Wednesday, January 6, 2010

Perkemas Perlembagaan Persekutuan elak Islam dicabar lagi

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 11 perlu diperkemaskan bagi menutup ruang-ruang teknikal, agar kesucian Islam tidak lagi boleh dicabar pada masa depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu perlu kerana pada masa ini terdapat ruang teknikal pada Perkara 11 yang boleh dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.

"Memperkemaskan Perlembagaan Persekutuan adalah satu cadangan yang baik dan perlukan penelitian.

"Langkah berkenaan boleh mengelak pihak-pihak tertentu membuat tafsiran tersendiri dan seterusnya mencabar kesucian Islam di mahkamah," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Azizan Ariffin.

Beliau diminta mengulas cadangan agar Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 11 diperkemas bagi mengelakkan agama Islam sebagai agama rasmi terus diperkotak-katik melalui saluran perundangan.

Cadangan itu dibuat rentetan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Herald - The Catholic Weekly, akhbar mingguan Geraja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun berkata, cadangan untuk memperkemaskan semula Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

"Perkara ini boleh dilaksanakan jika mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat kerana kita tidak mahu agama Islam dicabar dan begitu juga perkara-perkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Ketika diminta mengulas ketetapan UMNO berhubung keputusan mahkamah tersebut, Ahmad Zahid berkata, UMNO berpegang kepada fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu kalimah Allah hanya untuk agama Islam.

Katanya, walaupun di negara Indonesia dan Mesir, penggunaan kalimah Allah dibenarkan untuk penganut agama lain, situasi di negara terbabit tidak sama dengan persekitaran sosial negara ini.

"Ketetapan ini bukan bermaksud kita (UMNO) tidak menghormati keputusan mahkamah tetapi oleh kerana pihak Gereja Katolik membawa perkara ini ke mahkamah, maka kerajaan perlu menggunakan saluran yang sama untuk membuat rayuan," jelasnya.

Ditanya mengenai pendirian MCA yang menyokong keputusan mahkamah, Ahmad Zahid memberitahu, ia hak parti tersebut dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyekat kebebasan parti komponennya untuk menyuarakan pendirian masing-masing.

Namun, ujarnya, kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu itu.

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh umat Islam negara ini memberi kepercayaan dan ruang kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut berkenaan

No comments: