Wednesday, February 24, 2010

Hukuman mati ke atas lelaki bunuh teman wanita hamil kekal

PUTRAJAYA: Seorang lelaki penganggur gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengenepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana menikam teman wanitanya yang hamil dalam satu insiden amuk, 10 tahun lalu.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Seri James Foong dan Datuk Heliliah Mohd Yusof menetapkan bahawa tidak terdapat arahan yang salah oleh hakim perbicaraan atas kegagalan menimbangkan Seksyen 86 (2) Kanun Kesiksaan.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Adnan Mat Jusoh membantah bahawa Hakim Mahkamah Kota Baharu khilaf kerana tidak menimbangkan pembelaan mabuk mengikut Seksyen 86 (2) dan kemudiannya mengurangkan tuduhan kepada menyebabkan kematian tanpa niat.



Adnan, 46, didapati bersalah membunuh Mastura Kamarul Jamal, 28, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian, Kelantan pada jam 11.30 malam pada 6 Januari, 2000.

Di Mahkamah Tinggi, Adnan dalam pembelaannya berkata beliau mengambil pil kuda dan heroin selepas berbuka puasa dengan Mastura pada hari itu dan tidak ingat apa yang berlaku sehingga dia bangun di hospital.

Jenazah Mastura yang hangus dijumpai berdekatan tangga dan pintu rumah yang telah dibakar oleh Adnan yang dikatakan mengamuk. Kesan tikaman juga ditemui di dada sebelah kirinya yang merosakkan paru-paru sebelah kiri dan jantungnya.

Hasil bedah siasat mendapati Mastura mati disebabkan pendarahan yang berlebihan akibat daripada luka tikaman dan beliau mati sebelum tubuhnya terbakar.

Adnan yang dirawat di wad psikiatri 11 tahun lepas sebelum kejadian itu, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bachek berhujah bahawa tidak terdapat arahan yang salah oleh hakim perbicaraan dalam kes ini dan sabitan ke atas Adnan adalah betul.

Katanya Seksyen 86 (2) tidak terpakai dalam kes Adnan sebaliknya ia termasuk di bawah Seksyen 300 (d) Kanun Prosedur Jenayah di mana elemen pengetahuan tidak mencukupi untuk membuktikan pembunuhan tanpa membuktikan elemen niat. - Bernama

No comments: