Wednesday, October 5, 2011

Salah tanggapan mengenai kedudukan Islam punca Malaysia dianggap negara sekular

2011/10/06 AHLI jawatankuasa Majlis Peguam, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir mungkin perlu menjelaskan lebih lanjut dan menunjukkan di mana perkataan sekular yang terkandung dalam Perlembagaan negara bagi menguatkan hujah beliau bahawa struktur asas Perlembagaan Persekutuan berdasarkan sekularisme dan bukan teokrasi (sistem kerajaan yang menggunakan hukum agama sebagai dasar pemerintahan negara) yang tersiar dalam akhbar baru-baru ini. Bersandarkan pendapat bahawa struktur asas Perlembagaan Persekutuan berdasarkan sekularisme, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda untuk membolehkan pelaksanaan hukum hudud walaupun ada cadangan meminda Perlembagaan dan diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga. Jika begitu, bagaimana pula kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan – Islam is the religion of Fede-ration – dan di mana perkataan demokrasi, sekular atau agama rasmi jika benar wujud dalam Perlembagaan, kata Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja ‘10 Salah Tanggapan Mengenai Kedudukan Islam di Malaysia’ pada Muzakarah Pakar Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam di Malaysia anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia, baru-baru ini. Beliau berkata, apa yang berlaku sejak dulu hingga kini ialah prinsip ajaran Islam tidak diberi perhatian sewajarnya dalam penggubalan dasar ekonomi, pendidikan, sosial, budaya serta dasar lain digubal kerana alasannya, kita masyarakat majmuk. Oleh sebab itulah berlaku salah tanggapan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hingga sering dirujuk sebagai agama rasmi menyebabkan Malaysia disifatkan negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama rasmi. Salah tanggap Islam negara sekular berpunca daripada hakikat Perlembagaan negara dirintis suruhanjaya diketuai Lord Reid. Namun, tidak ramai menyedari fungsi dan peranan suruhanjaya ini hanya menyediakan laporan ke arah penggubalan Perlembagaan. Daripada cadangan dikemukakan dalam memorandum Perikatan berkaitan agama negara, hanya dua perkara diterima dan dipersetujui untuk dimasukkan dalam Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan tanpa menafikan hak penganut agama lain mengamalkan agama mereka. Bagaimanapun, prinsip tidak menafikan ciri sekular negara ini tidak dimasukkan dalam mana-mana bahagian dalam Perlembagaan. Justeru, rakyat Malaysia wajib menerima hakikat tiada sepatah pun perkataan sekular wujud dalam Perlembagaan. Jadi, kenapa Malaysia masih dianggap negara sekular? Ada pihak cuba memberikan hujah mengelirukan dengan mengemukakan hujah kes Che Omar Che Soh yang sering digunakan pengamal dan pelajar undang-undang kononnya Tun Salleh Abas pernah memutuskan Malaysia ialah negara sekular. Cerita ini amat mengelirukan kerana Salleh hanya mengatakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa adalah undang-undang sekular, bukannya negara ini negara sekular. Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sudah memberikan tafsiran lebih meluas kepada Islam iaitu satu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam. Jelaslah mahkamah tertinggi negara telah menggubal tafsiran Islam yang diberikan Tun Salleh dalam kes Che Omar kepada tafsiran yang luas. Hairannya, kenapa umat Islam masih mahu berpegang kepada tafsiran sempit itu. Dalam isu ini, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat, apa pun tanggapan kita terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan hari ini, satu yang jelas ialah Malaysia bukan negara sekular. Katanya, dari segi konsepnya adalah ganjil mengatakan negara ini sekular sedangkan pada masa sama, ada peruntukan mengenai agama dalam Perlembagaan. “Negara sekular yang sebenar tidak mengizinkan negara turut serta dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan agama,” katanya. Titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, supaya tafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia amat penting diingatkan semula, manakala semua persetujuan yang sudah dicapai harus dihormati, perlu diberi perhatian. Begitu juga penegasan baginda ketika bertitah pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia bahawa prinsip asas, terutama yang menyentuh Islam dan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan negara tidak boleh dikompromikan sama sekali. Menurut baginda, Islam akan terhakis apabila tanggungjawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas kerana Islam kini mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara prinsip yang menyentuh aqidah. Melihat kepada senario yang berlaku, usaha memperbetulkan salah tanggapan terhadap kedudukan Islam perlu dilakukan dan menjadi kewajipan pemerintah memelihara Islam sebagai agama negara dan menjadikan negara ini negara Islam yang sebenarnya. Caranya ialah melalui transformasi sistem pengurusan Islam dalam semua aspek iaitu pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan sosial yang dibentuk peraturannya berasaskan syariat Islam seperti Piagam Madinah yang digubal Rasulullah SAW untuk membentuk sebuah negara menempatkan penduduk berbilang bangsa serta kaum. Prinsip Piagam Madinah yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah memelihara kesatuan ummah dan kedaulatan negara, dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warga negara, menegakkan keadilan sosial, kebebasan beragama dan tanggungjawab terhadap bukan Islam. Hanya apabila sistem pentadbiran negara diuruskan berasaskan kepada ajaran Islam, barulah perkara lain bersangkutan keperluan serta tuntutan semasa dapat dilaksanakan termasuk pelaksanaan hukum hudud atau undang-undang Islam. Hukum hudud bukan tidak boleh dilaksanakan kerana salah tanggapan bahawa Malaysia bukan negara Islam tetapi hukum itu tidak mampu dilaksanakan selagi sistem pentadbiran serta pengurusan negara tidak benar-benar mengikut syariat Islam.

No comments: