Saturday, January 23, 2010

Pendekatan baru RMK-10

Oleh Mior Kamarul Shahid

Harapan membawa rahmat kepada masa depan rakyat, negara

PERTENGAHAN tahun ini akan bermulanya Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), juga menandakan tirai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), yang genap tamat tempoh lima tahunnya pada 31 Mac ini, dilabuhkan. Ramai pihak menunggu pelancaran RMK-10 ini dengan harapan akan membawa rahmat baru kepada masa depan mereka, keluarga dan negara. Bagi golongan peniaga, mereka mengharapkan akan ada banyak projek pembangunan yang boleh mereka sertai. Jika menerusi RMK-9, mereka melihat 880 projek pembangunan disenaraikan dengan kos RM15 bilion, tentulah harapan mereka menggunung. Jumlah itu adalah sebahagian daripada program dan projek bernilai RM220 bilion yang dilaksanakan kerajaan mengikut inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dalam tempoh 2005-2010.

Jumlah peruntukan RMK-10 belum diketahui. Biasanya, dalam keadaan hari ini pihak yang terbabit terutama di Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang sibuk merangka dan menentukan perancangan berkenaan. Ada pihak yang meramalkan pendekatan RMK-10 amat berbeza dengan rancangan pembangunan lima tahun sebelum ini. Model ekonomi baru yang akan diumumkan bulan depan akan mempengaruhi pergerakan dan percaturan RMK-10. Jika setiap kali rancangan lima tahun kerajaan berbelanja besar untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan, apa yang 'dilaburkan' sejak 50 tahun lalu, sudah menunjukkan hasil. Jumlah peruntukan besar yang dibelanjakan bermula daripada RMK-1 hingga ke rancangan lima tahun berikutnya dan terakhir RMK-9, tidak boleh disamakan dengan RMK-10. Ini kerana suasana ekonomi dunia sudah berubah, perdagangan antarabangsa juga menunjukkan persaingan sengit, penggunaan teknologi yang begitu pesat, kemudahan prasarana yang sudah lengkap, pemikiran rakyat juga sudah meningkat dan sebagainya.



Berasaskan kepada senario ini, seandainya bajet yang disediakan untuk tempoh lima tahun akan tidak sebesar yang diharap, ia mempunyai kewajarannya. Dalam tempoh sembilan rancangan lima tahun terdahulu, kerajaan memang membelanjakan wang yang besar untuk pembangunan fizikal dan projek kesejahteraan rakyat. Dalam tempoh berkenaan, negara pesat membangun khasnya ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawat jawatan Perdana Menteri. Sejak bekas Perdana Menteri khasnya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir, muka bumi dan persekitaran negara ini berubah wajah. Dari Utara ke Selatan dan dari Timur ke Barat sudah direntasi dengan lebuh raya bertaraf dunia seterusnya menggerakkan pengaliran ekonomi. Untuk pembinaan lebuh raya, RMK-10 tidak perlu menyediakan peruntukan yang besar, melainkan menyediakan bajet yang sederhana untuk tujuan menambah baik atau penyelenggaraan. Selagi negara, rakyat dan keperluan ekonomi tidak memerlukan satu lagi lebuh raya yang sudah tentunya kos pembinaannya lebih mahal, kerajaan boleh menggunakan wang untuk tujuan lain. Dari segi sektor pengangkutan, segala kemudahan sudah tersedia dari stesen teksi hinggalah kepada kemudahan pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa. Pimpinan yang lalu bukan saja memikirkan apa yang sepatutnya mereka lakukan, malah ia memudahkan laluan kepada pemimpin hari ini kerana sebahagian daripada tugas mereka sudah pun dibereskan oleh pimpinan terdahulu. Dalam bidang pendidikan, di setiap ceruk rantau di negara ini sudah ada sekolah rendah, malah di setiap daerah, sekurang-kurangnya sudah ada sebuah sekolah menengah. Setiap negeri juga sudah mempunyai universiti atau cawangan universiti dengan bangunan tersergam indah. Jika sakit, setiap daerah sudah mempunyai hospital atau klinik kerajaan dan sekarang pula klinik IMalaysia yang hanya mengenakan bayaran RM1. Bekalan elektrik dan air sudah tidak menjadi isu, selepas segala-galanya dilaksanakan tahap demi tahap sejak beberapa rancangan pembangunan yang lalu. Sudah sampai masanya kerajaan melihat semula kejayaan dan kegagalan semua program dan perancangan sembilan rancangan pembangunan yang lalu dan menjadikan RMK-10 sebagai asas perancangan yang lebih berkesan.

Setelah meneliti ucapan Bajet 2010, bajet pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau mempunyai idea sendiri mengenai cara mana mahu melaksanakan RMK-10 yang akan menjadi legasi kepada pentadbirannya kelak. Jika Bajet 2010 dijadikan asas RMK-10, Najib akan memberi tekanan mengenai transformasi besar berasas proses inovasi yang menyeluruh bagi menggerakkan. model ekonomi yang akan diusahakannya.

Berasaskan kepada mesej perutusan khas sempena Tahun Baru 2010, Najib cuba memberi gambaran bahawa masa depan Malaysia yang lebih cemerlang terletak kepada penggabungan serta pemupukan idea, bakat, inisiatif dan semangat seluruh rakyat tanpa mengenal batas dan latar belakang. Wang dan peruntukan yang besar semata-mata bukanlah segala-galanya. Wang tanpa kemampuan kreativiti dan inovasi, tidak memberi impak yang besar.

Setelah sembilan rancangan pembangunan lima tahun berlalu, sudah banyak pengalaman dipelajari daripada kejayaan dan kesilapan lalu. Jika banyak projek yang tergendala, kerajaan seharus berani menghukum yang tidak berkebolehan dan bersedia memberi ganjaran besar kepada yang bekerja kuat, tekun dan kreatif. Rancangan pembangunan negara bukan sekadar soal projek dan tender tetapi ia adalah mengenai pertumbuhan ekonomi khasnya untuk mencapai matlamat negara maju dan Wawasan 2020.

Thursday, January 21, 2010

Peguam wanita dipenjara kerana hina mahkamah

KUALA LUMPUR- 21 Jan 2010: Seorang peguam kanan wanita berusia 64 tahun dikenakan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas kesalahan menghina mahkamah dalam percubaan menjual sebidang tanah milik keluarganya bernilai RM6 juta.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, bagaimanapun, membenarkan permohonan peguam bela Datuk Harpal Singh Grewal untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap N Mahadevi sementara menunggu rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan Mahadevi diikat jamin sebanyak RM50,000 oleh seorang penjamin.



Prosiding menghina mahkamah itu dimulakan kakaknya, N Vijayalakshmi Devi selepas Mahadevi menerima bayaran deposit berjumlah RM180,000 dari seorang pembeli walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi ‘mareva’ pada 15 Mac 2007, menghalang dia daripada menjual sebarang aset termasuk sebidang tanah di Gombak, Selangor.

Dalam notis usul yang difailkan pada 18 Mac 2009, Vijayalakshmi memohon kepada mahkamah supaya mensabitkan adiknya atas kesalahan menghina mahkamah kerana didakwa melanggar perintah injunksi itu.

Pada 17 Mac 2007, Mahkamah Rayuan mengesahkan perintah Mahkamah Tinggi dengan persetujuan oleh kedua-dua pihak itu.

Dalam notis itu, Vijayalakshmi, 73, mendakwa Mahadevi melanggar terma pada perintah injunksi termasuk menerima deposit sebanyak tiga peratus daripada nilai tanah berjumlah RM6 juta itu.

Katanya, menerusi carian fail tanah di Pejabat Tanah Gombak mendapati Mahadevi pada 4 Januari 2008 bersetuju menjual tanah berkenaan kepada Khor Swee Wah @ Koh Bee Leng pada harga RM6 juta dan menerima deposit sebanyak RM180,000.

Vijayalakshmi berkata, tindakan adiknya itu jelas menunjukkan bahawa dia tidak berniat untuk mematuhi perintah mahkamah.

Katanya, tindakan Mahadevi untuk menjual aset itu telah menjadikan perintah injunksi itu sia-sia saja.

Dalam afidavit menyokong permohonannya, Vijayalakshmi menyatakan tindakan Mahadevi itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

Peguam Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili Vijayalakshmi, berkata Mahadevi telah disabitkan sebanyak tiga kali sebelum ini atas tuduhan menghina mahkamah terhadap perebutan hartanah dengan adik-beradiknya.

Katanya, Mahadevi telah menjalani hukuman 28 hari daripada hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Ogos lalu. Dia dibebaskan atas ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

“Dalam dua lagi kejadian, dia didenda RM15,000 dan RM50,000,” katanya.

Ketika meminta hukuman ringan, Harpal memohon mahkamah supaya mengambil kira faktor usia dan keadaan kesihatan anak guamnya itu, dengan menyatakan ia tidak akan mencapai sebarang hasil dengan mengenakan hukuman penjara.

Menurutnya, pada hakikatnya, Mahadevi telah memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk menjual tanah berkenaan tetapi permintaannya ditolak. - Bernama

Monday, January 18, 2010

Rashidi didakwa bunuh 4 ahli keluarga

SEREMBAN- 19 Januari 2010: Bekas pegawai bank, Rashidi Ismail, 34, pagi ini didakwa di Mahkamah Majistret Rembau dekat sini atas empat pertuduhan membunuh ahli keluarganya di Gemencheh, awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan.

Kes akan disebut semula pada 19 Februari depan di Mahkamah Tinggi Tampin

Friday, January 8, 2010

Mahkamah malam

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 7 Jan 2010 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan berjumpa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi untuk mewujudkan mahkamah malam bagi membicarakan kes-kes jenayah jalanan.

Hishammuddin berkata, kaedah itu adalah strategi untuk mempercepatkan proses perbicaraan dan memastikan suspek kes jenayah tidak mengulangi kesalahan mereka semasa menunggu perbicaraan.

Menurutnya, perbincangan juga akan dijalankan dengan Jabatan Peguam Negara untuk memastikan proses pendakwaan dapat dijalankan dengan lancar.

‘‘Kita tidak mahu lagi berlaku setelah peragut ditangkap polis, tetapi kita menghadapi masalah kekurangan pendakwa atau mahkamah tiada masa untuk mendengar kes sehingga menyebabkan perbicaraan ditangguh sehingga setahun.

‘‘Keadaan ini mungkin menyebabkan peragut itu diikat jamin dan melakukan jenayah ragut lain dalam tempoh masa menunggu perbicaraan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, dua inisiatif pencegahan jenayah lain yang akan dilaksanakan termasuk pengenalan polis peronda motosikal dan balai polis bergerak.

‘‘Balai bergerak pertama akan mula beroperasi pada Februari dan kesemua 50 balai bergerak akan diumumkan menjelang Jun ini.

‘‘Pasukan rondaan motosikal pula akan membuat rondaan secara berpasangan untuk sampai ke lokasi dengan cepat,” katanya.

Mengenai 400,000 keping MyKad yang belum dituntut, Hishammuddin berkata, anggota Rela mungkin boleh memainkan peranan untuk mencari pemohon yang belum mengambil kad masing-masing.

‘‘Daripada mendenda, lebih baik jika Rela mencari pemohon berkenaan kerana terdapat pemohon yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.


TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
• Mahkamah malam
• PM lancar Klinik 1Malaysia
• Pelaksanaan bajet terpantas – PM
• Majlis Peguam: Penggunaan kalimah Allah mampu diselesaikan

Wednesday, January 6, 2010

Perkemas Perlembagaan Persekutuan elak Islam dicabar lagi

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 11 perlu diperkemaskan bagi menutup ruang-ruang teknikal, agar kesucian Islam tidak lagi boleh dicabar pada masa depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu perlu kerana pada masa ini terdapat ruang teknikal pada Perkara 11 yang boleh dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.

"Memperkemaskan Perlembagaan Persekutuan adalah satu cadangan yang baik dan perlukan penelitian.

"Langkah berkenaan boleh mengelak pihak-pihak tertentu membuat tafsiran tersendiri dan seterusnya mencabar kesucian Islam di mahkamah," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Azizan Ariffin.

Beliau diminta mengulas cadangan agar Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 11 diperkemas bagi mengelakkan agama Islam sebagai agama rasmi terus diperkotak-katik melalui saluran perundangan.

Cadangan itu dibuat rentetan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Herald - The Catholic Weekly, akhbar mingguan Geraja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun berkata, cadangan untuk memperkemaskan semula Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

"Perkara ini boleh dilaksanakan jika mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat kerana kita tidak mahu agama Islam dicabar dan begitu juga perkara-perkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Ketika diminta mengulas ketetapan UMNO berhubung keputusan mahkamah tersebut, Ahmad Zahid berkata, UMNO berpegang kepada fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu kalimah Allah hanya untuk agama Islam.

Katanya, walaupun di negara Indonesia dan Mesir, penggunaan kalimah Allah dibenarkan untuk penganut agama lain, situasi di negara terbabit tidak sama dengan persekitaran sosial negara ini.

"Ketetapan ini bukan bermaksud kita (UMNO) tidak menghormati keputusan mahkamah tetapi oleh kerana pihak Gereja Katolik membawa perkara ini ke mahkamah, maka kerajaan perlu menggunakan saluran yang sama untuk membuat rayuan," jelasnya.

Ditanya mengenai pendirian MCA yang menyokong keputusan mahkamah, Ahmad Zahid memberitahu, ia hak parti tersebut dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyekat kebebasan parti komponennya untuk menyuarakan pendirian masing-masing.

Namun, ujarnya, kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu itu.

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh umat Islam negara ini memberi kepercayaan dan ruang kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut berkenaan