Monday, September 26, 2011

Mahkamah Rayuan ketepikan keputusan membebaskan lima lelaki

Berita harian online 26 sept 2011 2011/09/26 PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan lima lelaki membela diri atas tuduhan membunuh selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Baharu yang melepas dan membebaskan mereka. Panel tiga hakim terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwa supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membebaskan lima orang itu tanpa diminta membela diri. Hakim Zaleha berkata, mahkamah Rayuan berpendapat wujud kes prima facie terhadap Rasdi Ngasiman, 29; Samsudin Muhammad Yusuf, 29; Zaini Sabtu, 26; Zainal Sabtu, 28; dan Mohd Yazid Tukimin, 28. Beliau kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk mereka membela diri. Lima lelaki itu adalah antara sembilan orang yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 19 November 2007 kerana kematian Md Ridzuan Jumaat, 19, di padang permainan di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai, Johor Baharu. Bagaimanapun, pihak pendakwa meneruskan rayuan hari ini terhadap lima orang itu selepas ia tidak dapat menyerahkan notis pendengaran rayuan pada empat yang lain. Hakim Zaleha kemudian menetapkan 8 Nov bagi sebutan kes Rosman Jiman, 30; Mohd Eddy Mohamed, 28; Mohd Nazri Dempok dan Mohd Syawal Shamsuddin, 25; selepas timbalan pendakwa raya Najib Zakaria memberitahu mahkamah bahawa beliau akan cuba menyerahkan notis ke atas empat orang itu. Terdahulu, Najib berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad (kini hakim Mahkmah Rayuan) silap bila beliau membebaskan lima orang itu tanpa memerintahkan mereka membela diri. Beliau berkata, pakar patologi mendapati sebab kematian Ridzuan ialah kecederaan berganda, besar kemungkinan disebabkan pukulan benda tumpul. Mayat Ridzuan ditemui terapung dekat tebing sungai oleh seorang pemandu lori Ng Chiew Piae ketika sedang memancing. Najib berkata, hakim perbicaraan membebaskan mereka atas alasan terdapat keraguan tentang sebab kematian sebagaimana dinyatakan oleh ahli patologi yang menyatakan terdapat kemungkinan mati lemas. Beliau berkata, bukti pendakwaan menunjukkan si mati dipukul oleh responden, termasuk dengan helmet dan batang kayu, dan juga ditendang akibat cemburu, yang cukup untuk dibuat kesimpulan bahawa responden memang mahu membunuh Md Ridzuan. Najib berkata, keterangan teman wanita si mati yang menemaninya (si mati) ke padang permainan itu dan mengenalpasti responden sebagai orang yang memukul si mati yang tidak mempunyai peluang untuk mempertahan diri. Peguam K Sandrasegaran berkata, tidak terdapat kaitan antara rantaian peristiwa kerana tidak terdapat bukti yang mengaitkan serangan itu di padang permainan dengan kejadian lemas. - BERNAMA

No comments: