Thursday, August 7, 2008

BIMP-EAGA diminta berganding bahu

KOTA KINABALU 6 Ogos - Amalan berganding bahu secara berterusan antara sektor awam dan swasta merupakan asas penting dalam menjayakan objektif penubuhan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kedua-dua pihak perlu saling berganding bahu menjayakan agenda tersebut bagi faedah dan kemajuan bersama.

''Sektor swasta ialah enjin pembangunan BIMP-EAGA, manakala sektor awam sebagai fasilitator pembangunan. Justeru, kedua-duanya mesti berganding bahu memastikan misi dan visi pembangunan mencapai realiti,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kastam BIMPEAGA kali kedua, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Abd. Rahman Abd. Hamid; Pengarah Kastam Sabah, Datuk Md. Yusop Mansor dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin.

Menurut Musa, sektor swasta berkeupayaan menyediakan pelaburan dan pembangunan, manakala kerajaan boleh melaksanakan strategi-strategi yang diperlukan dalam melaksanakan sesuatu projek demi kebaikan rakyat.

Musa berkata, ekoran itu sektor awam perlu terus mencipta suasana pelaburan yang kondusif dan menyediakan infrastruktur fizikal dan fasiliti komersial yang mencukupi.

Selain itu, katanya, sektor awam juga hendaklah menyalurkan maklumat terkini dan sentiasa memaklumkan mengenai kemahiran baru yang dapat meningkatkan kemampuan sumber manusia.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, kerajaan dan sektor swasta bukan sahaja menggariskan isu-isu penting menjayakan visi BIMP-EAGA, malah berusaha mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang mempunyai daya saing tinggi.

Sementara itu, katanya, inisiatif ini juga akan melengkapi usaha kerajaan melancarkan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang terletak di dalam kawasan BIMP-EAGA.

''Kejayaan koridor ini yang merupakan pelan jangka panjang memperbaiki kehidupan dan merangsang pembangunan tinggi melalui inisiatif pilihan akan turut melonjakkan ekonomi dalam BIMP-EAGA dan menyokong kewujudan AEC,'' ujarnya.

No comments: