow, a late immigrant to Johor Bahru, who had to face fierce competition from the dominant Teochews, and who attributed his subsequent success to the help he received from the Malay community. By 1920, Kuok's fortune was already made, and he was among the very few who could afford the new luxury of motorcars."

(Ketua keluarganya adalah Kuok Keng Kang, juga dari Foochow, seorang pendatang baru ke Johor Bharu, yang mendapat persaingan hebat dari puak Teochew. Kuok Keng Kang juga berjaya hasil bantuan yang diterimanya daripada masyarakat Melayu. Menjelang tahun 1920, Kuok Keng Kang sudah pun menjadi kaya raya, dan menjadi antara segelintir orang yang mampu memiliki beberapa buah kereta mewah).

Orang Melayu ni baik dan pelik. Dia tolong semua orang. Kadang-kadang dia tolong orang bangsa lain lebih daripada dia tolong bangsa sendiri. Dengan bangsa sendiri dia kira. Dengan orang bangsa lain dia cincai.

Kuok Keng Kang mula berniaga beras, gula dan tepung gandum di Johor Bahru dengan pertolongan pembesar Melayu. Ada sebuah cerita dalam akhbar The Star tidak lama dulu yang kata pembesar Melayu Johorlah yang tolong sembuhkan Kuok Keng Kang daripada penagihan candu.

Roberk Kuok dan saudara lelakinya, Philips dan William dihantar belajar di sekolah Inggeris. Philips akhirnya jadi diplomat tapi William yang masuk Parti Komunis Malaya ditembak mati oleh Inggeris pada 1952.

Antara kawan sekolah Robert Kuok di Kolej Raffles, Singapura adalah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Lee Kuan Yew.

Robert Kuok sah jadi Raja Gula dengan bantuan kerajaan bila pada 1968 bila dia tubuh syarikat Perlis Plantation Berhad (PPB) bagi menyahut seruan kerajaan mewujudkan industri gula tempatan.

Syarikat itu dibagi tanah di Perlis dan monopoli untuk import, proses dan edar gula sampai tahun lalu bila Kuok jual sahamnya dalam perniagaan gula kepada Felda Global Ventures, anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Dengan keuntungan daripada monopoli gula itulah, Robert Kuok bina empayar perniagaannya di Malaysia yang kemudian berkembang ke Singapura, Hong Kong, Negeri China dan ke seluruh dunia. Kalau pun betul orang Cina pandai berniaga, tapi di Malaysia mereka berjaya dan ramai jadi kaya raya kerana turut dibantu oleh kerajaan.

Kes bunuh 4 sekeluarga dipindah ke Mahkamah Tinggi Seremban

Sumber : Berita Harian - (ruangan Mutakhir)


SEREMBAN-19/2/10: Kes pembunuhan empat sekeluarga di kampung Batang Rotan di Gemencheh dekat sini dipindahkan dari Mahkamah Majistret Tampin dan akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Seremban pada 8 Mac ini.

Hukuman sebat dalam akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah

(Sumber : Berita Harian Online 19/2/10)



SELANGOR

Doktrin palsu (ajaran sesat), mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan diri atau isteri muncikari (bapa ayam), zina, mukadimah zina, persetubuhan bertentangan tabii.







WILAYAH PERSEKUTUAN

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, doktrin palsu, liwat, musahaqah (lesbian).



KELANTAN

Zina, mukadimah zina, liwat, meminum minuman memabukkan.



PERLIS

Meminum minuman yang memabukkan.



PAHANG

Meminum minuman memabukkan, zina, sumbang mahram, zina dengan orang bukan Islam, ajaran salah, suami memaksa, menyokong atau membenarkan isteri melacurkan diri, membuat kenyataan keluar daripada Islam dengan apa-apa tujuan, dakyah atau mengajar agama lain kepada orang Islam.



MELAKA

Perhubungan jenis luar tabii.



SABAH

Zina, melakukan pemujaan, menghina agama Islam, mempermainkan al-Quran dan hadis, ajaran sesat, percubaan murtad, memungkiri pertunangan, mengambil minuman memabukkan.



JOHOR

Doktrin palsu, melakukan perbuatan bertentangan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, liwat, musahaqah.



SARAWAK

Melacur, bapa ayam, zina, lesbian, liwat.



TERENGGANU

Doktrin palsu, perbuatan sumbang mahram, perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri, perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan isteri atau kanak-kanak dalam pemeliharaan, melacurkan isteri atau anak, muncikari, musahaqah.



NEGERI SEMBILAN



Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, mukadimah zina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.



PERAK

Kesalahan perhubungan muabbad (sumbang mahram), Kesalahan perhubungan ghairu muabbad (golongan haram nikah sementara), melacurkan isteri, zina.



PULAU PINANG

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, liwat, musahaqah, doktrin palsu

Wednesday, February 17, 2010

Robert Kuok kekal terkaya di Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Bekas Raja Gula, Robert Kuok Hock Nien terus mengekalkan kedudukan di tempat teratas sebagai orang terkaya di Malaysia apabila nilai kekayaannya meningkat sebanyak RM16.1 bilion kepada RM42.7 bilion.

Tahun lalu, nilai kekayaan Robert Kuok adalah sebanyak RM26.6 bilion.

Tempat kedua dikuasai oleh 'orang kuat' industri telekomunikasi, T. Ananda Krishnan dengan nilai kekayaan berjumlah RM27 bilion manakala tempat ketiga pula jatuh kepada taikun perladangan, IOI Corporation Bhd., Tan Sri Lee Shin Cheng dengan nilai kekayaan sebanyak RM11.92 bilion.

Kaji selidik tersebut dilakukan oleh sebuah majalah tempatan, Malaysian Business bagi terbitan hari ini.

Malaysian Business dalam kenyataannya di sini turut mendedahkan nilai kekayaan 40 orang terkaya Malaysia setakat pada 15 Januari 2010 berjumlah RM156.7 bilion berbanding RM96.3 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu mewakili kenaikan sebanyak 63 peratus.

Katanya, sehingga pertengahan tahun ini, pertambahan nama dalam senarai orang terkaya negara dijangka berlaku sebanyak 50 peratus lagi.

Jelasnya, setakat ini, Malaysia mempunyai 22 orang terkaya, meningkat berbanding pada tahun lalu.

"Nilai kekayaan pada tahun ini secara keseluruhannya menyusut sedikit berbanding 2008, jatuh RM171.9 bilion,'' kata Malaysian Business.

Tokoh perbankan dari Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula berada di kedudukan keempat terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.86 bilion.

Berada di kedudukan kelima terkaya adalah Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.38 bilion, manakala tempat keenam diisi oleh Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group dengan nilai kekayaan RM7.09 bilion.

Usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki tempat ketujuh dengan nilai kekayaan sebanyak RM6 bilion.

Tempat kelapan dikuasai oleh isteri mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, orang kuat syarikat konglomerat hiburan dan perjudian Genting Group, Puan Sri Lee Kim Hua dan tempat kesembilan menjadi milik Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM3.5 bilion.

Menduduki carta ke 10 merupakan tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Dua lagi usahawan bumiputera yang berjaya menempatkan diri dalam senarai orang terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Azman Hashim dari Arab Malaysian Corporation untuk mengisi kedudukan ke-11 dengan nilai kekayaan RM2.86 bilion dan Datuk Mokhzani Mahathir dari Kencana Petroleum pada kedudukan ke-20 dengan nilai kekayaan sebanyak RM1.07 bilion

3 wanita menjalani hukuman sebat mengikut kaedah syarak

17/02/2010 5:43pm



Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 17 Feb. – Di sebalik kontroversi hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, sebenarnya tiga wanita Islam telah selamat menjalani hukuman sebatan mengikut kaedah syarak pada 9 Februari lalu.

Hukuman yang pertama kali dilaksanakan ke atas wanita itu membabitkan antara empat hingga enam sebatan.

Selain itu terdapat empat pesalah lelaki turut dikenakan sebatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Hukuman tersebut dilaksanakan di Penjara Kajang, manakala pesalah wanita di Penjara Wanita Kajang. – Utusan

Thursday, February 11, 2010

Jurulatih menembak dihadap ke mahkamah atas tuduhan bunuh

11/02/2010 2:43pm


KUALA TERENGGANU 11 Feb. – Seorang jurulatih menembak Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu kejadian 1 Februari lepas.

Zamil Ahmad Murat, 49, dituduh membunuh Syed Haikar Iskandar Syed Mahdzar, 34, antara jam 4 hingga 4.30 petang berhampiran kawasan semak belakang rumah Lot 19347, Gong Badak, Belakang Depoh Syarikat Air Terengganu (SATU).

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 12 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Dalam kejadian pada 1 Februari lepas, seorang lelaki ditembak mati oleh jurulatih menembak MSN itu ketika cuba memecah masuk ke rumahnya melalui pintu belakang.

Jurulatih terbabit yang ketika itu berada di pusat latihan menembak pulang ke rumahnya setelah dihubungi isterinya yang memaklumkan ternampak kelibat lelaki cuba memecah masuk ke rumah mereka. – Bernama

Isu ”Allah”: Raja-raja Melayu ambil maklum permintaan

11/02/2010 3:37pm


KUALA LUMPUR 11 Feb. – Raja-raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-220 yang berlangsung semalam dan hari ini, mengambil maklum mengenai pelbagai permintaan, surat dan memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu Islam di negara ini, yang menzahirkan rasa dukacita mereka tentang penterjemahan perkataan ”God” kepada ”Allah”.

Menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini, penterjemahan itu telah banyak menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam.

"Isu ini jika tidak ditangani dengan segera akan menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini dan Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa kepada raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri di negara ini.

"Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum-kaum lain.

”Raja-raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam,” kata kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu juga berpandangan sebarang perbuatan yang merosakkan rumah ibadat adalah perbuatan provokatif yang amat membahayakan dan tidak harus dibenarkan sama sekali berlaku.

"Perbuatan-perbuatan khianat yang didorong oleh emosi wajib dihentikan kerana ia tidak direstui malah ditegah daripada dilakukan oleh semua agama.

"Perbuatan tersebut adalah perbuatan jenayah yang perlu dibendung secara tegas dan segera,” kata kenyataan itu. – Bernama

Tuesday, February 9, 2010

Pemuda didakwa bunuh bapa

KUALA TERENGGANU 8 Feb. - Peristiwa seorang bapa yang mati akibat ditikam anaknya sendiri setelah mangsa cuba menyelamatkan seorang lagi anak lelakinya, telah mengheret pemuda itu ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh.

Shahrul Azmi Che Mat (gambar), 20, didakwa membunuh Che Mat Nik, 51, di rumah bernombor 3635 di Kampung Pulau Duyung Besar, Duyung, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 3 Februari lalu.

Dia yang bekerja sebagai pembaiki bot didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan, Shahrul Azmi kelihatan terpinga-pinga sehingga menyebabkan jurubahasa terpaksa mengulangi soalannya sama ada tertuduh benar-benar faham mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad yang mengendalikan pendakwaan terdahulunya memohon tempoh dua bulan sebelum kes disebut semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia berhubung kejadian itu.

Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan 6 April ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Berdasarkan laporan akhbar, tertuduh dikatakan mendengar 'bisikan' sebelum bertindak menikam abangnya, Irwan Affandi, 30, ketika sedang tidur dengan sebilah pisau ala rambo sebelum senjata itu cuba dirampas bapanya.

Bagaimanapun ketika warga emas itu cuba merampas senjata tersebut, tertuduh bertindak menikam bapanya menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di perut.