Monday, July 12, 2010

Majlis Fatwa perlu perjelas status ESQ elak kekeliruan

Oleh Manja Ismail

2010/07/12
Kelewatan warta keputusan jejas pemahaman terhadap Islam

LANGKAH Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengharamkan modul program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika pelbagai cerita dan kontroversi mengenai kandungan kursus kendalian syarikat itu sejak bertapak di negara ini beberapa tahun lalu, diambil kira. Tindakan majlis agama negeri mengharamkan ajaran yang dianggap boleh menggugat akidah umat Islam di negara ini bukan perkara baru, malah puluhan ajaran sesat dan ratusan buku diwartakan haram oleh pihak berkuasa agama, sama ada pada peringkat negeri atau kebangsaan. Pemahaman berkaitan Islam yang agak berlainan, tetapi mendapat sambutan di negara ini juga bukan sesuatu yang asing. Kita tentu masih ingat mengenai wujud kumpulan yang hanya berpegang kepada al-Quran dan mempersoalkan hadis sehingga menimbulkan polemik hangat satu ketika dulu. Begitu juga dengan fahaman Aurad Muhammadiah kumpulan al-Arqam, fahaman Qadiani serta berpuluh-puluh tarekat dan ajaran sesat yang diharamkan termasuk Kerajaan Langit dibawa Ayah Pin di Besut, Terengganu. Yang pasti, apabila ada ajaran baru terutama yang menjadikan agama sebagai sandaran, mesti ada pengikutnya. Kebiasaannya, kumpulan itu berkembang dan semakin mendapat sambutan, pengikut menjadi taksub kepada ajaran dan ketua mereka sehingga memandang serong terhadap orang lain yang di luar kumpulan mereka. Bagaimanapun, ESQ bukan pertubuhan dakwah atau kumpulan tarekat. Ia adalah sebuah syarikat yang menawarkan kursus motivasi berdasarkan teori daripada buku karangan pengasasnya, Dr Ari Gunanjar Agustian, Membangun Kesuksesan Berdasarkan 5 Rukun Iman dan 6 Rukun Islam pada 2001, diikuti dengan ESQ Power dan ESQ: Rahsia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual. Kejayaan program motivasinya mengadunkan kepakaran berpidato tenaga pengajarnya dengan teknologi moden seperti layar besar, kesan bunyi dan pencahayaan, sehingga menyentuh hati peserta, agak fenomenal.

Ramai peserta, kebanyakan dihantar oleh agensi kerajaan dan syarikat korporat, dikatakan menjadi pekerja yang lebih baik dan berdisiplin selepas itu. Kerana itu, tidak hairanlah program anjuran ESQ ini dilaporkan sudah disertai oleh lebih 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama dan korporat dan pegawai kerajaan.

Begitupun, tidak kurang juga mereka yang menghadiri kursus ESQ turut mempersoalkan kaedah latihan kendalian syarikat itu, terutama dari sudut akidah. Barangkali selepas menerima aduan daripada kumpulan seperti ini mendorong pihak berkuasa agama melakukan kajian terhadap modul latihan ESQ dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mewartakan pengharamannya.

Apa yang kita tahu, sesuatu fatwa hanya diwartakan selepas kajian mendalam dilakukan berhubung isu terbabit, manakala hujah kenapa keputusan itu dibuat turut diperjelaskan. Sama ada kita bersetuju atau mahu mematuhinya, itu soal lain. Bagi kes modul ESQ ini, Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) difahamkan mengadakan empat mesyuarat khas pada 28 Ogos 2008, 14 Oktober 2008, 27-28 November 2008 dan 10 Februari 2009 bagi membincang kandungan modul latihan ESQ. Antara lain, mesyuarat itu menyimpulkan wujud beberapa aspek dalam modul latihan ESQ yang bercanggah dari segi akidah dan syariah.
Selain itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pernah dilaporkan melakukan kajian terhadap modul latihan ESQ pada awal tahun lalu dan berpendapat ia tidak sesuai dilaksanakan di kalangan masyarakat umum, kerana:


•Pendekatan menggunakan penemuan sains bagi membuktikan kebenaran al-Quran tidak sesuai kepada umat Islam tetapi hanya sesuai buat bukan Islam dan golongan tidak mendapat pendedahan agama.


•Pendekatan meluahkan rasa hati secara histerikal, khususnya ketika memohon ampun kepada Allah di khalayak ramai.


•ESQ sebagai satu kursus penyucian diri dengan kenyataan moderator ESQ, “Pada hari ini, kamu telah dimuliakan sama seperti Nabi dan orang yang mulia”. Ia mirip dengan konsep agama Kristian.


•Muzik latar yang sentiasa digunakan walaupun ketika berdoa, bersujud dan membaca al-Fatihah.


•Terdapat percampuran antara aktiviti keagamaan dan hiburan.


•Wujud ciri-ciri ketaksuban alumni ESQ terhadap Ary Ginanjar yang dibimbangi melahirkan kumpulan seperti al-Arqam.


•Ciri-ciri batiniah dalam takwilan yang dibuat ke atas rukun Iman, Islam dan Ihsan demi menyesuaikannya dengan kehendak Barat.


•Terjemahan ke atas nama dan sifat Allah yang longgar, tidak tepat dan tidak mengambil manfaat daripada tafsiran nama dan sifat Allah daripada ulama muktabar.


•Ayat al-Quran dan al-Hadis digunakan menurut faham dan kehendak moderator ESQ secara semberono ketika mereka cuba mengupas teori yang dikemukakan oleh sarjana Barat.

Berbeza dengan fatwa ke atas kumpulan atau ajaran lain sebelum ini, yang mendapat sokongan majoriti mufti, keputusan yang diumumkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, mendapat reaksi sebaliknya daripada beberapa mufti dan bekas mufti. Turut menarik perhatian ialah reaksi segera beberapa tokoh agama termasuk bekas mufti dan bekas ketua pengarah JAKIM, mempertahankan ESQ. Hakikat bahawa mereka ini dilantik sebagai Panel Penasihat Syariah ESQ atau pernah melawat pusat latihannya di Jakarta turut mengundang tanda tanya. Di laman web pula, sudah ada yang mempersoalkan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul latihan ESQ.

Perkembangan ini, jika tidak ditangani dengan segera, boleh mengelirukan lagi umat Islam di negara ini. Kalau beberapa kajian dan kesimpulan sudah dibuat mengenai modul latihan ESQ, kenapa Majlis Fatwa Kebangsaan belum mewartakan keputusan mengenainya? ESQ ialah entiti perniagaan dan seperti mana-mana perniagaan, keuntungan adalah keutamaan. Sementara kita tidak mahu menyekat rezeki orang seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim kelmarin, kita juga tidak mahu kelewatan kita membuat keputusan dikaitkan dengan dakwaan kononnya pengaruh ESQ sudah meresap di kalangan agensi awam dan agama di negara ini.

No comments: