Thursday, January 21, 2010

Peguam wanita dipenjara kerana hina mahkamah

KUALA LUMPUR- 21 Jan 2010: Seorang peguam kanan wanita berusia 64 tahun dikenakan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas kesalahan menghina mahkamah dalam percubaan menjual sebidang tanah milik keluarganya bernilai RM6 juta.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, bagaimanapun, membenarkan permohonan peguam bela Datuk Harpal Singh Grewal untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap N Mahadevi sementara menunggu rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan Mahadevi diikat jamin sebanyak RM50,000 oleh seorang penjamin.



Prosiding menghina mahkamah itu dimulakan kakaknya, N Vijayalakshmi Devi selepas Mahadevi menerima bayaran deposit berjumlah RM180,000 dari seorang pembeli walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi ‘mareva’ pada 15 Mac 2007, menghalang dia daripada menjual sebarang aset termasuk sebidang tanah di Gombak, Selangor.

Dalam notis usul yang difailkan pada 18 Mac 2009, Vijayalakshmi memohon kepada mahkamah supaya mensabitkan adiknya atas kesalahan menghina mahkamah kerana didakwa melanggar perintah injunksi itu.

Pada 17 Mac 2007, Mahkamah Rayuan mengesahkan perintah Mahkamah Tinggi dengan persetujuan oleh kedua-dua pihak itu.

Dalam notis itu, Vijayalakshmi, 73, mendakwa Mahadevi melanggar terma pada perintah injunksi termasuk menerima deposit sebanyak tiga peratus daripada nilai tanah berjumlah RM6 juta itu.

Katanya, menerusi carian fail tanah di Pejabat Tanah Gombak mendapati Mahadevi pada 4 Januari 2008 bersetuju menjual tanah berkenaan kepada Khor Swee Wah @ Koh Bee Leng pada harga RM6 juta dan menerima deposit sebanyak RM180,000.

Vijayalakshmi berkata, tindakan adiknya itu jelas menunjukkan bahawa dia tidak berniat untuk mematuhi perintah mahkamah.

Katanya, tindakan Mahadevi untuk menjual aset itu telah menjadikan perintah injunksi itu sia-sia saja.

Dalam afidavit menyokong permohonannya, Vijayalakshmi menyatakan tindakan Mahadevi itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

Peguam Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili Vijayalakshmi, berkata Mahadevi telah disabitkan sebanyak tiga kali sebelum ini atas tuduhan menghina mahkamah terhadap perebutan hartanah dengan adik-beradiknya.

Katanya, Mahadevi telah menjalani hukuman 28 hari daripada hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Ogos lalu. Dia dibebaskan atas ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

“Dalam dua lagi kejadian, dia didenda RM15,000 dan RM50,000,” katanya.

Ketika meminta hukuman ringan, Harpal memohon mahkamah supaya mengambil kira faktor usia dan keadaan kesihatan anak guamnya itu, dengan menyatakan ia tidak akan mencapai sebarang hasil dengan mengenakan hukuman penjara.

Menurutnya, pada hakikatnya, Mahadevi telah memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk menjual tanah berkenaan tetapi permintaannya ditolak. - Bernama

No comments: