Thursday, February 16, 2012

Dua bekas pengurus besar kanan TH dibebaskan: Mahkamah Rayuan

2012/02/16
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan dua bekas pengurus besar kanan Tabung Haji (TH) yang dihukum penjara 10 tahun atas kesalahan pecah amanah dan menipu membabitkan wang RM200 juta institusi itu, 10 tahun lalu. Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara membenarkan rayuan terakhir Datuk Mohd Amin Sidek dan Datuk Mohammad Shafie bagi mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. Sebaik saja penghakiman, Mohd Amin, 60 dan Mohammad, 62, tidak dapat menahan perasaan sebak dan berpelukan. Selepas itu, mereka memeluk ahli keluarga, rakan-rakan dari TH dan jiran masing-masing yang berada di mahkamah sejak pagi tadi. "Saya sangat bersyukur dan berterima kasih pada keluarga dan kawan-kawan dari Tabung Haji yang banyak memberikan sokongan kepada saya, juga terima kasih kepada peguam-peguam saya," kata Mohammad dalam nada yang sebak. Beliau berkata, selama 10 tahun menunggu kes itu selesai, akhirnya keputusan yang dinanti itu amat menggembirakannya sambil menyifatkan badan kehakiman negara ini adil dan telus. Mohd Amin pula berkata beliau amat bersyukur dengan keputusan itu dan percaya kebenaran akan tetap dibuktikan. "Daripada awal lagi saya menjangkakan keputusan ini kerana saya tahu saya tidak bersalah," katanya. Kedua-dua mereka diwakili oleh peguam, Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Sulaiman Abdullah dan Zamani Ibrahim. Hakim Ramly ketika membacakan keputusan itu berkata setelah meneliti hujahan dan semua fakta, mahkamah mendapati pelaburan asing membabitkan wang TH itu didedahkan dalam kertas cadangan yang dimajukan kepada menteri yang berkenaan. Katanya, penemuan fakta berkaitan pelaburan asing yang bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan itu menyebabkan pertuduhan menipu tidak boleh dipertahankan. Ramly berkata, Hakim Bicara (Hakim Mahkamah Sesyen) telah tersilap arah ketika membuat keputusan mensabitkan mereka terhadap pertuduhan pecah amanah kerana tiada elemen niat ketidakjujuran. Beliau berkata, tiada isu penyembunyian fakta mengenai pelaburan asing perlu mendapat kelulusan menteri kerana keterangan daripada saksi pendakwaan dalam keterangan berkata, pelaburan jangka pendek itu tidak memerlukan kelulusan menteri. Ramly berkata, keterangan itu menimbulkan keterangan yang munasabah pada perayu (Mohd Amin dan Mohammad) berhubung elemen ketidakjujuran. "Oleh itu sabitan dan hukuman tidak selamat untuk dipertahankan. Dengan ini rayuan perayu dibenarkan, sabitan dan hukuman diketepikan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan," katanya. Mohd Amin, bekas pengurus besar kanan (kewangan) dan Mohammad, bekas pengurus besar kanan (pelaburan), masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 tahun Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari 2007, selepas mendapati mereka bersalah melakukan pecah amanah wang TH. Bagi tuduhan melakukan pecah amanah, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di ibu negara di antara 14 Julai 2000 dan 11 Mei 2001. Kedua-dua bekas pegawai kanan itu turut dihukum penjara enam tahun setiap seorang atas dua kesalahan menipu dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kelulusan pelaburan dana itu. Mereka dituduh bersama-sama menipu Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di JPM Putrajaya antara 29 Jun 2000 dan 27 Julai 2001. Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak. - BERNAMA

Friday, February 10, 2012

Kes Altantuya: Azilah belum fail petisyen rayuan

2012/02/10 PUTRAJAYA: Tarikh pendengaran rayuan dua pegawai polis yang disabitkan kesalahan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu masih belum ditetapkan berikutan seorang daripada mereka iaitu Cif Insp Azilah Hadri masih belum memfailkan petisyen rayuannya. Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Kanageswari Nalliah menetapkan 9 Mac untuk tarikh pengurusan kes akan datang bagi membolehkan peguam yang mewakili Azilah mendapatkan semua rekod rayuan dan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya memfailkan petisyen rayuan. Peguam yang mewakili Azilah, J. Kuldeep Kumar berkata petisyen rayuan tidak dapat difailkan kerana beliau hanya menerima 40 jilid daripada 57 jilid dokumen itu. Katanya ini kerana mahkamah telah menghantar dokumen itu kepada Azilah di penjara. Kuldeep Kumar berkata dokumen itu kemudiannya dihantar kepadanya secara berperingkat dalam tempoh enam bulan lalu dan menurutnya beliau akan mendapatkan baki 17 jilid lagi dokumen itu daripada mahkamah. Sementara itu, peguam Kitson Foong yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar berkata tarikh pendengaran itu akan hanya ditetapkan oleh mahkamah untuk mendengar rayuan itu apabila semua dokumen dikemukakan di mahkamah. Katanya petisyen rayuan untuk Sirul Azhar telah difailkan dan beliau sedang menimbangkan untuk memfailkan alasan rayuan tambahan. Kitson dan peguam Lim Kon Keen mewakili Sirul Azhar. Timbalan Pendakwa Raya Devinderjit Kaur mewakili pihak pendakwaan. Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April, 2009, selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam pada 18 Oktober, 2006, dan 9.45 malam hari berikutnya. Perbicaraan kes mereka berlangsung selama 159 hari. Kedua-dua mereka yang juga anggota komando Unit Tindakan Khas polis, kemudiannya memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan. Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dituduh bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan wanita Mongolia itu. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober, 2008, tanpa dipanggil membela diri. Azilah dan Sirul memberikan keterangan dalam pembelaan mereka, dengan Azilah memberikan keterangan dari kandang saksi manakala Sirul dari kandang tertuduh. Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mendapati pembelaan oleh kedua-dua mereka hanya berupa "penafian dan saling menyalahkan sesama sendiri". - BERNAMA

Thursday, February 2, 2012

Saman pemula 4 beranak pohon isytihar murtad dibicarakan

02/02/2012 6:09pm Oleh NORLIZAH ABAS PUTRAJAYA 2 Feb. – Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan saman pemula empat beranak keturunan India Muslim bagi mendapat perisytiharan bahawa mereka bukan lagi beragama Islam, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan. Zaina Abidin Hamid @ S. Maniam, 60, dan tiga anaknya iaitu Surindran a/l Zaina Abidin, Mohanasubash a/l Zaina Abidin dan Chandrika a/p Zaina Abidin memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon perisytiharan bahawa mereka telah murtad selepas mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif sebulat suara mengembalikan saman pemula itu ke Mahkamah Tinggi tanpa mendengar lima persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh empat beranak itu. Antara persoalan itu - sama ada ibu bapa bagi anak-anak yang berusia di bawah 18 tahun berhak menentukan agama anak masing-masing menurut Perkara 11 dan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah berpuas hati bahawa permohonan mereka bagi merujuk isu undang-undang tidak sesuai dikemukakan pada peringkat itu kerana masih terdapat pertikaian berhubung fakta dalam saman pemula itu. Turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Datuk Hashim Yusof; Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar; dan Hakim Datuk Hasan Lah. Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Zaina Abidin dan anak-anaknya merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan. - UTUSAN

Inkues: Koroner lawat lokasi kematian Baharudin

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Inkues_KoronerlawatlokasikematianBaharudin/Article 2012/02/02 KUALA LUMPUR: Koroner Zulkpli Abdullah yang mendengar inkues kematian Baharudin Ahmad hari ini melawat lokasi kejadian di bangunan Avenue K di Jalan Ampang di sini, tempat di mana pemandu teksi itu ditemui mati dalam keadaan duduk melunjur ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lalu. Zulkpli tiba di lokasi pada jam 4.50 petang dengan diiringi Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Saleh, Ahmad Ishrakh Saad dan Mohamed Shah Reza Nor Azman serta peguam, Ahmad Jufliz Faiza dan Chan Chew Weng yang mewakili keluarga allahyarham Baharudin dan beberapa anggota polis. Terdahulu, Ahmad Ishraq memohon kepada Zulkpli supaya mahkamah membuat lawatan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan pemahaman yang lebih serta gambaran jelas berkenaan keadaan sebenar ketika Baharudin ditemui di Avenue K. Di lokasi kejadian, saksi ke-10 pendakwaan iaitu Penjaga Bangunan Silahuddin Salim, 45, menunjukkan kepada koroner kedudukan dan keadaan Baharudin yang ditemuinya terduduk dalam jarak 152 sentimeter dari pintu pagar besi yang tidak ditutup sepenuhnya ketika hari kejadian. Sementara itu, ketika prosiding inkues di mahkamah Silahuddin turut memberitahu bahawa beliau nampak Baharudin terduduk melunjur (berbentuk L) di tengah-tengah bangunan ketika berdiri di tepi pintu pagar besi terbabit. "Ketika itu ramai yang lari memasuki bangunan Avenue K, dalam ramai-ramai itu saya nampak seorang lelaki duduk melunjur, badannya berpeluh serta matanya memandang ke atas.... selepas itu seorang wanita menjerit meminta tolong," katanya ketika ditanya Kalmizah ketika pemeriksaan utama. Silahuddin turut memaklumkan pada hari kejadian, beliau bekerja shif petang bermula dari 3 petang hingga 12 malam dan menurutnya, pada jam lebih kurang 4 petang, beliau melihat ramai orang cuba melarikan diri dengan memasuki bangunan tersebut dan tidak pasti mengapa mereka berbuat demikian. Silahuddin berkata, sebelum itu beliau sempat mengarahkan pengawal keselamatan Avenue K untuk menyimpan penanda besi tempat meletak kereta di depan bangunan tersebut bagi mengelakkan alat terbabit digunakan oleh peserta perhimpunan haram. Katanya, terdapat tiga pintu besi, hanya dua daripadanya ditutup sepenuhnya manakala terdapat satu pintu satu lagi yang tidak ditutup sepenuhnya. Dalam pada itu, pegawai polis, Inspektor Mohd Alamshah Gulam, 30, memaklumkan bahawa tiada sebarang gas pemedih mata dilepaskan ketika bertugas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) disebabkan peserta perhimpunan itu memberikan kerjasama dengan bersurai. Pengawai dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kelantan itu berkata, pada 9 Julai 2011, keadaan di sekitar Avenue K dipenuhi ramai orang dengan anggaran 4,000 hingga 5,000 peserta perhimpunan haram. Namun, pengawai polis itu menjelaskan peserta perhimpunan di kawasan sekitar KLCC beredar menuju ke arah Jalan Ampang selepas beliau mengeluarkan arahan supaya mereka bersurai. Inkues itu disambung esok. - BERNAMA

Wednesday, February 1, 2012

Beng Hock: Mahkamah Rayuan benarkan keputusan dicabar

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_06.htm 02/02/2012 11:44am KUALA LUMPUR 2 Feb. - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk mencabar keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang membuat keputusan terbuka mengenai kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu. Keputusan sebulat suara itu diputuskan oleh panel tiga hakim mahkamah itu yang diketuai oleh Hakim Datuk Sulaiman Daud setelah berpuas hati mengenai terdapat persoalan undang-undang yang boleh diteruskan. - UTUSAN

Blogger fail saman balas ADUN Pantai Remis RM11 juta

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BloggerfailsamambalasADUNPantaiRemisRM11juta/Article/index_html 2012/02/01 IPOH: Blogger, Ahmad Sofian Yahya, 47, yang mengendalikan blog sekupangduas.blogspot.com memfailkan saman balas bernilai RM11 juta terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming di Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi. Ia difailkan menerusi firma guaman Ong, Hanim & Bbadrul jam 2.30 petang tadi. Pada 3 Januari lalu, Kor Ming menyaman Ahmad Ssofian RM10 juta kerana didakwa menyiarkan artikel yang memfitnahnya.