Saturday, September 24, 2011

Keanggotaan PBB: Malaysia sokong pengumuman Palestin

25/09/2011 1:57pm KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kerajaan Malaysia mengalu-ngalukan sokongan kuat pengumuman Presiden Mahmoud Abbas pada Jumaat untuk keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sungguhpun Israel dan negara-negara lain mempertikaikan bahawa keamanan hanya boleh dicapai menerusi rundingan dan bukan melalui resolusi PBB, Malaysia berpendapat bahawa ini adalah keputusan dan penyelesaian realistik yang paling penting untuk mencari kedamaian selamanya di Timur Tengah. "Malaysia menolak sepenuhnya pertikaian yang dikemukakan Israel mengenai proses keamanan yang buntu khasnya berkaitan isu penempatan haram di Tebing Barat. Dalam pandangan Malaysia, penempatan haram merupakan punca utama masalah dan hendaklah dipindahkan,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan di sini. Kerajaan Malaysia berpandangan bahawa keanggotaan dalam PBB tidak akan menjejaskan proses keamanan, sehubungan itu, pertikaian membantah keanggotaan Palestin di PBB adalah lemah, tidak berasas dan tidak munasabah. "Sudah tiba masanya mereka yang membantah keanggotaan Palestin di PBB mendengar suara majoriti yang jelas dilihat apabila mereka berdiri hormat kepada Presiden Mahmoud Abbas,” kata kenyataan itu. Tawaran Israel untuk mengadakan rundingan serta merta dan usaha Kuarted itu menjadualkan semula rundingan dalam masa sebulan nampaknya usaha terdesak untuk tidak membolehkan Palestin daripada mendapatkan keanggotaan. Malaysia akan membantu Palestin dalam mendapatkan jumlah undi yang diperlukan untuk Majlis Keselamatan PBB di Perhimpunan Agung itu, menurut kenyataan itu. - Bernama

No comments: